Latest News

Monday 13 August 2018

Titah Ucapan Penuh Tuanku Sultan Kedah



TEKS TITAH UCAPAN

KDYMM TUANKU SULTAN KEDAH DARUL AMAN
MERASMIKAN PERSIDANGAN DUN KE-14, MESYUARAT KEDUA, PENGGAL PERTAMA

Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh, dan Salam Sejahtera.
Bismillahirahmanirrahim.

Segala puji-pujian bagi Allah Subhanahuwataala, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassallam, dan kaum keluarga, serta para sahabat Baginda.

1. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah Subhanahuwataala kerana dengan taufik dan hidayah-Nya, maka dapatlah Beta dan Tuanku Sultanah berangkat hadir ke Dewan Yang Mulia ini bagi merasmikan Istiadat Perasmian Pembukaan, Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-14, bagi Mesyuarat Ke-2 Penggal Pertama, pada hari yang penuh bermakna ini.

2. Pada kesempatan ini, Beta ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Memanda Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir, yang kembali menerajui Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman setelah berjaya mendapat kepercayaan rakyat, semasa pilihanraya baru-baru ini.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

3. Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah kerana menganugerahkan Islam kepada negeri kita yang tercinta. Islam ialah agama yang berteraskan nilai kesederhanaan dan kesaksamaan dalam ajarannya. Nilai kesederhanaan di sini bererti tidak taksub atau tidak terlalu liberal dalam pemikiran dan perlakuan sehingga mampu menggugat kesejahteraan masyarakat. Pada masa yang sama, Islam mengajar umatnya untuk terus bersifat dinamik dan progresif, maju dan berupaya mencipta kegemilangan. Oleh itu, Beta menyeru kepada ahli Dewan untuk bersama mendukung ajaran dan pegangan ini sejajar dengan semangat yang terkandung dalam Perkara 33A, Undang-undang Tubuh Negeri Kedah. Marilah kita bergerak sederap, mengikat nilai kebersamaan menerusi Islam sebagai pemersatu.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

4. Kita sedia maklum bahawa Kerajaan Kedah merupakan kerajaan tertua di Malaysia. Kelestarian Kerajaan Kedah yang mampu bertahan dengan begitu lama adalah hasil manifestasi ungkapan “raja dan rakyat berpisah tiada”. Hubungan resiprokal inilah yang berupaya mengekalkan keamanan, keharmonian, dan kestabilan sehingga ke hari ini. Kesinambungan selepas itu menjadi sejarah penting yang membuktikan bahawa peranan institusi raja jelas sebagai penaung kepada kelangsungan peradaban bangsa seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Kedah, Perkara 34(1). Sehubungan dengan itu, undang-undang ini sewajarnya dijadikan rujukan dan sumber penting oleh pemimpin dan rakyat, supaya keamanan, keharmonian, dan kestabilan dapat terus terpelihara. Selain Undang-undang Tubuh Negeri Kedah, kita juga perlu merujuk Perlembagaan Persekutuan 1957 yang menekankan tentang kebalnya unsur-unsur tradisi ini. Beta menegaskan bahawa kewujudan institusi diraja, pengiktirafan Melayu, Islam sebagai agama rasmi, dan kedudukan istimewa orang Melayu usahlah diusik. Biarlah kita “bagai bahu memikul, hati menyokong”. Jangan berlagak semacam “orang yang kenyang, kalau dijamu dengan lauk yang sedap sekalipun, berkata tawar”.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

5. Peradaban sesuatu bangsa boleh dibentuk melalui kebersamaan identiti yang menjadi kebanggaan kita. Identiti kenegerian seharusnya dijadikan sandaran untuk menjulang bahasa dan budaya orang Kedah, seperti bait-bait dalam lirik lagu negeri yang saban masa kita alunkan dengan penuh semangat, “negeri Kedah serata-rata”. Bait ini mengingatkan kita untuk mempamerkan semangat dan identiti KEKEDAHAN yang boleh dicontohi oleh orang luar.

