Latest News

Tuesday 13 March 2018

Wan Saiful ajak Bung Moktar berdebat di TV



TIMBALAN Pengerusi Strategi dan Dasar Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mengajak Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin untuk sama-sama muncul secara langsung di televisyen.

Wan Saiful melontarkan cabaran itu selepas ahli Parlimen itu menghentam beliau dalam sepucuk surat terbuka dan mencabarnya bertanding di Kinabatangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Menurut Wan Saiful, beliau tidak faham apa yang maksud sebenar surat Bung Moktar itu dan sukar baginya untuk menjawab.

"Untuk memudahkan beliau menjelaskan (suratnya), bolehkah saya cadangkan beliau minta RTM1 untuk menjemput kami berdua dalam program secara langsung?


"Tidak usahlah mengelak dengan patah balik ke tempat yang beliau rasa selamat," katanya, merujuk kepada cabaran Bung Moktar untuk beliau bertanding di Sabah.

Menurut Wan Saiful, Bung Moktar juga sepatutnya tahu tidak ada sebab untuk beliau bertanding sampai ke Sabah.

"Sebagai seorang ahli Parlimen kanan, beliau sepatutnya buat kerja rumah sedikit sebelum buka mulut sebab orang baru pun tahu yang PPBM tidak akan ke Sabah dan Sarawak," kata Wan Saiful.

Wan Saiful menyertai Bersatu pada 1 Mac lepas setelah meninggalkan jawatannya sebagai CEO kumpulan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).

Dalam surat terbukanya, Bung Moktar berkata semasa beliau pertama kali menang kerusi Parlimen Kinabatangan pada 1999, Wan Saiful masih lagi budak sekolah.


"Secara politiknya, kamu ini siapa?

"Adakah kamu ingat dengan melompat masuk ke kapal baru kamu terdengar cerdik hendak melabel orang lain sebagai tidak pandai?" tulis Bung Moktar.

Menurut Bung Moktar, walaupun ucapannya di Parlimen sering dikritik, pengundi di Kinabatangan "sayangkan saya sejak saya menang pilihan raya pada 1999."

Malah sehingga sekarang, katanya, beliau dikenali sebagai ahli politik kanan BN yang "paling sukar dikalahkan oleh musuh".

"Senang cakap, saya tidak mudah dikalahkan oleh mana-mana pencabar yang memahami politik hanya dengan menyiapkan kertas kerja menggunakan komputer riba yang ditaja."

Surat itu adalah sebagai balasan kepada kenyataan Wan Saiful pada 8 Mac lepas yang menyifatkan Bung Moktar sebagai tidak berfikir dengan teliti sebelum memberi komen mengenai laporan Unicef berhubung kanak-kanak miskin di Kuala Lumpur.

Bung Moktar dalam kenyataannya berkata laporan rakyat kurang dapat makanan berzat itu berita palsu kerana di Malaysia sebaliknya banyak orang mati kerana terlebih makan.

"Kenyataan YB Bung Mokhtar yang mengatakan bahawa rakyat Malaysia gemuk kerana negara ini makmur adalah tidak masuk akal dan hanyalah tipikal bagi Umno yang sudah terpisah dari kesulitan hidup yang dihadapi oleh orang biasa seperti kita," kata Wan Saiful. – 12 Mac, 2018.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Wan Saiful ajak Bung Moktar berdebat di TV Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top