Latest News

Wednesday 7 February 2018

ROS tak lulus: Pakatan Harapan ambil tindakan undang-undang


KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (Harapan) akan mempertimbangkan mengambil tindakan undang-undang bagi menyelesaikan isu pendaftaran gabungan itu yang masih belum mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Harapan sebelum ini.

"Isu pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP telah pun diselesaikan. Jadi tiada alasan ROS melengah-lengahkan perkara ini (pendaftaran Harapan).

"Kami akan tulis surat kepada ROS esok untuk beri jawapan kenapa pendaftaran Harapan belum diluluskan. Sekiranya masih tiada maklum balas, kita akan ambil tindakan undang-undang," katanya dalam sidang media, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke dan Adun Nilai, J Arul Kumar.


Mengulas lanjut, Gobind berkata, ROS perlu memberikan jawapan segera kerana PRU14 boleh berlangsung pada bila-bila masa.

"ROS perlu lebih profesional dan mengemukakan surat hitam putih menyatakan alasan mereka belum meluluskan pendaftaran Harapan. Malah kami juga bersedia jika ROS ingin mengadakan perjumpaan.

"Kalau kami tiada pilihan lain terpaksalah kami bawa perkara ini ke mahkamah. Selain itu kami juga ada pelan cadangan lain yang tidak boleh didedahkan lagi," katanya.

Pada 3 Februari lalu, ROS dalam satu kenyataan berkata, pemilihan semula CEC DAP pada 12 November tahun lalu mematuhi semua syarat yang diarahkan oleh jabatan itu.

Surat rasmi memaklumkan keputusan itu juga telah dihantar kepada DAP semalam.

Sebelum ini, dilaporkan masalah dalaman DAP dan Bersatu adalah antara punca pendaftaran Harapan masih belum diluluskan.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: ROS tak lulus: Pakatan Harapan ambil tindakan undang-undang Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top