Latest News

Saturday 30 July 2016

Pelawa ahli Umno sertai parti baharu



KODIANG – Semua ahli Umno dipelawa untuk menyertai parti baharu yang bakal ditubuhkan tidak lama lagi untuk menyelamatkan Malaysia.

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau akan pastikan parti itu ditadbir dengan penuh integriti dan kewibawaan.

“Saya bagi jaminan parti baharu yang nak ditubuhkan ini akan pastikan tegakkan syiar Islam, memartabatkan bangsa Melayu dan majukan tanah air yang kita cintakan ini. Parti dulu tidak lagi memperjuangkannya.

“Kita jangan bagi ruang langsung kepada salah guna kuasa oleh mana-mana pihak, tidak timbul masalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam parti baharu ini,” katanya pada ucapan sempena majlis rumah terbuka Aidilfitri Adun Ayer Hitam di Dataran Haji Salleh Lebai Junus, di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis itu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Menteri, Datuk Mohd Shafie Apdal; Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.

Menurutnya, walaupun penubuhan parti baharu itu terpaksa ditangguhkan, namun ia tetap akan direalisasikan dalam sedikit masa lagi.

“Maklumlah kita akan hadapi sedikit kekangan oleh pihak-pihak tertentu, tapi kami tetap nak tubuh parti. Silap-silap (mungkin) Tun Mahathir sendiri yang akan pergi bertemu dengan ROS (Pendaftar Pertubuhan) untuk serah borang tubuh parti baharu.

“Saya nak minta kalau boleh bila dah ditubuhkan parti, biarlah di Kedah kita bermula di Jerlun. Kawan-kawan di luar Jerlun, sampaikan kepada kawan-kawan lain. Kalau nak jadi ahli ada satu syarat, hanya kepada ahli-ahli Umno saja, jangan jadi ahli dua parti,” katanya.

Mukhriz berkata, semua ahli Umno perlu meninggalkan parti itu sekiranya sayangkan agama, bangsa dan tanah air.

“Saya tahu ini satu keputusan cukup besar. Saya sendiri pun bila dah kena pecat terduduk juga sebab sayang (parti). Tapi bila sampai tahap dah macam ini, saya ingat tak boleh berbuat apa dan terpaksa bergerak dalam pentas baru.

“Yang akan mempelopori parti baharu ini bermula dengan Tun Mahathir sendiri, Tan Sri Muhyiddin dan saya sendiri bersama rakan-rakan yang akan sertai kami,” katanya.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

3 comments:

  1. Kita tengok parti serpihan the mana yg tahan berkekal dan menang banyak kerusi dlm pilihanraya nanti.

    ReplyDelete
  2. Nak menyelamatkan Malaysia daripada apa sebenarnya? Kita lihat kesan penubuhan parti politik baru ini mampu untuk memecahkan kelompok orang Melayu kepada saiz yang lebih kecil lagi supaya menjadi bertambah lemah dan terpaksa menjadi pengemis politik sekiranya mahu terus bernyawa. Tambahan pula parti politik ini bermotifkan dendam sebab itu mereka tidak kisah untuk bersama sama bergabung dengan parti politik musuh ajaran Islam bagi meranapkan kerajaan yang sedia ada.

    ReplyDelete
  3. Ha,,ha..ha,,,Nak tergelak pun ada.. kesian pun ada...."“Saya bagi jaminan parti baharu yang nak ditubuhkan ini akan pastikan tegakkan syiar Islam, memartabatkan bangsa Melayu dan majukan tanah air yang kita cintakan ini. Parti dulu tidak lagi memperjuangkannya".

    ReplyDelete

Item Reviewed: Pelawa ahli Umno sertai parti baharu Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top