Latest News

Monday, 27 June 2016

Kisah Rasulullah Dan Pengemis Yahudi



Di sudut pasar Madinah al-Munawwarah ada seorang pengemis Yahudi yang buta matanya. Setiap orang yang menghampirinya akan diingatkan oleh si buta itu dengan kata-kata, “Wahai saudara-saudari, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir. Apabila kamu semua mendekatinya kamu semua akan dipengaruhinya.”

Namun setiap pagi Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawa makanan dan tanpa berkata sepatah kata pun baginda menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan kepada sesiapa sahaja supaya tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah SAW melakukannya hingga menjelang kewafatan baginda. Setelah baginda wafat, tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis buta itu.

Suatu hari Abu Bakar RA berkunjung ke rumah puterinya, Aisyah RA. Beliau bertanya kepada puterinya, “Wahai anakku, adakah sunnah kekasihku (Rasulullah) yang belum ayahanda lakukan?”

Aisyah RA menjawab, “Wahai ayahanda, engkau adalah seorang ahli sunnah, hampir tidak ada satu pun yang belum ayahanda lakukan kecuali satu sunnah sahaja.”

“Apakah itu?” Abu Bakar RA bertanya.

“Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi yang buta matanya. Dia ada di sana,” Aisyah berkata.

Keesokan harinya Abu Bakar RA pergi ke pasar dengan membawakan makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Beliau mendekati pengemis itu dan memberikan makanan itu kepadanya. Ketika Abu Bakar RA mula menyuapinya, si pengemis itu marah dan berteriak, “Engkau siapa?”

Abu Bakar RA menjawab, “Saya orang yang biasa.”

“Bukan, Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku,” jawab pengemis tua itu.

“Apabila dia datang kepada saya tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku selalu menyuapiku dengan lembut,” pengemis itu meneruskan kata-katanya.

Abu Bakar RA tidak dapat menahan air matanya. Dia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, “Saya memang bukan orang yang biasa datang kepadamu. Saya adalah seorang daripada sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Dia adalah Nabi Muhammad SAW.”

Selepas pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar RA, dia pun turut menangis. Kemudian dia bertanya, “Benarkah begitu? Selama ini saya selalu menghinanya, memfitnahnya, namun dia tidak pernah memarahiku. Malah dia mendatangiku dengan membawa makanan kepada saya setiap pagi. Dia begitu mulia.”

Pengemis buta itu akhirnya bersyahadah di hadapan Abu Bakar RA.

Lihatlah, bagaimana kesabaran dan kasih sayang itu mampu membawa seseorang ke jalan kebenaran. Tanpa kesabaran dan kasih sayang, pasti sukar untuk berdakwah kepada sesiapa sahaja. Apa yg dikesalkan, ada segelintir pendakwah suka menyusahkan atau memarahi orang bukan Islam, hingga sanggup melayan mereka dengan cara yang salah sedangkan mereka juga adalah umat Rasulullah SAW.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kisah Rasulullah Dan Pengemis Yahudi Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top