Latest News

Wednesday, 7 March 2018

Mimpi tidak akan menjadi kenyataan sekiranya kita terus lena dibuai mimpi - Wan



UCAPAN WAN SAIFUL WAN JAN
MAJLIS KEMASUKAN RASMI KE PPBM
1 MAC 2018
IBU PEJABAT PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Yang dihormati para pemimpin PPBM dan lain-lain parti dalam Pakatan Harapan,

Wartawan dan wakil-wakil media,

Rakan-rakan yang saya hormati,

Sebagai pembuka kata, izinkan saya mengucapkan terima kasih kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana sudi menerima kehadiran saya. Ini langkah pertama saya dalam dunia politik kepartian secara aktif di Malaysia. Sebagai budak baru belajar, sudah pasti banyak kesalahan yang mungkin saya lakukan.

Saya mohon bantuan dan jasa baik abang-abang dan kakak-kakak untuk membantu saya dalam memulakan perjalanan ini.

Saudara saudari yang saya hormati,

Selepas saya menamatkan pelajaran di Sekolah Alam Shah Kuala Lumpur pada tahun 1992, saya melanjutkan pengajian ke United Kingdom. Saya ke sana pada bulan Ogos 1993. Dan saya menetap di sana sehingga bulan Oktober 2009. Saya bergiat aktif dalam pergerakan mahasiswa di bawah payung PAS. Pengalaman bersama PAS itu banyak membentuk pemikiran saya dan saya amat bersyukur dengan pengalaman tersebut.

Sekitar pertengahan 2004, saya masih ingat lagi bagaimana saya dan isteri mula berbincang mengenai perancangan kami jangka panjang. Ketika itu, keputusan yang kami ambil ialah untuk kekal menetap di United Kingdom dan tidak kembali ke Malaysia. Kehidupan kami di sana sudah agak selesa. Anak-anak sudah mula bersekolah. Malahan kami mula berbincang mengenai membeli rumah dan membuat pelaburan untuk tabung persaraan.

Tetapi pada pertengahan tahun 2009, saya menerima tawaran daripada seorang penderma untuk memberikan sekitar RM500,000 untuk memulakan sebuah kumpulan pengkaji di Malaysia. Jika saya mahukan wang tersebut, saya perlu pulang kembali ke Malaysia. Itulah permulaan kepada tertubuhnya Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).

Keputusan yang diambil pada masa itu memang keputusan yang besar. Malahan risikonya juga tinggi. Wang yang ada hanyalah RM500,000 dan tiada jaminan bahawa IDEAS akan berjaya. Tetapi saya dan isteri bertekad bahawa itu adalah peluang untuk melakukan sesuatu untuk negara ini.

Walaupun risikonya tinggi, dan kesan terhadap keluarga … terpaksa memindahkan anak-anak yang sedang bersekolah, dan hilangnya jaminan dari segi kewangan … kami yakin bahawa ada faedah yang lebih besar yang boleh dicapai jika kami kembali ke Malaysia. Maka akhirnya kami membuat keputusan untuk keluar dari comfort zone pada masa itu, dan kembali ke Malaysia untuk cuba melakukan sesuatu yang positif untuk negara.

Kira-kira dua minggu lalu, sekali lagi kami sekeluarga terpaksa berhadapan dengan persoalan yang lebih kurang sama. Iaitu, adakah kami mahu terus berada dalam comfort zone, atau mahu mengambil risiko baru sebagai percubaan kecil untuk memberi sumbangan kepada negara.

Saya masih ingat, apabila saya mula timbulkan isu ini kepada isteri saya, jawapan yang diberi ialah dia sendiri tidak boleh mementingkan diri dan saya pun tidak boleh mementingkan diri.

Maksudnya, jika ada satu panggilan yang lebih tinggi, walaupun risikonya besar, jangan ditolak jemputan itu semata-mata kerana memikirkan kesan terhadap diri sendiri sahaja, sedangkan ada keburukan yang lebih besar yang perlu ditentang.

Perbualan dengan isteri saya itu merupakan langkah pertama yang akhirnya membawa saya ke dalam PPBM. Memang, jika difikirkan kesan terhadap saya secara peribadi, sukar untuk saya ceritakan betapa besar risiko ini.

Saya kehilangan sumber pendapatan utama dan bermula hari ini, secara rasminya pendapatan bulanan saya ialah kosong.

