Latest News

Thursday 9 August 2018

Ucapan Penuh Tok Puan Norzieta di majlis sambutan minggu penyusuan susu ibu sedunia 2018




YANG AMAT BERBAHAGIA TOK PUAN NORZIETA ZAKARIA

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
SAMBUTAN MINGGU PENYUSUAN SUSU IBU SEDUNIA 2018 PERINGKAT NEGERI KEDAH

DI TAMAN JUBLI PERAK, SUNGAI PETANI, KEDAH
9 OGOS 2018
JAM 11.00 PAGI

Bismillahirahmanirahim.

Terima kasih pengacara majlis.


Yang Berbahagia Dato’ Dr Norhizan Ismail,
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, dan Datin


Yang Berbahagia Puan Zaiton Daud,
Mewakili Pengarah Bahagian Pemakanan,
Kementerian Kesihatan Malaysia


Yang Berbahagia Dr Kamariah Hussain,
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Kedah (Kesihatan Awam)


Yang Berbahagia
Dato’-Dato’, Datin-Datin


Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persetukuan


Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah rahmat dan kasih sayangNya kita dapat berkumpul dalam majlis yang cukup bermakna ini. Saya juga ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur kerana telah menjemput saya.

2. Saya berasa sukacita untuk bersama pada pagi ini sempena Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2018 Peringkat Negeri Kedah. Saya juga dimaklumkan bahawa tahun ini merupakan tahun yang ke-26 kita menyambutnya di seluruh dunia.

3. Dengan tema “Penyusuan Susu Ibu Asas Kehidupan”, bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan susu ibu dan manfaat yang diperoleh melalui amalan penyusuan susu ibu.

4. PENYUSUAN susu ibu merupakan aspek penting untuk perkembangan kanak-kanak seperti yang diiktiraf oleh pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF)

5.Penyusuan Susu Ibu Malaysia menyarankan agar bayi diberi susu ibu secara eksklusif iaitu sejak dari hari pertama kelahiran hingga berumur enam bulan tanpa campuran air atau susu lain.

6.Susu ibu adalah sumber makanan terbaik bagi bayi untuk membesar dan berkembang. Ia memiliki kandungan sempurna protein, karbohidrat, lemak, vitamin dan mineral.

7. Susu ibu mampu berubah mengikut tahap perkembangan dan kuantiti keperluan pemakanan harian mereka. Formulasi semulajadinya juga amat mudah dicerna dan diserap oleh tubuh bayi.

8.Susu ibu juga mengandungi agen antibodi yang sangat bernilai untuk perlindungan tubuh bayi daripada jangkitan penyakit serta menurunkan kadar risiko masalah alergi/alahan.

9.Berdasarkan kajian, kanak-kanak yang memperoleh sokongan penuh susu ibu seawal tumbesaran mereka, memiliki skor tinggi dalam ujian IQ.

10. Kajian juga menunjukkan bayi yang diberi susu ibu mempunyai 20 peratus lebih rendah risiko untuk kematian berbanding dengan bayi yang diberi susu formula dalam kalangan bayi antara umur 28 hari hingga satu tahun.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

11. Susu ibu telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebagai makanan terbaik untuk bayi serta dapat memastikan kejaminan makanan yang selamat dan berkhasiat kepada bayi walaupun dalam tempoh masa krisis.

12. Susu ibu sentiasa selamat, sentiasa segar dan sentiasa di dalam suhu yang sangat sesuai untuk penyusuan langsung tanpa perlu dibancuh dan dipanaskan di dalam botol.

13.Kajian pakar juga mengatakan bahawa ibu yang menyusukan bayi kurang berisiko untuk mengalami masalah kanser payudara dan kanser ovari – pembunuh utama wanita dan juga masalah osteoporosis (atau lemah tulang) di kemudian hari.

14.Disebalik semua kebaikan ini, usaha untuk menggalakkan penyusuan ibu sepenuhnya masih berdepan cabaran. Cabaran yang saya maksudkan adalah masih ramai ibu yang bekerja tidak menyusukan bayi mereka.