6. Menjadi tugas kita untuk menularkan budaya baik dan positif. Bahasa Kedah mempunyai perkataan memancarkan cara masyarakat berfikir tentang budaya kerja. Contohnya di Kedah, kita kata, buat kerja hingga ‘ghepu’, dengan hasil yang di’ghincik haluih’, dan kita tetap ‘hemoi’ dalam apa-apa juga situasi, baik dikeji atau dipuji.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

7. Beta ingin menyeru agar kita bersama-sama menyuntik semangat juang, berani meneroka, dan menghargai diri menerusi dasar-dasar yang digubal dan keputusan yang disepakati dalam Dewan yang mulia ini. Semangat sebegini penting untuk dipupuk sekiranya kita mahu melahirkan warga Kedah yang mempunyai jati diri yang teguh. Jika kita tinjau sejarah negeri Kedah, kita pastinya dapat melihat betapa gahnya Kedah Tua yang pernah dikenali dengan nama lain seperti “Kidaravan”, “Kaṭāram”, “Kazhagam,” “Katahanagara,” “Katahadvipa”, “Kataha” atau “Kadahadipa,” seawal kurun kedua Sebelum Masihi. Syair-syair lama, sastera Sanskrit, karya Agni Purana, sastera Prakrit, dan sumber Prasasti Kepingan Leiden Kecil, misalnya, ada merakam kemasyuran Kedah Tua sebagai pusat pertukaran komoditi, pelabuhan yang terkenal, pusat entrepot, bahkan sebagai pemacu teknologi dan industri besi.

8. Semangat juang dan berani teroka leluhur kita menjadikan bangsa Kedah Tua sebagai bangsa yang dikenali dan disebut-sebut oleh pedagang, sarjana dan pemimpin sejagat dalam percaturan geopolitik pada waktu itu. Kekuatan ini, seharusnya, kita ambil untuk dijadikan iktibar dan pedoman bagi mendorong rakyat, untuk bersama-sama mengembalikan Kedah ke lokus yang setara. Beta ingin menyeru kepada Yang Berhormat sekalian untuk menjadi pemimpin yang bijak, yang dapat menyedarkan rakyat tentang kehebatan nilai bangsa mereka sendiri dan mengajak rakyat untuk menjadi lebih berilmu dan berdaya saing dalam ranah Malaysia Baharu.

9. Jadilah pemimpin yang lebih mengutamakan kepentingan rakyat, yang lebih mudah didekati, yang lebih ikhlas mendengar suara rakyat, terutamanya suara mereka yang dipinggirkan. Jadilah pemimpin yang lebih beretika, yang lebih berintegriti, yang berani, yang berwawasan dalam memayungi perubahan dan pergerakan ini. Jadilah pemimpin yang disegani, yang dapat memperkasakan rakyat menerusi sifat-sifat yang berkualiti, yang dapat mengubah pemikiran tidak relevan dalam dunia hari ini. Beta yakin, pemimpin yang hebat ialah pemimpin yang memimpin menerusi tingkah laku dan perbuatan yang baik dan bukannya sekadar menanam tebu di bibir.

10. Kepimpinan yang baik ialah kepimpinan yang mendapat kerjasama sepenuhnya daripada kumpulan pentadbiran dan kumpulan sokongan. Dalam hal ini, kerajaan negeri perlulah mempunyai hubungan yang baik dengan Perkhidmatan Tadbir Negeri Kedah (KCS). Beta juga ingin menyeru agar KCS berusaha untuk meningkatkan kecekapan tadbir urus negeri dan peka dengan perubahan dan relevan dengan perkembangan semasa.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

11. Hari ini, kita berjuang melalui keberanian menyuarakan fikiran baharu buat bangsa, dan membebaskan bangsa daripada sikap dan sifat kurang berusaha, mengharapkan ehsan orang lain, dan berprasangka. Beta melihat bahawa, perubahan boleh dibuat hanya apabila kita bersedia untuk melepaskan kepentingan diri demi kemajuan dan keperluan masyarakat. Oleh itu, semangat pengorbanan perlu dipupuk sebagai satu budaya dalam kehidupan rakyat Kedah. Semangat ini, sekiranya diterapkan, mampu menghindarkan sifat dendam, dengki khianat dan perbalahan sesama sendiri.

