Latest News

Sunday, 15 May 2016

Pengkhianat UMNO - Tun Dr Mahathir


#Terkini dari Tun Dr. Mahathir bin Mohamad MENGKHIANATI UMNO

1. Sesungguhnya apa yang sedang berlaku di negara bertuah ini tidak pernah diduga, dimimpi atau diramal oleh sesiapa, samada rakyat negara ini atau orang asing.

2. Semasa kita berjuang untuk kemerdekaan semua pemimpin dan rakyat percaya bahawa pemimpin yang dipilih oleh mereka tetap akan bersikap dan bertindak sebagai nasionalis yang berkhidmat, bahkan berkorban untuk negara, untuk rakyat dan kesejahteraan mereka. Inilah sebabnya yang mereka terima tanpa soal sistem demokrasi, sistem yang memberi hak kepada rakyat untuk memilih Kerajaan mereka.

3. Dan seperti yang mereka jangka, pemimpin demi pemimpin pilihan mereka tidak mengecewakan mereka. Negara dibangun dengan baiknya dan rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik dan lebih makmur dari dahulu.

4. Perdana Menteri-Perdana Menteri tidak menimbul banyak masalah. Apabila masa datang untuk mereka undur mereka pun pergi. Rusuhan untuk menjatuhkan Perdana Menteri tidak pernah berlaku. 

5. Tun Abdullah juga berundur apabila prestasinya dalam PRU 12 tidak begitu baik. Dia undur kerana sudah jelas rakyat tidak lagi sokongnya. Najib juga mendesak supaya dia undur dan Najib menggantinya. 

6. Rakyat lega. Inilah Malaysia. Peralihan kuasa diperingkat tertinggi berlaku dengan licin dan tertib. Rakyat menunggu akan nikmat yang mereka akan dapat dari pemimpin baru. Mereka percaya yang baru tetap lebih baik dari yang lama. Jika tidak lebih baik pun tentu sekurang-kurangnya sama dengan ayahnya, Tun Razak.

7. Tetapi impian rakyat tidak menjadi kenyataan. Awal-awal lagi diperhatikan cara hidup yang luar biasa mewahnya berbanding dengan PM yang terdahulu. Ini dilihat terutamanya semasa perkahwinan anaknya. Tumpuan tidak diberi kepada pembangunan negara, kepada pengwujudan peluang pekerjaan dan perniagaan. Sebaliknya dicipta BRIM, pemberian RM 500/- kepada rakyat yang dikatakan miskin.

8. Rakyat kecewa. Jauh dari menyokong. Prestasi Najib dalam PRU 13 menurun berbanding dengan PM yang dia ganti. Namun pemimpin diperingkat bahagian dan wakil rakyat UMNO khususnya ternampak tidak faham tentang kekurangan sokongan rakyat kepada Najib.

9. Kemudian datang 1MDB. Dengan modal satu million Ringgit, syarikat yang ditubuh dan dipimpin oleh Najib meminjam empat-puluh-dua ribu kali ganda lebih dari modal. Maka bermulah cerita-cerita tentang berbagai salah laku oleh 1MDB ini. Berbillion Ringgit dilabur tanpa kajiselidik yang mendalam, dipindah kesana kesini, meresap dan hilang. Soalan tidak dijawab. Faedah hutang tidak dibayar. Auditor di buang, diganti dan dibuang lagi.

10. Terdengar cerita Jho Low yang tidak memegang apa-apa jawatan tetapi berkuasa. Jika Ahli Lembaga Pengarah menyoal, Jho Low menalipon Dato Sri Najib dan menyuruh Pengarah bertanya sendiri. Pengarah tidak bertanya. Terima sahaja arahan Jho Low. Yang tak senang hati menarik diri dari Lembaga.

11. Cerita berkenaan Rosmah juga menimbulkan kemarahan Rakyat. Tersebarnya cerita berkenaan pembelian beg tangan sahaja menelan bermillion Ringgit dan juga kononnya banyak perniagaan memberi saham percuma kepada Rosmah melalui proksi beliau.

12. Segala urusan 1MDB tertutup, tidak dilapor oleh akhbar kerana tidak dibenar, atau takut atau diberi amaran. Mesyuarat Agung UMNO tidak dibenar bercakap berkenaan 1MDB.