15. ”Tak cukup masa”, “Melecehkan” antara alasan yang diberikan oleh segelintir ibu-ibu yang bekerja.Ada juga yang mengakui mempunyai cukup pengetahuan tentang kebaikan susu ibu, namun kerana tuntutan kerjaya, mereka bertukar kepada susu formula.

16. Saya menyambut baik usaha yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kedah yang telah membentuk satu kumpulan sokongan penyusuan susu ibu yang dikenali sebagai “Persatuan Kumpu

lan Sokongan Penyusuan Susu Ibu Negeri Kedah”, yang kini sudah mempunyai ahli seramai 2,600 orang.

17. Saya percaya persatuan ini mampu untuk mendidik masyarakat dan juga para ibu bagaimana untuk mengimbangi antara kerjaya dengan keperluan penyusuan susu ibu kepada bayi mereka.

18. Tahniah dan Syabas kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah kerana telah berjaya menganjurkan pelbagai program untuk menggalakkan penyusuan susu ibu termasuklah ceramah dan pelbagai aktiviti lain.

Hadirin sekalian,

19. Sedar akan keperluan ibu-ibu bekerja untuk meneruskan penyusuan setelah kembali bekerja, Kerajaan telah melaksanakan beberapa dasar kepada golongan ini seperti pemberian insentif sehingga Dua Ratus Ribu Ringgit dalam bentuk geran untuk menggalakkan penubuhan TASKA di tempat kerja bagi memudahkan kaum ibu menyusui anak mereka.

20. Kerajaan juga telah menetapkan keperluan penubuhan TASKA di tempat kerja bagi semua agensi kerajaan menjelang 2019. Dalam masa yang sama, kerajaan turut menggalakkan penyediaan kemudahan kawasan mesra bayi di tempat awam, termasuk pusat membeli belah.

21. Saya ingin menyarankan kepada majikan agar mempertimbangkan beberapa inisiatif bagi menyokong dan menggalakkan penyusuan susu ibu sepenuhnya di tempat kerja. Ini termasuklah menyediakan bilik penyusuan yang selesa; mewujudkan tatacara mengenai keupayaan dan fleksibiliti untuk penyusuan susu ibu, menggalakkan aktiviti pendidikan mengenai penyusuan susu ibu, dan lain-lain bentuk sokongan di tempat kerja.

Dato, Datin,Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

22. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya menyeru kepada semua pihak agar dapat sama-sama meneruskan usaha menyokong para ibu agar mereka dapat menyusukan bayi mereka dengan jayanya. Sokongan moral dan fizikal daripada majikan disamping suami serta ahli keluarga memainkan peranan penting dalam membantu para ibu yang bekerja menyusukan bayi.

23. Terdapat ramai ibu yang bekerja telah berjaya menyusukan anak mereka, malah ada antaranya bekerja dalam sektor yang lasak namun tidak mempunyai masalah untuk terus memberi penyusuan secara eksklusif asalkan mereka mempunyai niat dan keinginan yang tinggi.

24. Akhir kata, tahniah diucapkan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2018 Peringkat Negeri Kedah ini.

25. Sekalung penghormatan dan syabas saya ucapkan kepada semua ibu umumnya dan para ibu yang bekerja khususnya yang memilih untuk menyusukan anak mereka dengan susu ibu. Sesungguhnya pilihan ini adalah yang terbaik untuk anak kita yang merupakan generasi masa depan negara.

26. Dengan itu saya akhiri ucapan ini dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan SAMBUTAN MINGGU PENYUSUAN SUSU IBU SEDUNIA PERINGKAT NEGERI KEDAH BAGI TAHUN 2018.

27. Sekian. Terimakasih
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Ucapan Penuh Tok Puan Norzieta di majlis sambutan minggu penyusuan susu ibu sedunia 2018 Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top