Latest News

Tuesday 31 October 2017

Sudah 100 hari, mengapa belum lulus lagi?


KUALA LUMPUR - Pembangkang mempersoalkan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) yang didakwa melengah-lengahkan kelulusan pendaftaran Pakatan Harapan dan logo yang kini telah mencecah 100 hari.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, berapa lama lagi masa diperlukan untuk meluluskan permohonan tersebut, apabila kementerian dalam jawapan lisan memaklumkan permohonan tersebut masih dalam pertimbangan jabatan berkenaan.

“Hari ni lebih tiga bulan berlalu, tapi tiada apa-apa maklumat diterima dari ROS.

“Daripada jawapan yang dikemukakan, saya ingin tanya, dalam bentuk apakah kami akan menggugat keselamatan negara?,” katanya dalam satu sidang media di Parlimen, hari ini.


Terdahulu, Tze Tzin telah meminta Kementerian Dalam Negeri melalui soalan lisan di Dewan rakyat menyatakan sebab mengapa logo Pakatan Harapan masih belum diluluskan.

Beliau berkata, timbul pertanyaan, adakah ROS, terutama Menteri Dalam Negeri berlaku adil?

“Ini kerana hanya dua pakatan parti politik yang berjaya didaftarkan, pertama, Perikatan dan kedua BN, tiada parti politik lain yang berjaya setakat ini.

“Jadi adakah BN sahaja boleh daftar sebagai pakatan, sedangkan kami mempunyai sokongan yang begitu ramai,”katanya.

Beliau berkata, Harapan telah mematuhi segala peraturan dalam kegiatan politik, jadi tidak timbul isu menggugat kepentingan awam dan keselamatan negara.

Tze Tzin berkata, melihat kepada kelewatan ini, perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat presiden Harapan memandangkan PRU14 semakin hampir.

“Kita mahu berlawan dalam gelanggang yang rata, jangan guna pelbagai rintangan dan cara untuk menggugat pilihanraya.

“Kalau perdana menteri begitu yakin BN boleh menang besar seperti dilaporkan dalam pembentangan bajet 2018, biarlah kami masuk gelanggang secara adil,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Taiping, Ngar Kor Ming pula menambah, adalah wajar dan wajib ROS memberi kelulusan kepada Harapan yang telah sabar menanti sehingga 100 hari.

“Dulu parti Makkal Sakhti yang menyokong BN mendapat kelulusan dalam tempoh tujuh hari, jangan tunggu lepas pilihan raya baru nak lulus, kami dah penuhi segala syarat dan peraturan,” katanya.

sinar 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Sudah 100 hari, mengapa belum lulus lagi? Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top