Latest News

Monday 28 August 2017

Armada anjurkan sesi dua hala perbincangan mingguan



Pemuda Bersatu anjurkan sesi dua hala perbincangan mingguan

PEMUDA Bersatu, Armada merancang untuk mengadakan sesi “town hall” mingguan untuk meningkatkan hubungan dua hala dengan orang awam, menumpukan pelbagai isu dasar negara.

Bicara Wawasan 2020 bermatlamat untuk mendekatkan rakyat Malaysia dengan pelbagai topik yang menyentuh kepentingan awam bagi memastikan pandangan rakyat diambil kira dalam proses pembentukan dasar, kata Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Yang kami hendak sampaikan adalah apabila kami menjadi kerajaan, kami akan memasukkan input dan cadangan yang kami dapat,” katanya.

“Sebelum ini kita selalu ada ceramah besar, seperti di Terengganu apabila hampir 2,000 orang datang dan 8,000 orang pula datang di ceramah Kedah tetapi ia ceramah satu hala,” katanya kepada wartawan di majlis raih dana anjuran Pemuda Bersatu di Gombak malam tadi.


“Apa yang membezakan town hall ini dengan town hall TN50 (Transformasi Negara 2050) adalah kami mahu dapatkan input terus daripada mereka (rakyat) jadi kita boleh terus ambil dan jadikan dasar kita.”

Sesi town hall itu yang akan diterajui pemimpin Bersatu dan parti lain dalam Pakatan Harapan juga akan disertai pemimpin masyarakat, kumpulan sasaran dan badan bukan kerajaan (NGO).

Sesi town hall anjuran Pemuda Bersatu sebelum ini, “Nothing to Hide 2.0” dicemari dengan keganasan apabila sekumpulan hadirin membaling kerusi, kasut dan membakar suar ke pentas ketika Dr Mahathir Mohamad sedang berucap.

Forum itu yang sepatutnya menjadi medan debat antara Dr Mahathir dan Perdana Menteri Najib Razak berkenaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pelbagai isu negara lain. Najib, bagaimanapun, tidak hadir ke majlis itu. – 28 Ogos, 2017.

  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Armada anjurkan sesi dua hala perbincangan mingguan Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top