Latest News

Wednesday 17 August 2016

Kenyataan Penuh : PENDEDAHAN DS Mukhriz Mengenai Skandal 1MDB Di Kuala Ketil Kedah


KENYATAAN MEDIA - SIDANG DUN KEDAH PADA 15 HINGGA 18 OGOS 2016 1MDB-DUSABLE: TANAH KUALA KETIL DAN PROJEK SOLAR

YB Dato' Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir, ADUN Ayer Hitam Muka 2 / 6

KENYATAAN MEDIA KRONOLOGI ISU 1MDB-DUSABLE, PROJEK SOLAR DAN TANAH KUALA KETIL, KEDAH

1. Pada 11 April 2014, 1MDB dan DuSable, firma tenaga yang diketuai oleh Frank White Jr.,
Penasihat kepada Presiden Amerika Syarikat Barack Obama telah memeterai perjanjian
usahasama untuk pembanganan projek tenaga solar sebanyak 50MW di Malaysia. 1MDB
memiliki kepentingan sebanyak 51% di dalam perjanjian usahasama tersebut manakala Dana Ekuiti Persendirian Yurus yang diuruskan DuSable memiliki 49%.

2. Pada tahun 2014, wakil 1MDB telah bertemu dengan wakil Bina Darulaman Berhad (BDB),
anak syarikat Kerajaan Negeri Kedah untuk tujuan pengambil-alihan tanah di Kuala Ketil,
Kedah untuk pembangunan projek tenaga solar tersebut dan 1MDB telah membayar RM3.5
juta sebagai deposit. Tanah tersebut terletak di belakang Kolej Universiti Insaniah (KUIN)
adalah merupakan tanah pertanian kelapa sawit.

3. Pada 18 Mac 2014, 1MDB telah menerima Surat Penganugerahan ('Letter of Award')
daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk membangunkan loji janakuasa
solar dengan kapasiti sehingga 500MW.

4. Pada 12 April 2014, 1MDB menerusi anak syarikatnya 1MDB Solar telah menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga ('Power Purchase Agreement' - PPA) secara runding terus ('direct nego') dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) selama 25 tahun bagi pembinaan loji janakuasa solar dengan kapasiti 50MW di tanah yang dibeli di Kuala Ketil, Kedah. 1MDB juga akan mengenakan tarif elektrik pada kadar 40sen/kWj dan 46sen/kWj menurut perjanjian tersebut, antara tarif kadar elektrik tertinggi pernah dimeterai TNB.

5. Pada 2 Oktober 2014, 1MDB telah membeli kesemua 49% kepentingan yang dimiliki oleh
Dana Ekuiti Persendirian Yurus yang diuruskan oleh DuSable dengan bayaran USD69.0 juta.

6. Pembelian kepentingan tersebut kononnya sebahagian daripada pelan Tawaran Awam
Permulaan ('Initial Public Offering'-IPO) untuk Edra Global Energy Berhad (Edra) yang bakal
dilaksanakan oleh 1MDB dan memudahkan 1MDB dan Edra mendapat hak 100% untuk
menjalankan projek solar tersebut. 1MDB Solar ditukar kepada Edra Solar dan segala
kepentingan projek tenaga solar di Kuala Ketil, Kedah diletakkan di bawah Edra.

7. Pada Februari 2016, 1MDB telah menjual Edra dan kesemua aset tenaga dan anak
syarikatnya termasuk Edra Solar yang mempunyai kepentingan dalam projek solar di Kuala
Ketil, Kedah kepada firma tenaga dari China iaitu China General Nuclear Power Corp. (CGN) dan anak syarikatnya, CGN Group dengan nilai RM9.83 billion.

SKANDAL 1MDB-DUSABLE
1. STATUS PEMILIKAN TANAH DI KUALA KETIL, KEDAH
Sehingga kini tidak dapat dipastikan siapakah pemilik tanah di Kuala Ketil, Kedah sebanyak
260 ekar tersebut. Adakah tanah tersebut telah jatuh ke tangan firma asing dari China ini
(CGN)?

2. STATUS PEMBAYARAN PEMBELIAN TANAH OLEH 1MDB KEPADA BDB
Sehingga kini BDB masih belum menerima baki bayaran (90%) daripada 1MDB setelah 1MDB membeli tanah di Kuala Ketil tersebut. Hanya bayaran deposit sebanyak RM3.5 juta (10%) sahaja yang telah dibayar oleh 1MDB kepada BDB.