Risiko lain ialah, pasti akan ada pihak yang mengorek tulisan-tulisan dan ucapan-ucapan saya yang lepas, untuk mencari jalan melaga-lagakan saya dengan parti baru yang saya pilih ini.

Sudah pasti juga akan ada yang cuba menimbulkan keraguan dengan mengelirukan orang ramai mengenai maksud liberalisme, dan mengaitkan saya dengan perkataan liberal yang mereka salah tafsir.

Dan mungkin juga ada rakan-rakan yang dahulunya selesa untuk mengajak saya berbual dan berbincang, tetapi kini mula menjauhkan diri.

Itu semua asam garam persaingan politik di Malaysia dan sebagai orang baru, saya merayu kepada abang-abang dan kakak-kakak untuk memberi saya tunjuk ajar bagaimana untuk melalui cabaran-cabaran ini.
Saudara saudari,

Walaupun wujud sebegitu banyak kebimbangan dalam diri saya, tetapi saya yakin bahawa menyertai PPBM ini adalah satu perkara yang perlu saya lakukan sekarang.

Malahan, bukan sahaja perlu, tetapi terus terang saya katakan bahawa saya sebenarnya malu kerana saya hanya berani melakukannya sekarang!

Jika dilihat suasana dalam negara, semua kita tahu bahawa pelbagai masalah yang melanda adalah bermula dengan kerosakan yang berlaku di peringkat pemimpin politik.

Rasuah, salah laku, pemusatan kuasa, rompakan wang rakyat, mencipta pelbagai alasan untuk mempertahankan perkara yang salah, penyebaran mesej yang boleh memecah belahkan keharmonian masyarakat, semua ini berlaku yang paling banyak di peringkat orang politik, bukan di kalangan orang biasa.

Dan kita juga sedia maklum bahawa untuk menyelesaikan kebanyakan masalah yang timbul, penyelesaian yang kita perlukan ialah di peringkat politik. Negara ini memerlukan satu pentadbiran yang mempunyai political will untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Tetapi political will itu tidak wujud dalam pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional hari ini!

Dalam suasana sedemikian, dalam keadaan political will itu tidak wujud, semua perubahan yang kita mahukan sama sekali tidak akan berlaku jika rejim pemerintah hari ini tidak ditukar terlebih dahulu!

Berucaplah sekuat mana sekalipun. Tulislah sebanyak mana kertas cadangan sekalipun. Sekiranya rejim yang sama terus mentadbir negara, perubahan tuntas yang kita mahukan mustahil akan terlaksana kerana political will itu tidak wujud.

Penyelesaian yang sebenar hanya akan berlaku jika kita semua bangkit menolak dan menjatuhkan rejim UMNO dan Barisan Nasional dalam PRU akan datang!

Saudara saudari sekelian,

Sebab itulah saya katakan tadi, saya malu … saya malu apabila berhadapan dengan anak-anak muda yang pernah saya temui.

Syed Sadiq dengan komitmennya untuk membangunkan sayap pemuda parti.

Saudara Fahim yang saya temui semasa menjalankan kajian mengenai PPBM.

Anak muda seperti saudara Iqbal yang saya temui di Perlis dan saudara Azril di Kedah.

Saudara Danny yang begitu aktif di Kuala Lumpur.

Puan Norlihan yang begitu aktif bergerak di Johor.

Dan ramai lagi anak-anak muda yang jauh lebih awal telah mengambil pendirian untuk tidak menghiraukan risiko yang sebegitu besar, demi untuk memastikan negara ini kembali ke landasan yang lebih baik.

Mereka ini baru berumur dua puluhan. Tetapi mereka berani. Lebih penting lagi, mereka menyedari jauh lebih awal dari saya bahawa perubahan yang diperlukan oleh negara ini adalah perubahan politik.

Sedangkan saya pula pada bulan Jun ini akan mencapai umur 43 tahun. Hampir dua kali ganda umur mereka. Ada di kalangan media yang melabel saya sebagai “a prominent intellectual” dan “an influential thinker”.

Perkara yang memalukan saya ialah, dengan umur dan label yang sebegitu, kenapa lah agaknya begitu lewat sekali saya memberanikan diri seperti anak-anak muda ini untuk bangkit berjuang mengusahakan satu-satunya perubahan yang amat diperlukan oleh negara kita?