12. Beta juga berharap agar rakyat negeri Kedah khususnya, tidak lupa akan pengorbanan pahlawan dan pejuang yang banyak berbakti dan berjasa kepada kita. Kita harus menghargai jasa serta menyanjung semangat juang mereka dalam mempertahankan kedaulatan watan. Sebagai seorang yang pernah terlibat dalam operasi keselamatan di perbatasan negara, Beta amat memahami jerih perih perwira kita. Pengorbanan mereka membolehkan kita menumpukan usaha ke arah membangunkan masyarakat dan negara, pascamerdeka.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

13. Pengukuhan jati diri penting untuk melahirkan anak watan yang beradab dan beradat. Kita kaya dengan budaya, bahasa, kepercayaan dan ideologi, namun hal ini tidak bererti bahawa kita tidak mampu membentuk satu identiti yang disepakati. Di sinilah bermulanya peranan Yang Berhormat sekalian. Kedudukan Yang Berhormat sebagai pemimpin masyarakat membolehkan Yang Berhormat menggembleng usaha untuk memancarkan identiti yang boleh dicontohi rakyat.

14. Masyarakat kita hari ini lebih kerap membincangkan perbezaan daripada persamaan dan perpecahan daripada penyatuan. Jika kita tafsirkan kepelbagaian sebagai kekuatan; kepelbagaian sebagai penyatuan, maka kepelbagaian sepatutnya diterima sebagai satu anugerah, satu rahmat. Oleh sebab itulah para leluhur kita telah menjadikan perpaduan sebagai tiang seri negara.

15. Beta perhatikan, sejak akhir-akhir ini, wujud kecenderungan untuk menganggu gugat perpaduan kita. Isu nostalgia bangsa, sensitiviti kaum, agama dan kepercayaan ditimbulkan secara sengaja. Semua ini dilakukan atas dasar liberalisme dan keterbukaan serta kebebasan bersuara. Beta mengerti, dalam dunia hari ini, ramai berpandangan bahawa adalah hak mereka untuk menyatakan apa-apa yang difikir, dan orang lain tidak berhak untuk menghalang. Permuafakatan telah pun dimeterai kemas, dan kemudiannya telah membentuk kandungan perlembagaan kita. Pakatan murni yang dipersetujui adalah cerminan sikap tolak ansur peribumi terhadap pelbagai kaum yang lain. Ia telah diterima sebagai sebuah kontrak sosial dengan hasrat menjamin keharmonian.

16. Kita harus berpegang teguh kepada prinsip “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Inilah adab dan adat yang Beta harap dapat dihayati oleh semua ahli-ahli Yang Berhormat. Maka, bermuafakatlah dalam membangunkan negeri ini. Jadikanlah kepelbagaian sebagai faktor penyatu dan pengikat bagi memastikan kelangsungan rakyat kekal terjamin. Beta juga menyeru, agar kita lebih berhati-hati dalam menyuarakan pandangan, bak ungkapan “ibarat berjalan, peliharalah kaki, berkata, peliharalah lidah”. Ingatlah, luka sangat mudah terjadi, tetapi terlalu payah untuk sembuh. “Kalau berjalan, berjalanlah dengan orang yang tua, kalau berkata, maka berkatalah dengan orang yang pandai”. Biarlah kita sentiasa berhambakan tangan, bersaksikan mata dan berhakimkan hati. Bersaksikan kata-kata hikmat ini, Beta berdoa, semoga kita menuju kejayaan dan kegemilangan.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

17. Ingin Beta tegaskan bahawa integriti ialah satu sifat yang mesti disirat dan disuratkan. Pemimpin dan pentadbir tanpa integriti umpama pohon yang tidak berdaun dan tidak berbuah, yang tidak dapat memberi sebarang manfaat.

18. Integriti ialah amanah, tanggungjawab, ketelusan dan kebijaksanaan. Mereka yang berintegriti ialah mereka yang melaksanakan amanah dengan penuh kebertanggungjawaban; disulami dengan ketelusan dan kebijaksanaan.

