SHAH ALAM - Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bersemuka dengannya dalam satu debat terbuka.
Menerusi catatan terbaru dalam blognya, bekas perdana menteri itu berharap ‘Nothing to Hide 3’ menjadi plaftorm bagi membolehkan Najib membuktikan segala kritikannya terhadap kerajaan selama ini tidak benar.
Menurut Mahathir, tiada sebab untuknya tidak menyuarakan kritikan terhadap kerajaan terutama berkaitan isu 1MDB, di saat Parlimen sendiri dilarang untuk bertanya soalan tentangnya.
“Media elektronik dan bercetak di Malaysia dikawal kerajaan. Malah Parlimen juga tidak boleh berbincang tentang 1MDB dan RM2.6 bilion dalam akaun Najib. Perhimpunan Agung Umno diarahkan untuk tidak membangkitkannya.
“Adakah saya patut berdiam diri ketika ditanya orang asing. Saya sudah bercakap dengan orang asing sepanjang hidup saya. Buktikan apa yang saya katakan palsu. Mari adakan ‘Nothing to Hide 3’,” katanya dipetik dalam blognya, semalam.
Beliau merujuk laporan sebuah portal memetik Najib sebagai berkata, seorang ‘bekas pemimpin’ akan bertemu dengan mana-mana media yang sanggup mendengarnya, agar dapat menyebarkan berita palsu dan memfitnah kerajaan.
Program ‘Nothing to Hide’ julung kali dianjurkan pada 5 Jun 2015 di PWTC. Najib yang diundang menghadiri forum anjuran sebuah NGO, bagaimanapun tidak muncul atas faktor keselamatan. Sebaliknya hanya Mahathir yang berucap.
‘Nothing to Hide 2’ pula dianjurkan sayap pemuda Bersatu pada Ogos lalu, berlangsung tanpa kehadiran Najib, dan berakhir dengan kekacauan.
Walaupun jemputan telah dibuat, Najib tidak hadir. Program tersebut hanya menempatkan Mahathir seorang diri di atas pentas sebagai ahli panel.
0 comments:
Post a Comment