Latest News

Monday 28 August 2017

Pembangkang perlu sedia korban hak: Tun Mahathir



GOMBAK - Pembangkang perlu bertolak ansur dan berkorban terutama terhadap rakan politik bagi merealisasikan matlamat merubah tampuk pemerintahan negara.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sekiranya sebuah parti itu bertindak berseorangan, kemenangan tidak mampu direalisasikan tambahan BN mempunyai 13 parti dalam gabungan.

"Negara kita sekarang menghadapi masalah pemerintahan kleptokrasi. Menjadi tugas kita untuk merampas kuasa daripada kleptokrat ini.

"Untuk ini kita perlu berkorban dan bertolak ansur dengan rakan-rakan kita kerana dengan sendiri parti kita tidak akan tidak mungkin menang dan kalahkan kerajaan yang punyai 13 parti dalam gabungan mereka.


"Kita cuma empat parti sahaja. Maka kita perlu bekerjasama dengan keempat- empat parti ini,"

"Kerjasama bermakna kesanggupan mengorbankan apa yang dianggap hak kita supaya pihak lain mendapat bahagian mereka," katanya ketika berucap pada majlis makan malam dan lelongan amal anjuran Armada, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Muhkriz Mahathir.

Menurutnya, inilah yang diperlukan daripada dalam gabungan parti politik supaya agihan kuasa dan hak kepada semua pihak dengan cara adil dan saksama.

Dalam pada itu, Mahathir berkeyakinan kombinasi pengalaman dan tenaga antara golongan tua dan muda dalam kepimpinan Bersatu akan membuahkan kejayaan.

"Dalam perang golongan muda yang memainkan peranan utama, kerana masa depan akan diwarisi oleh golongan muda. Yang tua akan pergi dan muda akan ganti.

"Bagi menentukan yang muda ini, mewarisi keadaan yang lebih baik, maka awal- awal lagi golongan muda mesti mengambil bahagian agar yang diwarisi adalah baik belaka," katanya.

Mahathir berkata, ada kalanya mereka yang tua tidak bertanggungjawab dan melakukan perbuatan salah dan memburukkan keadaan supaya apabila diwarisi oleh orang muda, adalah keadaan yang amat buruk.

"Oleh sebab itu dalam Bersatu, peranan utama diberikan kepada Armada, pasukan muda dalam parti kita.

"Ini menjadikan satu tanggungjawab yang berat untuk golongan muda. Mereka tidak boleh tunggu sehingga kebaikan datang melayang terhadap mereka. Mereka perlu berusaha supaya yang datang adalah yang baik belaka," ujarnya.

Beliau berkata, golongan tua tidak boleh menganggap golongan muda tidak ada kelebihan dan mereka yang sudah tua dianggap tidak berguna dan nyanyuk.

"Kita semua ada pengalaman dan tenaga. Apabila ada kombinasi pengalaman dan tenaga ini, tidak dapat tidak kita akan berjaya," katanya.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Pembangkang perlu sedia korban hak: Tun Mahathir Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top