Latest News

Monday 13 August 2018

Majlis Perasmian Tabung Bantuan Pesakit Kronik Kedah (TPK) . Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.




ALOR SETAR - Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Pakatan Harapan (PH) berjaya menunaikan janji 100 hari dengan melancarkan Tabung Bantuan Pesakit Kronik Kedah (TPK).

Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) negeri, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, tabung yang dilancarkan itu adalah salah satu tawaran PH sebelum PRU14 lalu.

“Kita ada 10 janji dalam tempoh 100 hari. Me­nubuhkan tabung TPK adalah tawaran keempat daripada 10 janji. Kita masih ada beberapa hari untuk sampai tempoh sasaran, alhamdulillah kita melancarkan tawaran ke empat.

“Baru-baru ini, kerajaan PH juga melancarkan janji ke sembilan iaitu mengadakan mahkamah syariah bergerak. Lapan lagi janji kita (PH), walaupun belum dilancarkan tetapi sebahagian dilaksanakan lebih daripada 50 peratus,” katanya kepada media selepas merasmikan Tabung Bantuan Pesakit Kronik Kedah di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, petang tadi.

Beliau merasmikan majlis itu mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad; Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail dan Pengarah HSB, Dr Zaiton Udin.

Dr Ismail berkata, tabung TPK diwujudkan mensasarkan kepada kepada dua golongan sasar iaitu kategori asnaf dan bukan asnaf.

“Bagi kategori golongan asnaf, sekiranya mereka tidak mampu membayar kos perubatan pihak zakat negeri akan bantu dengan memberi sebahagian jumlah yang diminta dan sekiranya tidak cukup juga kita akan gunakan duit daripada TPK ini untuk tampung kos diperlukan.

“Sementara itu, kategori bukan asnaf ini pula terdiri daripada mereka yang berkemampuan namun jumlah diperlukan untuk kos perubatan tinggi dan tidak mampu dibayar jadi kita akan tampung sebahagiannya,” katanya.

Menurutnya, bantuan tersebut diwujudkan bagi membantu rakyat Kedah dan pemohon yang ingin memohon bantuan tersebut terlebih dahulu akan dirujuk Jabatan Kerja Sosial hospital untuk membuat penilaian untuk kelulusan .

“Untuk peringkat awal ini kita mula (bantu) dengan rakyat negeri ini dahulu dan kerajaan negeri juga memperuntukkan RM500,000 untuk tabung tersebut sehingga Disember ini,” katanya.

  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Majlis Perasmian Tabung Bantuan Pesakit Kronik Kedah (TPK) . Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top