Latest News

Sunday 10 June 2018

Harapan bukan hanya bawa angin segar kepada rakyat


KUCHING – Selepas sebulan berkuasa, kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi harapan bahawa Malaysia akan berada dalam keadaan yang baik.

Penganalisis politik. Datuk Peter Minos berkata beliau yakin di bawah kerajaan Harapan, Malaysia akan dapat memperbaiki banyak kerosakan dan kebinasaan sebelum ini yang ditinggalkan oleh kerajaan BN.


Katanya, beliau dapat melihat dua tahun dari sekarang, Malaysia akan maju dan melangkah ke hadapan dengan pertumbuhan dan kemakmuran akan kembali ke negara ini.

“Mereka yang melakukan kesalahan dan para penjenayah akan dihukum dan keadilan akan dikembalikan dan dipulihkan dan kehidupan akan kembali seperti sediakala.

“Hari-hari keemasan Tun M akan datang akhirnya,” kata Minos yang juga bekas ketua publisiti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini hari ini.

Minos berkata, kerajaan Harapan baharu ini bukan sekadar angin segar yang bertiup di Malaysia namun boleh disamakan dengan campur tangan Tuhan bagi menyelamatkan Malaysia daripada kerosakan sepenuhnya.

Beliau berkata ketika Dr Mahathir dipilih sebagai perdana menteri, ia adalah satu kelegaan yang sangat hebat dan rakyat Malaysia begitu gembira kerana kerajaan yang buruk telah dihapuskan dan lega kerana ada harapan yang tinggi bahawa permulaan yang baharu dan segar yang membawa masa depan baharu yang lebih cerah.

“Ya, itu perasaan yang berlanjutan hingga sekarang, sebulan kemudian,” katanya.

Minos yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan berkata ia sangat sukar dari hari pertama bagi kerajaan Harapan dan Dr Mahathir kerana terlalu banyak kerosakan dilakukan kerajaan sebelum ini.

“Tetapi, secara keseluruhan, kerajaan Harapan dan Tun Dr Mahathir telah melakukannya dengan begitu baik,” katanya.

Minos berkata mereka yang terkenal dalam Kabinet Persekutuan ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kedua-duanya mempunyai pengalaman dan pendidikan yang berkualiti.

Beliau berkata yang jelas, Guan Eng mempunyai tugas sukar membersihkan keadaan terutama mengenai skandal 1MDB ditambah dengan hutang negara dan isu skandal kewangan, manakala Azmin terpaksa meneliti projek-projek mega yang buruk dan menyemak semula beberapa perkara.

“Tun Dr Mahathir telah membawa masuk peguam negara baharu yang memberikan harapan besar untuk melihat kedaulatan undang-undang dipulihkan,” Minos berkata sambil menambah rakyat Malaysia pada umumnya gembira dengan kerajaan Harapan yang baharu.

“Mereka tahu sangat sukar mengambil alih kerajaan yang terjejas dengan skandal kewangan dan penyalahgunaan kuasa, namun Tun Dr Mahathir boleh melakukannya. Beliau memiliki semuanya-akal, pengalaman, kemampuan dan kebijaksanaan,” katanya.

Menurut Minos, satu-satunya perkara bagi kerajaan Harapan adalah untuk mengembalikan hak Sarawak ke atas minyak dan gas dan tidak memaksa Akta Pembangunan Petroleum Sarawak (PDA) 1974 dan juga mengembalikan kuasa penuh Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Jika ini dilakukan, saya fikir Malaysia akan sekali lagi melihat masa depan yang lebih cerah dan ceria,” katanya. - Bernama
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Harapan bukan hanya bawa angin segar kepada rakyat Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top