Latest News

Friday, 10 November 2017

Ahli politik ‘jahat’ jejas keharmonian negara, kata kumpulan veteran



KEINGINAN melihat semula Malaysia yang harmoni dan merayakan perbezaan kaum dan agama, mendorong sekumpulan bekas tentera dan polis berbilang kaum menubuhkan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot).

Berbekalkan kepercayaan selagi perpaduan, keselamatan dan keharmonian negara dan rakyat tidak terpelihara, Malaysia tidak mungkin akan mengecapi kesejahteraan, keamanan dan kebahagiaan, mereka sanggup ke hadapan.

Presiden Patriot Brig. Jen (Bersara) Mohd Arshad Raji berkata, keharmonian Malaysia sebagai negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama “hampir dirosakkan” oleh segelintir ahli-ahli politik yang hanya mementingkan kuasa.

Arshad berkata, generasi beliau dibesarkan untuk melihat lebih daripada soal kaum dan agama, sambil menambah ia adalah ahli politik "jahat" yang mencipta perbalahan di kalangan generasi muda.


"Orang politik yang rosakkan semua ini. Orang politik yang buat kerja ini. Kita semua adalah rakyat Malaysia," katanya dalam temubual bersama The Malaysian Insight.

“Kita kena ajar dia orang. Kita kena tunjukkan budaya yang baik dan semangat sayangkan negara kerana kita adalah 'bangsa Malaysia'.”

Arshad juga mempertahankan kenyataannya sebelum ini yang Patriot akan terus menyokong Dr Mahathir Mohamad selepas ia mendedahkan kerajaan menghentikan pasukan keselamatan peribadi bekas perdana menteri itu.

“Pada saya, semua ini dilakukan disebabkan politik. Tak tahulah sama ada ia bertujuan untuk lemahkan semangat Dr Mahathir, tak tahulah kan. Very obvious," katanya.

Arshad berkata, matlamat Patriot adalah menjurus kepada memperjuangkan perpaduan kaum, memelihara keharmonian rakyat, kesaksamaan dan keadilan dasar ekonomi dan pendidikan kepada rakyat.

Kumpulan ini terdiri daripada 25 pemegang jawatan dan kira-kira 100 ahli.

Para pemegang jawatan adalah Mohamad Arshad, Maj Mior Rosli Mior Jaffar, Kapten Kung Boon Chin, Laksamana Mior Rosdi, Lt Kol Fabian Wong, Kol Kamal Omar, Kapten Zainuddin Che Din, DSP Mior Roslan Mior Jaffar, Mejar Baldev Singh, Kol Anthony Edgar Joseph , Lt Kol Yunus Ali, Kapten Dr Wong Ang Peng.

Berikut adalah petikan wawancara beliau dengan The Malaysian Insight:

TMI: Bagaimana asal usul penubuhan Persatuan Patriot Kebangsaan?

Arshad: Asal usul persatuan ini, kita mula pada Mac 2017. Saya pada ketika itu mengadakan sidang media di Royal Lake Club di Kuala Lumpur.

Ketika itu masih belum ada persatuan. Saya buat sidang media secara peribadi, saya bangkitkan banyak isu. Tapi saya tiada platform. Saya bangkitkan juga isu-isu ini melalui penulisan di blog saya, Facebook saya dan lain-lain.

Lepas sidang media itu, orang jumpa saya dia kata, “Arshad, kalau bercakap seorang sahaja tak kuat. You tak ada base, tak ada support.”

Jadi, timbullah idea tubuhkan persatuan. Itulah puncanya. Saya kumpulkan beberapa orang yang sealiran, kita tubuhkanlah persatuan.

Alhamdulillah, kita sudah didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan bukan di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV).

Apa yang penting dalam persatuan kami ini, kita non-partisan, kita tidak terlibat dengan mana-mana parti politik.

Akan tetapi ahli kita boleh menganggotai parti politik. Tiada masalah. Tapi jangan gunakan persatuan ini untuk projekkan diri anda sebagai ahli politik. Kita tidak mahukan ini.

Yang kedua, kita ini berbilang kaum. Semasa berkhidmat, kita dilatih untuk tidak sebut langsung tentang kaum dan agama. Kita semua kawan. Kita susah bersama, kita senang bersama.

Orang politik yang rosakkan semua ini. Orang politik yang buat kerja ini. Kita semua adalah rakyat Malaysia. Sebab itu baru-baru ini saya tulis tentang isu Bugis.

Apa yang nak difikirkan tentang keturunan kita sangat? Kita dilahirkan di sini.

