Latest News

Saturday 19 September 2015

Jalan Dewa Berwajah Baharu



SUNGAI PETANI - Lebih 50 lukisan mural berjaya menghidupkan sebuah lorong suram di Jalan Dewa, di sini.

Malah, lorong yang dulunya menjadi laluan pejalan kaki untuk ke stesen teksi dan stesen bas lama Jalan Petri kini semakin mendapat perhatian.

Tidak sampai dua minggu, lebih 30,000 pengunjung mula memenuhi Jalan Dewa itu berikutan wajah baharunya.

Jika sebelum ini ia menjadi laluan pemborong, peniaga dan penduduk tempatan sahaja, perubahan mendadak itu menyebabkan ia turut dikunjungi pelancong dalam dan luar negara.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Karnival Pesta Tanglung peringkat negeri Kedah 2015, Linda Yee berkata, suasana lorong belakang deretan bangunan rumah kedai lama yang menjual pakaian, barangan plastik, farmasi dan kasut itu kini dihiasi lukisan dinding yang cukup menarik hasil kreativiti anak jati Sungai Petani.

"Lebih 70 pelukis tempatan pelbagai bangsa dan peringkat usia menawarkan diri mencantikkan Jalan Dewa," katanya.

Menurutnya, sememangnya banyak perancangan sedang direalisasikan di Jalan Dewa ini yang turut dilakukan bersempena pesta tanglung.

Bagaimanapun katanya, kebanyakan binaan, hiasan dan lukisan ini akan dikekalkan.

"Sebanyak 1,000 tanglung akan dipasang di sekitar Jalan Dewa, jualan amal, laluan kebudayaan dan seni mural yang disenaraikan melalui Program Transformasi Komuniti akan dirasmikan menteri besar.

"Usaha ini bukan semata-mata untuk pesta tanglung, tetapi dengan kepelbagaian acara kebudayaan yang dilaksanakan akan dapat memaparkan kebudayaan setempat, merancakkan ekonomi penduduk seterusnya menjadi tarikan utama pelancong ke Kedah," katanya.

Tawar diri kerana minat

Sementara itu, pelajar Kejuruteraan Mekanikal Kolej Komuniti, Hong Kin Kean, 18, berkata, minat mendalam dalam bidang lukisan mural mendorongnya menawarkan diri menjadi sebahagian pelukis jalanan di Jalan Dewa.

"Saya minat bidang lukisan sejak kecil dan saya sangat teruja untuk menghasilkan sesebuah mural untuk tatapan penduduk di sini.

"Apatah lagi, mural di Jalan Dewa ini akan menjadi tumpuan pelancong," katanya.

Sementara itu, pekerja kafe siber, Farid Mohd Haslam, 28, berkata, dia bersama rakan tidak mahu melepaskan peluang menghasilkan lukisan abstrak pada dinding di Jalan Dewa.

"Melukis ini hobi saya. Dengan hobi ini juga saya mendapat kepuasan diri.

"Malah, dengan seni lukis, kita boleh sampaikan sesuatu mesej. Saya memang puas hati bila dapat melukis mural di kawasan berkenaan" katanya.

Bagi penduduk yang juga tukang cat, Kang Heng Leng, 54, dia turut menyokong transformasi yang dibangunkan di kawasan itu.

"Saya duduk di bandar ini sejak 50 tahun lalu dan sesuatu yang membanggakan apabila Sungai Petani diberikan perhatian.

"Saya teruja dengan usaha ini yang berjaya menjadikan bandar Sungai Petani antara pusat pelancongan di Kedah.

Difahamkan, selain lukisan mural, pintu gerbang dan aktiviti landskap yang dijalankan sejak 17 Ogos lalu, pelbagai acara lain diatur sepanjang September ini.

Ia termasuk pertandingan hiasan basikal, bengkel kebudayaan, kempen derma darah dan perarakan yang menjadi tumpuan baharu pelancongan di negeri ini.

Sumber Sinar Online 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Jalan Dewa Berwajah Baharu Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top