Latest News

Sunday 30 July 2017

Muhyiddin, Mukhriz bangkitkan warga Temerloh yang ‘lena’


Di negeri kelahiran Najib Razak, dua tahun selepas dipecat daripada Kabinet, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berikrar tidak akan kembali kepada Umno sekalipun perdana menteri meletakkan jawatan dan meninggalkan parti Melayu itu.

Pengumuman Muhyiddin dilakukan tidak berapa lama selepas Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad mengumumkan dalam sebuah rakaman video semalam, beliau tidak akan kembali kepada Umno sekalipun selepas Najib meletakkan jawatan kerana parti itu sudah rosak.

"Ada orang tanya kepada saya adakah saya akan kembali kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) selepas Najib letak jawatan. Saya kata 'no way' balik Umno.

"Umno is finish. Umno is gone. Kita akan tetap istiqamah bersama Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) kerana Umno adalah parti paling rasuah di dalam dunia," kata Muhyiddin di hadapan 1500 orang yang hadir di program Jelajah Semarak di Temerloh, Pahang malam tadi.


Program Jelajah Semarak anjuran Bersatu yang bermula awal tahun ini "berehat" pada bulan Ramadan lalu dan disambung semula di Temerloh malam tadi selepas selesai sambutan Aidilfitri.

Seperti di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada bulan Mei, program malam tadi dimulakan dengan bacaan doa dan berzikir diketuai pimpinan tertinggi Bersatu.

Dalam ucapannya, Muhyiddin menerangkan tentang bahaya skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada rakyat Malaysia.

"Orang Temerloh mungkin rasa skandal 1MDB ini tidak beri kesan. Saya nak beritahu, orang Temerloh kena ambil tahu sebab terlalu banyak penyelewengan demi penyelewengan dalam 1MDB.

"Dan duit untuk bayar hutang 1MDB itu datang daripada tuan juga," kata Muhyiddin yang juga merupakan ahli Parlimen Pagoh itu.


Rakyat Malaysia pelbagai kaum dan latar belakang memenuhi program Pakatan Harapan itu malam tadi, petanda mereka mula disedarkan daripada lena yang panjang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 29 Julai, 2017.

2M mampu tarik hadirin

Program Jelajah Semarak malam tadi sepatutnya turut menampilkan Dr Mahathir akan tetapi keadaan kesihatan bekas perdana menteri yang berumur 92 tahun itu tidak begitu baik dan dinasihatkan doktor agar banyak berehat.

Pada program sama, Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir mengatakan beliau tidak menafikan Umno banyak berjasa kepada negara.

"Akan tetapi kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

"Dan nila itu ialah Najib. Kerana Najib Umno menjadi rosak," kata bekas menteri besar Kedah itu.

Mukhriz turut menceritakan, sewaktu masih bersama Umno, beliau cuba untuk meminta Najib meletakkan jawatan agar parti Melayu itu dapat diselamatkan.

"Dalam sejarah politik Malaysia, kesemua perdana menteri meletakkan jawatan di tengah penggal. Tiada yang letak jawatan lepas pilihan raya. Contohnya Pak Lah letak jawatan pada tahun 2009, setahun selepas pilihan raya 2008," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hitam itu merujuk kepada perdana menteri kelima Abdullah Badawi.

Walaupun tanpa kehadiran Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz masih mampu membuatkan hadirin menunggu sehingga program selesai.

Mustafa Othman, 66, yang datang dari Raub malam tadi teruja dengan ucapan diberikan Muhyiddin dan Mukhriz.

"Walaupun dulu Muhyiddin dan Mukhriz ini dari Umno, saya gembira kerana mereka kini sudah bersama Pakatan Harapan.

"Saya tak kisah apa mereka buat dahulu, kini mereka sudah tinggalkan Umno dan lawan Umno, itu yang lebih penting," katanya.

Seorang lagi hadirin Ramasamy, 60, hadir ke program malam tadi untuk memberikan sokongan kepada program anjuran Bersatu itu.

"Ada banyak isu yang perlu dijelaskan terutamanya yang melibatkan kebajikan rakyat.

"Saya rasa program seperti ini pada masa hadapan perlu memberikan lebih banyak penjelasan berkenaan isu penting seperti PTPTN, GST dan kebanjiran warga asing di negara kita," katanya.

Kerusi Parlimen Temerloh buat pertama kalinya jatuh ke tangan pembangkang pada PRU13 apabila calon PAS Nasrudin Hassan berjaya menewaskan Saifuddin Abdullah yang pada ketika itu bersama Umno dengan majoriti kecil 1070 undi disebabkan pengundi Cina beralih arah.

Kini PAS tidak bersama PH akan tetapi masih belum diketahui siapa yang akan mewakili gabungan pembangkang untuk kerusi Temerloh kerana dikatakan PKR, Amanah dan Bersatu masing-masing menyatakan minat mereka.

Walau apapun yang berlaku, 2M- Muhyiddin dan Mukhriz- membangunkan orang Temerloh daripada “lena” malam tadi. – 29 Julai, 2017.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Muhyiddin, Mukhriz bangkitkan warga Temerloh yang ‘lena’ Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top