19. Beta ingin menarik perhatian para ahli Dewan yang mulia ini dengan keputusan Indeks Persepsi Rasuah atau CPI yang dilaporkan pada tahun 2018. Malaysia mencatat penurunan tujuh tangga dan kini berada di kedudukan ke-62 daripada 180 negara dalam indeks rasuah yang dikeluarkan oleh badan ketelusan antarabangsa, Transparency International Malaysia (TI-M), iaitu prestasi terburuk sejak lima tahun lepas.

20. Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, tentunya kedudukan Malaysia dalam indeks persepsi rasuah ini sangat membimbangkan. Dalam menanggapinya, soal dasar yang harus kita tanyakan ialah mengapakah hal yang seperti ini terjadi? Telah hilangkah maruah kita sehingga kita sanggup memberi dan menerima rasuah?

21. Pada pandangan Beta, perkara ini harus dipandang serius dan ditangani dengan segera agar imej Malaysia tidak tercalar di peringkat antarabangsa. Tindakan perlu bermula pada peringkat negeri terlebih dahulu, khususnya di Kedah. Hakikatnya, kita boleh sahaja mengatakan bahawa untuk mengatasi rasuah, penyelewengan dan ketidaktelusan, rakyat perlu diberi kesedaran sivik dan perlu dididik mengenai keburukan hal-hal tersebut selain memperketat undang-undang anti rasuah.

22. Kita sebenarnya hanya perlu muhasabah diri. Berdirilah di hadapan cermin, dan renungkanlah diri kita, kerana semua orang tahu bahawa kejayaan bermula daripada keberanian mengakui kelemahan diri. Pasakkan kejujuran dan keikhlasan dalam melaksanakan amanah, demi rakyat yang telah memilih kita. Janganlah kita mengecewakan harapan rakyat negeri ini yang mahu melihat perubahan yang bersifat fundamental.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

23. Perkembangan dan kedudukan sosioekonomi sebenarnya menjadi asas utama untuk memastikan negara kita melangkah ke hadapan dengan teguh dan berjaya. Kebajikan rakyat jelata yang bermula daripada sebesar-besar aspek pemilikan ekuiti hinggalah kepada soal ‘cukup makan’ bukanlah perkara yang mudah untuk diuruskan. Dalam hal ini, pendidikan dilihat sebagai serampang yang sangat penting untuk mengubah landskap ekonomi rakyat dalam negeri atau negara ini. Oleh itu, peruntukan dalam Bajet Negeri Kedah 2018 yang keseluruhannya berjumlah RM1.38 bilion, seharusnya disalurkan dengan cermat dan berhemah, termasuklah hal-hal yang bersangkutan dengan pendidikan. Hal ini demikian kerana, pembangunan ekonomi kita secara mapan bergantung terus kepada keupayaan menambah baik keberhasilan sistem pendidikan, supaya signifikan kepada keperluan negara.

24. Pelan Pembangunan Pendidikan yang dirancang akan merintis peluang yang lebih luas ke arah keberhasilan rakyat yang berpendidikan tinggi dan berdaya saing. Oleh itu, pada masa hadapan, setiap individu, sama ada bumiputera atau bukan bumiputera, berpeluang untuk bersaing dalam sektor ekonomi atas padang yang sama rata. Demikianlah juga dalam soal pemilikan kekayaan negara, yang bakal menjamin kedudukan rakyat pada masa hadapan. Pembahagian kekayaan yang kelihatan adil dan saksama akan terus meletakkan negara dalam keadaan stabil lantaran wujudnya perpaduan masyarakat. Setiap orang daripada kita, sememangnya menghasratkan kehidupan yang baik untuk diri sendiri dan generasi yang akan datang. Oleh itu, setiap dasar kerajaan seharusnya dapat menyelesaikan secara tuntas isu ketidakseimbangan yang boleh menggugat perpaduan antara kaum, seperti mana yang memuncak pada akhir 1960-an dahulu. Dengan demikian, pihak yang berkuasa mestilah memberikan ‘isyarat’ yang jelas bahawa perhatian serius perlu diberikan untuk mengawal keadaan yang seumpama itu.

