Latest News

Saturday 22 December 2018

BERITA BAIK PADA PEKEBUN GETAH



KENYATAAN MEDIA

Kerajaan Negeri Kedah merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya kepada Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad kerana meluluskan Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA).

Bantuan sebanyak RM600 yang diumumkan Menteri Kewangan, Yang Berhormat Lim Guan Eng semalam, pasti meringankan beban sara hidup para pekebun kecil getah, termasuk 45,297 di Kedah, berikutan pendapatan mereka terjejas semasa musim
tengkujuh.

Yang Berhormat Menteri Kewangan telah menyatakan bahawa bantuan tersebut akan dibayar dalam dua peringkat, sebanyak RM300 pada akhir Disember ini dan baki RM300 pada awal tahun depan.

Kerajaan Negeri turut menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan menaikkan harga lantai getah skrap daripada RM2.20 kepada RM2.50 sekilogram mulai Januari tahun depan, seperti yang diumumkan Timbalan Menteri Kewangan, Yang Berhormat Dato’ Ir Amiruddin Hamzah di Baling semalam.

Kedua-dua keputusan itu sangat besar maknanya kepada pekebun kecil getah yang sekian lama bergelut untuk menyara keluarga dari pendapatan yang tidak mencukupi kerana harga getah yang rendah.

Kerajaan Negeri menghargai perhatian dan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap kesukaran yang dihadapi oleh para penoreh getah. Sesungguhnya Kerajaan Pakatan Harapan sentiasa mendengar rintihan rakyat dan akan membantu dalam apa cara yang termampu.

DATO’ SERI HJ. MUKHRIZ TUN MAHATHIR
Menteri Besar Kedah Darul Aman
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: BERITA BAIK PADA PEKEBUN GETAH Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top