Latest News

Thursday 15 March 2018

'Mengapa Najib takut sangat parti baru ini?'


Tun Dr Mahathir Mohamad secara sinis menyifatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai parti yang tidak mempunyai ramai anggota dan dipimpin oleh orang tua yang berusia 92 tahun.

Tetapi parti itu amat ditakuti oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sehingga cuba melumpuhkannya, kata bekas perdana menteri itu.

"Sejak ditubuhkan, kami parti baru dengan ahli yang sedikit, dan dipimpin mereka yang tiada pengalaman dan berumur 92 tahun.

"Tetapi Najib mahu lumpuhkan parti ini," katanya yang juga pengerusi BERSATU dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN di Parlimen hari ini.

Beliau merujuk kemelut BERSATU dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang masih berterusan, antaranya amaran jabatan itu untuk mengeluarkan notis pembubaran jika parti itu tidak menjawab dan menyerahkan sejumlah dokumen dalam masa 30 hari berkuatkuasa 28 Februari lalu.


"Kami sudah daftar tetapi sekarang mereka persoal pelbagai perkara, dan jika kami jawab pun mereka tidak akan terima," katanya lagi.

Mahathir bagaimanapun tidak menjawab secara terus ketika ditanya berhubung perancangan BERSATU dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 jika pendaftarannya dibatalkan.

"Mana boleh beritahu plan B kami," katanya disambut ketawa pemberita dan pemimpin HARAPAN yang ada di sana.

Ketika ditanya apakah calon BERSATU akan bertanding menggunakan logo parti komponen HARAPAN, Mahathir secara berseloroh berkata beliau mungkin memilih logo DAP dan malah menjadi pemimpin parti itu.

"Semua perkara ini kita ambil kira, saya terbuka. Saya boleh bertanding untuk DAP dan malah (menjadi) presiden DAP," katanya sekali lagi diiringi ketawa.

Beliau kemudian bertanya kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sama ada bersetuju dengan perkara itu.

Lim hanya mengangkat bahu dan Mahathir berkata ia sebagai tanda setuju.

Lim kemudian menjawab: "Kita kekal dengan HARAPAN".
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: 'Mengapa Najib takut sangat parti baru ini?' Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top