Sebab itulah pada hari ini, walaupun saya gembira dengan sokongan yang ditunjukkan oleh semua pihak, saya juga ingin memohon maaf kerana saya agak lewat dalam perjuangan ini.

Dan saya mahu mengajak rakan-rakan saya di luar sana, agar kita semua mencontohi keberanian dan kesungguhan puluhan ribu anak-anak muda dalam parti ini. Sertailah perjuangan ini agar kita dapat Bersama-sama berusaha mengembalikan maruah negara kita.

Saudara saudari,

Izinkan saya menggunakan peluang ini untuk memberikan sedikit penjelasan mengenai mengapa saya memilih PPBM.

Saya boleh menjangkakan bahawa akan ada yang bimbang bahawa Wan Saiful telah lupa seruan beliau ke arah Malaysia yang tidak lagi berpolemik mengenai ras.

Ada juga yang akan berfikir, bagaimana mungkin Wan Saiful bersekongkol dengan individu seperti Tun Mahathir yang pernah dikatakan sebagai Mahafiraun.

Bagaimana mungkin saya bersetuju dengan Tan Sri Muhyiddin yang pernah saya bangkang semasa beliau Timbalan Perdana Menteri. Dan banyak lagi.

Dalam dua minggu ke belakangan, saya juga banyak memikirkan isu-isu ini. Apa akan jadi kepada kredibiliti saya jika saya mengambil jalan untuk memilih parti PPBM?

Saudara saudari,

Dunia akademik dan dunia masyarakat sivil adalah dunia idealisme. Ia adalah satu dunia yang mencabar dan penting. Dunia ini mempunyai peranan besar untuk mencorak pemikiran rakyat dalam jangka masa panjang.

Tetapi jika kita mahu mendepani dan menangani masalah besar yang melanda negara hari ini, maka kita perlu melakukan tindakan pada hari ini.

Ya, sudah pasti idealisme perlu dikekalkan, tetapi hakikat kehidupan ialah kita perlu berkompromi untuk mencapai keputusan yang boleh dilaksanakan pada hari ini.

Hari ini, kita tidak mempunyai nabi yang ma’sum untuk memimpin kumpulan umat ini. Dan sudah pasti tidak ada pemimpin politik yang ma’sum.

Maka dengan realiti itu, kita perlu memilih sebuah platform yang wujud, yang mempunyai potensi paling baik untuk mencapai matlamat yang kita idamkan.

Sebagai perbandingan, saya rasa tuan tuan boleh nampak bahawa saya ni agak overweight. Dua tahun lepas saya cuba ikut program diet. Tapi lepas tu naik balik. Nasihat yang doktor bagi ialah kurangkan makan nasi.

Baru-baru ini, ada orang kata bahawa untuk gantikan nasi, kita boleh makan quinoa. Ya, itu mungkin yang ideal. Tetapi quinoa ini makanan orang kaya. Saya ini datang dari orang yang bekerja dengan NGO dan saya tidak jumpa lagi penderma yang boleh memasukkan sumbangan berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi saya.

Maka walaupun ideal, tetapi hakikatnya quinoa ini makanan ruji orang kaya raya sahaja. Bukan orang orang biasa seperti saya. Maka saya terpaksa berkompromi dengan kurangkan makan nasi dan banyakkan makan sayur. Murah sikit.

Seperti itu jugalah apabila kita berhadapan dengan pilihan politik yang ada. Kita boleh mengimpikan sebuah parti yang perfect, yang memenuhi semua idealisme kita. The perfect party. Tetapi kita juga perlu berpijak di bumi nyata.

Hakikatnya, adalah mustahil impian itu akan wujud secara perfect kerana Malaysia ini negara yang mempunyai pelbagai adunan. Dalam keadaan itu, saya berkeyakinan bahawa PPBM lah parti yang paling hampir dalam membolehkan saya mencapai idealisme saya.

Kita sedar bahawa masyarakat kita hanya akan memandang serius kepada sebuah parti yang boleh menjangkau, membentuk dan memimpin pemikiran orang Melayu ke arah perubahan. Hanya PPBM yang boleh melakukan ini dengan meluas di seluruh negara. Maka jika kita mahu memperbaiki nasib dan masa depan orang Melayu demi kebaikan negara secara keseluruhan, inilah partinya.