13. Kemudian di dalam akhbar luar negeri, Wall Street Journal, terdapat lapuran bahawa akaun sendirian Dato Sri Najib memiliki Dolar Amerika sebanyak 681 million, bersamaan 2.6 billion Ringgit Malaysia. Seluruh rakyat terkejut. Mereka bertanya apakah benar PM Malaysia memiliki wang sebanyak itu. Ini tidak mungkin. Ini akhbar asing yang suka memburukkan Malaysia.

14. Najib nafi. Katanya tak akan dia begitu bodoh memasuk wang sebanyak itu dalam akaun peribadinya. Katanya cerita ini tidak berasas. Dia tidak memiliki wang sebegitu banyak.

15. Tetapi akhirnya Dato Sri Najib mengaku wang sebanyak 2.6 billion Ringgit itu ada dalam akaun peribadinya. Kononnya derma dari Putera Arab Saudi. Kemudian didakwa dari Raja Arab Saudi yang sudah mangkat.

16. Tetapi pengesahan dengan dokumen yang boleh dipercayai tidak ada. Hanya pengakuan Najib. Pegram Negara disingkir dan yang baru dilantik yang mendakwa Najib tidak menyalahguna wang dalam akaunnya. Kononnya wang ini telah diberi balik kepada penderma. Sekali lagi tidak ada dokumen yang mengesah kenyataan ini. Hanya pengakuan ole Peguam Negara.

17. Kalau tidak bersalah kenapa tidak dibuat saman malu terhadap Wall Street Journal dan Sarawak Report yang membuat laporan berkenaan 2.6 billion Ringgit yang berada dalam akaun Najib. Saman malu boleh dibuat di Britain atau Amerika jika yang didakwa enggan dibicara di Malaysia. Tetapi Najib tidak membuat saman malu, selain daripada bertanya kenapa laporan itu dibuat. Ini bermakna laporan Wall Street Journal dan Sarawak Report adalah benar dan berasas.

18. Sekarang dunia tahu dan percaya Najib sudah selewengkan banyak dari modal 1MDB. Dan dunia ketawa sinis terhadap Malaysia yang sudah jadi negara rasuah yang terbesar di dunia. Dan Najib didakwa adalah Menteri Kewangan yang terburuk di Asia.

19. Ketua-Ketua Bahagian UMNO dan Ahli Dewan Rakyat UMNO takkanlah pekak dan buta sehingga tidak sedar berkenaan salahlaku Najib. Tetapi mereka terus sokong Najib dan mempertahankannya. Tidak berasa malukah mereka mengetahui PM mereka sebegini buruk. dihina secara terbuka oleh dunia tanpa disangkal oleh Najib.

20. Tetapi nampaknya mereka tidak tahu malu dan lebih utamakan kepentingan diri daripada kepentingan dan maruah negara.

21. Rata-rata rakyat berhimpun dan mendesak untuk Najib disingkir dari jawatan PM. Ahli-ahli dan pemimpin UMNO tahu parti mereka akan kalah jika Najib terus memimpin BN dan UMNO dalam PRU 14. Hanya yang bisu dan pekak sahaja yang tidak ambil kesah akan kehancuran UMNO yang tetap berlaku.

22. UMNO adalah parti yang mengalahkan Malayan Union dan memerdekakan negara. UMNO juga berjaya membangunkan negara.

23. UMNO juga yang memberi kepada negara Perdana Menteri, Perdana Menteri yang memajukan negara sehingga ketahap yang tinggi.

24. Tetapi hari ini kerana UMNO mempertahankan Najib sebagai Perdana Menteri walaupun jelas dia terlibat dengan skandal yang amat buruk, dan menjadikan UMNO parti yang terburuk di Malaysia, pemimpin-pemimpin bahagan dan Ahli Dewan Rakyat UMNO masih bersekongkol dengan Najib untuk musnahkan UMNO. Anak cucu mereka akan kutuk mereka kerana ini.

25. Wahai pemimpin UMNO, ingatlah akan masa depan kamu. Pengkhianatan kamu akan dibalas dengan cara yang setimpal di dunia dan di akhirat

http://chedet.cc/?p=2115
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

3 comments:

Item Reviewed: Pengkhianat UMNO - Tun Dr Mahathir Rating: 5 Reviewed By: Fauzi Hamid
Scroll to Top