25. Setiap data pemilikan ekuiti atau kekayaan negara misalnya, haruslah dinyatakan secara tepat dan adil, dengan menyedari bahawa rakyat kini sudah mampu menilai kaedah pengiraan pelbagai perangkaan yang diwartakan oleh kerajaan. Hasilnya, ketelusan dalam memaparkan data dan maklumat, diharapkan dapat merapatkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

26. Dalam Dewan yang mulia ini, Beta ingin mengetengahkan perihal hutan di Negeri Kedah. Berdasarkan Portal Terbuka Malaysia, dilaporkan bahawa Kawasan Hutan Simpanan Kekal 2015 di Negeri Kedah adalah seluas 332,393 hektar. Daripada jumlah keluasan tersebut, 6,201 hektar merupakan Hutan Paya Laut. Memang tidak dapat dinafikan bahawa hutan asli merupakan antara khazanah Negeri Kedah yang amat bernilai. Hutan, sebagai punca sumber air dan udara bersih, kesihatan alam sekitar, di samping memberi sumbangan terhadap pembangunan ekonomi. Anugerah daripada Ilahi ini haruslah diurus dengan cekap dan berkesan, agar kita semua mendapat keberkatannya.

27. Memandangkan khazanah hutan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dan telah dinyatakan dengan jelasnya di bawah Akta Perhutanan Negara 1984, Beta amat berharap agar semua Ahli Yang Berhormat memberikan perhatian yang serius terhadap pengurusan khazanah hutan di Negeri Kedah. Beta berharap pihak yang diamanahkan memainkan peranan yang lebih aktif bagi memastikan khazanah ini dapat dinikmati oleh seluruh rakyat malah generasi akan datang.

28. Oleh itu, Beta menyeru agar kebergantungan kepada aktiviti pengusahasilan hutan dapat dikurangkan dan dicari alternatif lain antaranya ekopelancongan, pemerkasaaan industri herba dan farmaseutikal.

29. Beta juga berharap agar inisiatif diambil untuk memastikan Kawasan Hutan Simpanan Kekal di Pulau Langkawi dapat diperluaskan. Destinasi pelancong yang terkenal ini perlu dijenamakan juga dari sudut kehijauan hutan dan mega kepelbagaian biologi. Seterusnya, Ahli Yang Berhormat perlu memikirkan bagaimana konsep menghijaukan bandar-bandar di Negeri Kedah ini dapat dirancang dan direalisasikan.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

30. Dalam usaha memberikan nafas baru kepada perkembangan ekonomi negeri, Beta mengharapkan agar Yang Berhormat berusaha mengoptimumkan segala khazanah negeri secara kreatif dan penuh inovatif. Pembangunan prasarana mesti diuruskan dengan cekap sebagaimana peruntukan dalam belanjawan tahunan negeri, misalnya melibatkan kerja menaik taraf lokasi yang berpotensi menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara. Pusat Rekreasi Hutan Lipur Sungai Sedim, Pusat Akuatik Negeri Kedah, Pulau Songsong, Kota Kuala Kedah, Tapak Arkeologi Lembah Bujang dan Sungai Batu, serta Laman Padi Langkawi misalnya, mestilah ‘dijenamakan semula’ agar mampu menarik perhatian pelancong.

31. Selain menjenamakan semula produk sedia ada, Beta juga berharap Yang Berhormat dapat mencadangkan dan membangunkan produk pelancongan baharu yang belum diusahakan di negara kita. Contohnya, perkampungan rekaan tradisi yang seumpama ‘muzium hidup’ di kawasan rekreasi Gunung Keriang boleh diwujudkan sebagai tapak pendidikan, penyelidikan dan pelancongan. Di sinilah dapat dihidupkan kembali suasana perkampungan petani yang pada suatu masa dahulu mengusahakan sawah secara tradisional. Selain itu, perkampungan ini juga boleh menjadi pusat untuk memasarkan produk tempatan, kraftangan, hasil pertanian, herba dan produk hiliran yang lain.

