KENYATAAN YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
PRESIDEN PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA
RANG UNDANG-UNDANG MAHKAMAH SYARIAH (BIDANG KUASA JENAYAH) (PINDAAN) 2016
Keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak membenarkan perbahasan selepas Ahli Parlimen Marang, YB Dato' Seri Hj Abdul Hadi Awang membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1965 atau Akta 355 di Dewan Rakyat pada 6 April 2017 adalah tidak munasabah. Sebaiknya Ahli-Ahli Parlimen diberi peluang untuk memberikan pandangan dan pengundian dilakukan pada hari tersebut sebagaimana yang menjadi kelaziman dalam setiap pembentangan usul dan Rang Undang-Undang di Dewan Rakyat.
Saya kerap ditanya oleh pelbagai pihak mengenai Rang Undang-Undang ini dan saya nyatakan bahwa saya akan memberikan pendapat saya semasa ia dibahaskan di Parlimen. Oleh kerana perbahasan tidak dibenarkan dan isu ini telah berlarutan sejak sekian lama serta menjadi polemik dalam masyarakat, terutamanya dalam kalangan umat Islam, maka saya berasa terpanggil untuk memberikan pandangan mengenainya.
Usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Marang ini adalah satu usul untuk memperluaskan bidangkuasa jenayah mahkamah syariah dalam menentukan hukuman bagi kesalahan-kesalahan yang melanggar perintah agama Islam dalam kalangan penganut agama Islam.
Seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk mengujudkan kesalahan dan hukuman bagi pelanggaran perintah agama Islam adalah kuasa negeri. Namun begitu, kuasa ini boleh dihadkan oleh undang-undang persekutuan iaitu Akta 355.
Pada ketika ini, Akta 355 menghadkan hukuman yang boleh dibuat oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu tiga tahun penjara, denda lima ribu ringgit dan enam kali sebatan. Jika usul pindaan kepada Akta ini diluluskan, DUN boleh meningkatkan had hukuman bagi kesalahan-kesalahan yang telah ditetapkan oleh undang-undang jenayah syariah kepada tiga puluh tahun penjara, seratus kali sebatan dan denda RM100,000.
Senarai 2 Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menghadkan bidangkuasa Mahkamah Syariah hanyalah dalam perkara-perkara yang disenaraikan di dalamnya dan tidak termasuk bidangkuasa jenayah mahkamah sivil yang dinyatakan di dalam Senarai Persekutuan. Maka dengan itu, DUN tidak boleh menggubal undang-undang untuk mewujudkan hukuman bagi kesalahan-kesalahan jenayah yang tersenarai dalam bidangkuasa legislatif persekutuan seperti mencuri, merompak, membunuh dan kesalahan-kesalahan lain yang terkandung di dalam Kanun Keseksaan yang sebahagiannya juga tergolong di dalam jenayah hudud.
Berdasarkan apa yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang, saya melihat RUU 355 masih tertakluk kepada peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Rang undang-undang ini tidak mewujudkan kesalahan-kesalahan baharu tetapi hanya meningkatkan hukuman yang boleh dikenakan bagi kesalahan-kesalahan sedia ada dalam kalangan orang Islam sahaja.
Rang undang-undang ini tidak terpakai ke atas orang bukan Islam sebagaimana diulang-ulang di dalam Jadual Kesembilan Perlembagan Persekutuan, juga disebut di dalam Akta dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam, Akta dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan Akta 355 sendiri. Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan bahawa undang-undang Islam di Malaysia hanya terpakai ke atas orang-orang Islam sahaja dan prinsip ini tidak berubah dengan pindaan yang dicadangkan.
Rang Undang-Undang ini juga bukanlah satu Rang Undang-Undang untuk melaksanakan undang-undang hudud di Malaysia. Malah ia hanyalah pindaan kepada undang-undang sedia ada sepertimana yang pernah dilakukan pada tahun 1984 dan 1989. Bezanya sebelum ini pindaan dilakukan menerusi Rang Undang-Undang Kerajaan, bukan Rang Undang-Undang Persendirian.
Berkenaan pindaan ini saya ingin membuat sedikit pemerhatian bahawa keselahan jenayah dan hukuman yang disenaraikan di bawah undang-undang sedia ada sebahagian besarnya adalah hukuman ta'zir yang mana penetapan had hukumannya adalah tertakluk kepada budi bicara pemerintah. Bahkan, terdapat pandangan para ulama' yang mengatakan bahawa had hukuman bagi kesalahan ta'zir tidak boleh melebihi hukuman bagi kesalahan hudud.
