Latest News

Tuesday 6 February 2018

Dr M: SPRM tahan bekas pemimpin PPBM cuba sogok pemimpin keluar parti


PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, seorang bekas pemimpin PPBM ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan cuba menyogok seorang pemimpin negeri parti itu meninggalkan PPBM.

Pengerusi PPBM itu bagaimanapun enggan memberi butiran berhubung penahanan itu.

“Untuk maklumat, SPRM telah menahan seorang bekas pemimpin PPBM kerana didakwa memberi rasuah kepada pemimpin PPBM peringkat negeri, untuk maklumat lanjut saya rasa elok tanya SPRM,” katanya pada sidang media Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Sementara itu, Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM menyifatkan tindakan 400 ahli PPBM membuat laporan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM) mendakwa parti itu melanggar perlembagaannya, ialah taktik kotor.

“Kita hairan kenapa 400 ahli PPBM membuat laporan sama dengan perkataan yang sama kepada JPPM? Nampak ada usaha dari pihak mana untuk memberi alasan kepada JPPM tidak meluluskan permohonan untuk PH didaftar.”

Pada 12 Januari lalu, Ketua Pengarah JPPM, Surayati Ibrahim dilaporkan berkata, pihaknya sedang menyiasat lebih 400 aduan yang diterima berkaitan isu perhimpunan agung tahunan (AGM) pertama PPBM.

Beliau meminta semua pihak memberi masa kepada JPPM kerana siasatan itu perlu dijalankan secara terperinci kerana membabitkan banyak aduan.

Pada 30 Disember lalu, PPBM mengadakan AGM pertama di Shah Alam, selepas lebih setahun ia didaftarkan pada September 2016.

Parti itu mendakwa mereka terpaksa mengadakan AGM di sebalik ancaman pembatalan pendaftaran oleh JPPM, susulan masalah membabitkan penstrukturan cawangan serta bahagiannya yang tidak diiktiraf JPPM.

Sementara itu, pengerusi PH itu berkata, JPPM belum memberi sebarang penjelasan berhubung punca pendaftaran gabungan 4 parti pembangkang itu belum diluluskan.

“Dia hanya sebut secara tidak langsung yang ada masalah dengan DAP dan PPBM, setahu saya kita nampak DAP dah selesai, tapi tak dapat apa-apa surat, PPBM pun tak dapat apa-apa surat, saya khuatir dengan ini maka kelulusan tidak akan diberi kepada penubuhan PH.

“Ini sudah tentu cara BN menang dengan mengganggu pilihan PH oleh pengundi,” katanya.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Dr M: SPRM tahan bekas pemimpin PPBM cuba sogok pemimpin keluar parti Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top