32. Selain usaha menaik taraf produk-produk tersebut, satu lagi usaha penting yang perlu diurus tadbir dengan cekap ialah kerja-kerja penyelenggaraan. Hal ini termasuklah aspek hospitaliti, kebersihan, keselamatan dan mesra pengguna. Segala usaha tersebut bertujuan meningkatkan jumlah kemasukan ‘pelancong berkualiti’ yang mampu berbelanja lebih besar sehingga dapat melimpahkan kekayaan kepada masyarakat sekitar.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

33. Segala saranan yang Beta kemukakan sudah pastinya memerlukan bajet yang tinggi. Seperti yang kita sedia maklum, kedudukan kewangan kerajaan negeri bukanlah berada dalam kedudukan yang baik. Oleh hal yang demikian, Beta menasihatkan agar semua agensi kerajaan dan swasta merancang perbelanjaan dengan teliti dan berbelanja secara berhemah. Di samping itu, Beta amat berharap agar pihak yang bertanggungjawab dapat mengkaji dan mengenal pasti kebocoran dan ketirisan yang berlaku dalam pengurusan kewangan kerajaan negeri. Dalam hal ini juga, Beta dimaklumkan bahawa berlaku isu tunggakan dalam bayaran Premium Tanah. Beta mahu agar isu ini diberikan perhatian yang serius. Tindakan tegas hendaklah diambil terhadap pihak yang terlibat, selaras dengan undang-undang dan peraturan yang diguna pakai.

34. Untuk melaksanakan agenda pembangunan yang dirancang, besarlah harapan Beta agar Kerajaan Persekutuan dapat menyalurkan peruntukan yang sewajarnya kepada negeri ini. Pada hemat Beta, peruntukan kepada negeri yang berdasarkan bantuan per kapita, sudah tidak lagi sesuai diamalkan. Hal ini demikian kerana, berlaku penghijrahan penduduk dari sebuah negeri ke sebuah negeri lain yang lebih maju. Berdasarkan Laporan Migrasi Bandar-bandar di Malaysia: Kajian Kes Wilayah Koridor Ekonomi Pantai Timur tahun 2016, data migrasi dalaman pada tahun 2000 menunjukkan Kedah adalah antara negeri yang rendah berlakunya migrasi bandar, iaitu 46 peratus. Oleh itu, pemberian peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan haruslah mengguna pakai kaedah yang lebih sesuai, agar tidak menjejaskan perancangan ekonomi dan pembangunan negeri-negeri seperti Kedah.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

35. Seyogia diingatkan bahawa pembangunan dan kemajuan Negeri Kedah memerlukan sokongan yang padu daripada pelbagai pihak. Setiap pihak mempunyai peranan dan sumbangan masing-masing. Beta menyeru agar dipertingkatkan kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan pihak swasta dan juga badan bukan kerajaan dalam usaha untuk memajukan Kedah dalam pelbagai bidang. Dalam konteks ini, diharap Kerajaan Negeri lebih mesra pengguna dari segi penyediaan maklumat yang tepat dan mutakhir, mengurangkan birokrasi dan berupaya memberi maklum balas dengan segera. Langkah-langkah mesra pengguna haruslah diperhalusi dan diamalkan agar memenuhi tuntutan piagam pelanggan.

36. Akhir titah, pada kesempatan ini, Beta ingin mengambil peluang merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri, Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Badan-badan Beruniform, Pendidik, Pegawai Agama, Penghulu, Imam dan Pegawai Masjid, Pemimpin-pemimpin Agama, Kaum dan Masyarakat, NGO, Pertubuhan Belia serta pihak swasta yang sama-sama berkerjasama menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai rakyat negeri ini dalam memacu dan memajukan pembangunan negeri.

37. Sama-samalah kita membudayakan prinsip toleransi, mewujudkan suasana harmoni dan saling menghormati, agar keamanan yang selama ini kita kecapi, terpelihara.

38. Beta mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan kali yang ke-61. Marilah kita bersama-sama meraikan kemerdekaan negara tercinta ini dengan penuh keinsafan dan kemeriahan.

39. Marilah kita bersama-sama berdoa, semoga Negeri Kedah Darul Aman yang kita cintai ini akan terus berada dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera hendaknya.

Dengan lafaz Bismilllahhirahmanirrahim, Beta dengan rasminya, membuka Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman, bagi Mesyuarat Ke-2, Penggal Pertama, Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-14.

Wabillahitaufik, Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Titah Ucapan Penuh Tuanku Sultan Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top