Dalam Islam, setiap hukuman yang ditetapkan mestilah adil dan setimpal mengikut Hukum Syarak dengan kesalahan yang dilakukan. Lebih-lebih lagi tujuan hukuman di dalam Islam bukan semata-mata untuk menghukum pesalah, tetapi juga untuk membangkitkan kesedaran di dalam dirinya supaya bertaubat, menyucikan jiwanya dan kembali ke landasan Islam yang sebenar.
Antara kesalahan yang terkandung di dalam undang-undang jenayah syariah sedia ada misalnya ialah seorang lelaki Islam tidak menunaikan solat Jumaat selama tiga kali berturut-turut tanpa uzur syar'ie. Hukuman yang dikenakan di sesetengah negeri pada masa ini ialah penjara tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi RM1000 atau kedua-duanya sekali. Hukuman ini dianggap setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan boleh menjadi pengajaran kepada pesalah supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama pada masa hadapan.
Namun apabila Rang Undang-Undang ini diluluskan, perlu ada jaminan bahawa pesalah bagi kesalahan ini dan yang seumpamanya tidak dikenakan hukuman penjara atau denda yang terlalu berat dan tidak setimpal apabila had hukuman penjara dinaikkan ke tiga puluh tahun dan denda sehingga RM100,000. Satu lindung jamin mestilah diadakan di dalam Rang Undang-Undang ini untuk memastikan pesalah menerima hukuman yang adil dan setimpal berlandaskan Hukum Syarak.
Pindaan ini juga masih lagi mengikat DUN untuk mengadakan hukuman dalam tiga bentuk hukuman sahaja iaitu pemenjaraan, denda dan sebatan. DUN masih tidak boleh mengadakan hukuman lain seperti mewajibkan hadir solat berjemaah di masjid untuk suatu tempoh tertentu atau melakukan kerja-kerja amal bagi orang yang melakukan kesalahan seperti tidak bersolat Jumaat, tidak berpuasa di bulan Ramadhan atau seumpamanya yang saya fikir lebih sesuai untuk tujuan mendidik daripada dikenakan hukuman denda atau penjara semata-mata.
Saya menyebut perkara ini kerana saya bimbang jika kita tidak berhati-hati dalam hal ini berkemungkinan akan berlaku sikap melampau (overzealous) dalam fahaman dan amalan agama yang akan mewujudkan kecenderungan untuk menghukum pesalah jenayah syariah secara semberono tanpa mengambilkira aspek keadilan dalam Islam semasa menjatuhkan hukuman yang nantinya akan menimbulkan fitnah kepada agama Islam sendiri. Untuk itu, wajarlah bentuk dan had hukuman yang terkandung di dalam Rang Undang-Undang ini dikaji semula untuk tujuan penambahbaikan.
Selain itu, saya juga ingin menegaskan bahawa pemerkasaan mahkamah syariah tidak seharusnya hanya terfokus kepada pemeluasan bidangkuasa jenayah mahkamah sahaja, tetapi juga mestilah secara pentadbirannya mencakupi usaha-usaha untuk meningkatkan kecekapan dan profesionalisme pegawai-pegawai mahkamah, termasuk hakim-hakim, pendakwaraya serta pegawai dan kakitangan mahkamah. Peningkatan kecekapan dan profesionalisme mahkamah syariah adalah amat penting untuk menjamin mahkamah syariah dapat melaksanakan fungsinya sebagai penegak keadilan, khususnya untuk umat Islam di Malaysia.
Untuk tujuan ini, kerajaan mestilah menyediakan sumber-sumber yang mencukupi kepada mahkamah syariah, baik dari segi kewangan, kepakaran dan sumber manusia. Sudah sampai masanya Hakim-Hakim Syarie Mahkamah Tinggi ke atas tidak lagi tertakluk sebagai penjawat awam dan satu skim khas sebagaimana hakim mahkamah sivil dibentuk bagi Hakim Syarie seluruh Malaysia.
Saya juga ingin menegaskan bahawa pelaksanaan dan penguatkuasaan mana-mana undang-undang Islam hendaklah sentiasa berlandaskan prinsip keadilan dan rahmah, selaras dengan Islam sebagai agama rahmatan lil alamin atau agama rahmat untuk sekalian alam. Mahkamah syariah adalah sebuah institusi yang bertanggungjawab untuk melaksanakan keadilan menerusi pelaksanaan undang-undang.
Sebagai sebuah negara yang menjunjung keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, pelaksanaan Akta 355 ini juga mestilah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.
Sekiranya pandangan-pandangan yang saya kemukakan ini diambilkira, saya tiada halangan untuk menyokong Rang Undang-Undang ini apabila ia dibahas dan diundi dalam sidang parlimen akan datang. Yang penting bagi saya ialah pembentangan Rang Undang-Undang ini mestilah untuk kebaikan umat Islam dan saya tidak melihatnya dari perspektif lain termasuk politik.
TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia
9 April 2017
0 comments:
Post a Comment