Kita sedar bahawa masyarakat mahukan pemimpin yang berwibawa dan berpengalaman untuk memimpin fasa transisi negara. Hanya PPBM yang boleh menawarkan barisan kepimpinan yang boleh diterima oleh semua untuk menjalankan tanggungjawab besar itu.

Kita sedar bahawa negara ini memerlukan satu wawasan yang baik untuk membawa kita ke hadapan. PPBM ini dipimpin oleh individu yang bertanggungjawab menggariskan Wawasan yang menjadi panduan negara sekarang.

Dan, yang paling penting, semua kita pasti menerima hakikat bahawa generasi yang akan memimpin negara pada masa hadapan adalah generasi muda hari ini. Lebih separuh ahli PPBM hari ini adalah mereka yang berumur di bawah 35 tahun. Jika dibandingkan dengan semua parti-parti lain dalam negara baik Barisan Nasional mahupun Pakatan Harapan, PPBM ini lah satu-satunya parti yang boleh mendabik dada mengatakan bahawa kami adalah parti anak muda negara, dan dengan itu, parti inilah yang paling berpotensi mencorak masa depan negara.

Mungkin satu cabaran yang akan dihadapi ialah ada yang masih skeptikal kerana mereka bimbang jika PPBM adalah sebuah parti chauvinis Melayu.

Kepada mereka ini, jawapan saya ialah, itulah hakikat suasana politik negara. Kita mesti hidup dalam realiti. Dan realitinya, hakikatnya, pada hari ini, kita perlu memperjuangkan kesejahteraan umat Melayu sekiranya kita mahu rakyat secara keseluruhannya mendapat manfaat.

Walaubagaimanapun, saya menghargai pandangan kritikal yang diberikan. Dan jika saudara saudari masih tidak yakin, atas apa jua sebab, maka saya pohon agar kita memikirkan masa depan negara dalam gambaran yang lebih besar.

Jika ada beberapa perkara yang tuan tuan dan puan puan rasakan adalah kecacatan parti ini, saya merayu agar jangan lah dibiarkan “perfection become the enemy of the good”. Janganlah impian kita terhadap kesempurnaan menyebabkan kita memusuhi satu usaha yang baik dan rasional dalam konteks kita hari ini.

Keutamaan paling tinggi sekarang ini ialah untuk mengembalikan negara ke landasan yang lebih baik. Jangan dibiarkan idealisme kita akhirnya membantu mengekalkan sebuah kerajaan yang korup, yang tidak ada political will dan tidak mampu untuk berubah.

Akhir sekali, saudara saudari,

Saya menyeru rakan-rakan golongan professional, tokoh-tokoh korporat, ahli-ahli akademik, anak-anak muda lelaki mahupun wanita, sudah tiba masanya untuk kita bangkit dan menyatakan yang hak di hadapan pemerintah yang zalim.

Parti ini adalah satu parti muda, yang dianggotai oleh sebegitu ramai anak muda. Inilah parti yang akan mencorakkan masa depan negara. Dan kita boleh memainkan peranan yang signifikan dalam parti ini. Sudah tiba masanya untuk tuan tuan dan puan menyertai kami dalam perjuangan ini.

Cukuplah. Janganlah kita terlalu berkira dengan seribu kebimbangan, kerana terdapat ribuan anak muda yang telah sedia bersama dengan parti ini, yang menolak tepi segala perkiraan mengenai kebimbangan itu dan ini, demi mahu menyaksikan maruah negara ini dapat dikembalikan.

Saya yakin kita semua pasti mempunyai mimpi untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih dari hari ini. Kita semua mempunyai mimpi untuk melihat Malaysia ditadbir oleh pemimpin yang berintegriti.

Tetapi mimpi tidak akan menjadi kenyataan sekiranya kita terus lena dibuai mimpi.

Mimpi hanya akan menjadi kenyataan jika kita memberanikan diri untuk berjuang, mengambil risiko untuk bangun dari tidur, dan meletakkan nama kita sebaris dengan individu-individu lain, anak-anak muda lain, yang telah lebih awal menyertai perjuangan ini.

Hanya dengan menyertai perjuangan ini kita boleh mengusahakan sebuah Malaysia yang divisikan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dalam Pemasyhuran Kemerdekaan negara kita, iaitu sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat, serta berasaskan prinsip kebebasan dan keadilan.

Sekian, terima kasih.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Mimpi tidak akan menjadi kenyataan sekiranya kita terus lena dibuai mimpi - Wan Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top