Ayah saya berasal dari Padang, Sumatera di Indonesia. Ada orang cadang pada dia untuk balik ke Padang sebab banyak harta di sana. Dia kata, “No way! Saya dilahirkan di sini”. Ini yang ayah saya ajar.

Malaysia adalah tanah tumpah darah saya. Saya dilahirkan dan akan mati di sini. Jangan 
ungkit hal-hal keturunan saya.



Brig. Jen. (Bersara) Mohd Arshad Raji menggesa ahli politik hentikan semua permainan politik dengan menggunakan isu kaum dan agama demi kuasa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 November 2017.

TMI: Kebanyakan ahli Partiot sekarang ni, adakah mereka berkhidmat seangkatan dengan Datuk dahulu?

Arshad: Tidak. Mereka datang sendiri. Kita sebarkan maklumat melalui WhatsApp group, Facebook. Mereka berminat, kemudian kami bertemu.

Buat permulaan ini, ahli-ahli kita semuanya bekas anggota beruniform seperti tentera dan polis. Akan tetapi selepas ini kami akan kembangkan lagi keahlian kepada semua rakyat Malaysia.

Sekarang ini kita sedang dalam proses untuk kembangkan lagi keahlian.

TMI: Malaysia sekarang ini menjadi medan isu perkauman dan agama yang akan gugat keharmonian negara. Apa patut dilakukan?

Arshad: Saya benci keadaan ini. Saya marah apabila orang mainkan isu kaum dan agama. Saya tak dilatih begitu. Saya masuk askar, budaya kita tak pernah sentuh pun tentang kaum dan agama.

Kita semua sama. Tengok salah seorang ahli Patriot Kapten Dr Wong Ang Peng, kami dah lama bersama. Takkan saya nak cakap tentang kaum dan agama dengan dia?

Dulu masa berkhidmat, saya ketuai satu batalion renjer. Campur-campur, ada Iban, Melayu, Cina dan India. Kita semua bercampur. Kita tak cakap soal kaum dan agama. Kita cakap soal negara.

Ini semua permainan politik. Lazimnya kami sebagai anggota tentera tak sebut soal kaum dan agama.

TMI: Apa nasihat kepada ahli politik?

Arshad: Stop all this rubbish. Selagi ditimbulkan isu keturunan, kaum dan agama di war-warkan. Kita tak akan dapat bersatu.

Agama kita pun kata. Ada ke agama kita mengasing-asingkan bangsa? Tak ada! Tuhan menciptakan manusia dengan berbagai-bagai bangsa. Bukan untuk bergaduh sesama sendiri.

Saya tegas tentang perkara ini. Jangan bangkitkan kebencian kaum dan agama. Saya salahkan juga sesetengah ulama ni. Cuba dengar tazkirah mereka.

Separuhnya baguslah, separuh lagi menyemai kebencian kaum dan agama. Bila saya dengar yang jenis begini, saya jadi menyampah. Bukan orang bukan Islam saja, orang Islam dengar pun jadi menyampah.

Itu bukan cara kita. Walaupun saya bukan alim sangat tetapi saya tahu itu bukan cara kita. Ulama kita juga mesti tegas, tegur mana yang tidak betul. Cara mengajar yang tidak betul.

Tapi yang paling jahat ialah ahli politik. Kita mesti ajar mereka. Ajar mereka betul-betul. Jangan ungkit-ungkit perkara macam ini.


TMI: Apakah Patriot akan sediakan pasukan keselamatan untuk menjaga Dr Mahathir?

Arshad: Bukan begitu maksud kami. Apabila saya baca berita tentang itu, timbul di dalam perasaan hati kami, mengapa sampai jadi begini? Mengapa seorang negarawan seperti Dr Mahathir diperlakukan sebegini rupa?


Disebabkan itu, kami mahu sampaikan mesej kepada Dr Mahathir, kami di belakang anda. Kami selalu bersama anda. Bukan kerana dia sebagai seorang ahli politik, tapi kita kenangkan jasa dia.

TMI: Patutkah Dr Mahathir dilayan begini disebabkan beliau sekarang melawan kerajaan?


Arshad: Dia 22 tahun menjadi perdana menteri kita. Sudah tentu banyak jasa dia kepada negara ini. Takkan kita nak biar begitu sahaja. Betulkan? Common sense, common sense. Kita beritahu perlu sokong dia.

Kami sanggup sebagai patriot negara untuk pertahankan dia yang sudah berkhidmat dan banyak berjasa kepada negara. – 8 November, 2017.

  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Ahli politik ‘jahat’ jejas keharmonian negara, kata kumpulan veteran Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top