Latest News

Wednesday 8 August 2018

K’jaan persekutuan setuju sumbangan khas RM10 juta kepada Kedah



Sidang Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa kerajaan persekutuan bersetuju memberi bayaran sumbangan khas kepada Kedah pada kadar RM10 juta setahun mulai tahun ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata keputusan itu diambil susulan daripada hasrat disuarakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mempengerusikan Majlis Kewangan Negara untuk 2018 pada 7 Jun lalu, supaya kerajaan persekutuan mengkaji semula pemberian khas bernilai RM10,000 setahun sebagai nilai pajakan tanah Pulau Pinang.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (HARAPAN-Jerlun) sama ada kerajaan persekutuan bersetuju mengkaji nilai pajakan tanah Pulau Pinang yang dilihat sudah tidak bersesuaian dengan nilai hartanah semasa, atau kerajaan persekutuan mahu memberikan pampasan kepada kerajaan Kedah.

Katanya kadar sumbangan tersebut akan disemak semula setiap 10 tahun sekali atau dalam jangka masa yang difikirkan sesuai.

Lim berkata pada masa sama, bayaran khas RM10,000 setiap tahun kepada kerajaan negeri Kedah akan tetap diteruskan.

“Perlu dinyatakan bayaran ini telah termaktub dalam Perkara 167 (7) Perlembagaan Persekutuan iaitu Persekutuan hendaklah membuat pembayaran tahunan yang sama sebagaimana yang kena dibuat sebelum Hari Merdeka di bawah Perkara II Triti yang dibuat pada 6 Mei 1869 antara Baginda Ratu pada satu pihak dengan Raja Siam pada satu pihak yang satu lagi berkenaan dengan negeri Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Mukhriz mengenai tumpuan kepada pembangunan industri di Kedah, Lim berkata kerajaan persekutuan akan memberi perhatian ke atas permintaan itu memandangkan Kedah amat penting dalam menyumbang kepada jaminan bekalan makanan negara, khususnya beras.

“Sebab itulah penekanan sentiasa diberi terhadap pembangunan di Kedah. Lebih-lebih lagi apabila kita ada negeri yang sehala dan seiring dengan kerajaan persekutuan,” katanya.


  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: K’jaan persekutuan setuju sumbangan khas RM10 juta kepada Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top