3. LAPORAN PAC TENTANG PEROLEHAN TANAH KUALA KETIL, KEDAH

Dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada halaman ke-98 kolum
terakhir telah mendapati terdapat percanggahan antara keputusan Ahli Lembaga Pengarah
Pemegang Saham dalam 1MDB dan tindakan pihak pengurusan 1MDB itu sendiri tentang
perolehan tanah Kuala Ketil, Kedah.

Pada 24 Mac 2015, melalui satu Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB telah meluluskan
sebanyak RM33.40 juta sebagai bayaran kepada BDB untuk pembelian tanah seluas 260 ekar di Kuala Ketil, Kedah untuk pembangunan projek perintis tenaga solar dengan kapasiti
50MW.

Namun pihak pengurusan 1MDB telah menetapkan bayaran sebanyak RM65.0 juta untuk
perjanjian jual beli tanah tersebut pada 27 Ogos 2015. PAC juga gagal menemui sebarang dokumen yang menunjukkan mengapa terdapat perbezaan harga perolehan sebanyak RM31.5 juta yang telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah 1MDB.

Persoalannya, sekiranya 1MDB menyatakan mereka telah membayar RM65.0 juta kepada
BDB, mengapa sehingga sekarang BDB masih belum menerima wang tersebut? Ke mana
perginya wang tersebut? Kepada siapa sebenarnya 1MDB bayar wang tersebut?

4. LAPORAN PAC TENTANG URUSNIAGA 1MDB DAN DUSABLE

Dalam laporan PAC pada halaman 64, terdapat percanggahan antara jumlah yang telah
dibayar oleh 1MDB kepada Dana Ekuiti Persendirian Yurus yang diuruskan oleh DuSable.
Menurut laporan PAC tersebut, 1MDB telah membayar sebanyak USD95.0 juta kepada
DuSable untuk pembelian kesemua 49% kepentingan Dana Ekuiti Persendirian Yurus dalam projek solar di Kuala Ketil, Kedah.

Tetapi dalam kenyataan media bertarikh 11 November 2015 oleh 1MDB dan DuSable telah
menyatakan 1MDB telah membayar USD69.0 juta kepada DuSable untuk pembelian semua
kepentingan tersebut selepas 6 bulan perjanjian usahasama itu dilakukan. 

Mengapa terdapat perbezaan sebanyak USD26.0 juta dalam urusniaga tersebut? Kemana
perginya wang tersebut? Adakah DuSable sedar tentang nilai sebenar transaksi tersebut?

Adakah firma tenaga yang diketuai oleh penasihat Obama ini turut menjadi mangsa skandal
1MDB?

5. KESIMPULAN

Kos USD95.0 juta yang telah dilaburkan 1MDB adalah terlalu mahal dan sepatutnya dengan
dana tersebut, pembinaan loji janakuasa solar dengan kapasiti lebih tinggi daripada 50MW
telah dilaksanakan.

Bayaran sebanyak USD69.0 juta yang kepada DuSable juga tidak wajar kerana tiada sebarang projek solar dilaksanakan oleh 1MDB di atas tanah tersebut dan pembayaran tersebut dilakukan hanya selepas 6 bulan 1MDB dan DuSable menandatangani perjanjian usahasama projek solar tersebut.

Semakan mendapati tiada sebarang pembinaan dilakukan di atas tanah tersebut dan status
pemilikan tanah tersebut juga masih samar. Bayaran kepada pemilik tanah sebelumnya iaitu
BDB juga tidak dilakukan.

Kerajaan Negeri Kedah yang mentadbir sekarang juga, seolah-olah memandang enteng
perkara ini dan tidak melakukan sesuatu untuk mendapatkan kembali hak negeri ini khasnya dan hak rakyat Kedah amnya.

DATO' SERI MUKHRIZ TUN DR. MAHATHIR 
ADUN Ayer Hitam Mantan Menteri Besar Kedah 
16 Ogos 2016






  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kenyataan Penuh : PENDEDAHAN DS Mukhriz Mengenai Skandal 1MDB Di Kuala Ketil Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top