Latest News

Saturday 29 December 2018

Bersatu akan lindungi kepentingan Melayu - Dr Mahathir


Kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai parti Melayu adalah kerana orang Melayu di negara ini masih percaya mereka memerlukan parti Melayu untuk melindungi mereka dan kepentingan masyarakat itu, kata Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Mereka (orang Melayu) mahu seseorang untuk melindungi mereka..dan mereka percaya bahawa hanya orang Melayu boleh melindungi mereka, jadi mereka mahukan parti ini. Sekiranya kita (Bersatu) tidak memenuhi hasrat mereka, kita (Pakatan Harapan) tidak akan mendapat sokongan mereka dan kita akan sentiasa kalah,” kata Dr Mahathir dalam temu bual dengan organisasi-organisasi media terpilih di pejabatnya di Putrajaya.

Perdana menteri berkata jika beliau dan beberapa bekas pemimpin Umno tidak menubuhkan Bersatu dan tidak menekankan bahawa Bersatu juga merupakan parti Melayu, beliau pasti bahawa dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Barisan Nasional (BN) dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentu telah memenangi pilihan raya.

“ Ya, seperti Pilihan Raya Umum ke-13, undi majoriti atau popular (dalam PRU14) memihak kepada pembangkang tetapi disebabkan struktur kawasan pilihan raya, BN masih memenangi pilihan raya dan seterusnya membentuk kerajaan..tetapi mereka membentuk kerajaan pencuri yang tidak cekap, kleptokrasi,” kata Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan.

Ketika ditanya sama ada Bersatu boleh mengumpulkan kekuatan seperti Umno untuk meraih undi Melayu, Dr Mahathir berkata orang Melayu sentiasa mahukan parti yang kuat kerana Umno sekarang lemah selepas mengalami kekalahan dalam PRU lepas dan ramai anggota parlimen dan pemimpinnya telah meninggalkan parti dan merancang untuk keluar Umno.

“Bersatu adalah parti Melayu. Yang lain (parti komponen lain dalam PH) semuanya adalah parti berbilang kaum. Mereka (orang Melayu) mahu menyertai Bersatu. Jika mereka tidak menyertai Bersatu, maka ke mana mereka akan pergi. Mereka tidak boleh bersama Umnp..Umno telah berakhir.

“Orang Melayu takut, mereka berasa terancam. Mereka berpendapat jika jumlah mereka kecil, mereka tidak boleh mendapat apa-apa berdasarkan kesamaan dan layanan sama rata di negara ini. Mereka mencari parti. Mereka (orang Melayu yang memilih parti Melayu) tidak boleh menyertai Keadilan (PKR) kerana mereka tidak menerima parti berbilang kaum, mereka tidak boleh menerima Amanah, juga parti berbilang kaum, dan sudah pasti mereka tidak boleh menyertai DAP. Jadi apakah pilihan mereka,” kata beliau.

Ketika ditanya mengenai semakin ramai terutama pemimpin dan bekas pemimpin Umno mahu menyertai Bersatu, Dr Mahathir berkata Bersatu adalah parti Melayu dan Bumiputera dan sesiapa sahaja Melayu Bumiputera boleh menjadi anggota Bersatu.

“Tetapi ada syaratnya..dia kena orang yang “subscribe” kepada ideologi kita iaitu nak parti yang bersih dan tidak terlibat rasuah, serta akan dedikasikan kerjanya kepada rakyat dan negara. Itu tujuan kita, sesiapa yang pegang prinsip-prinsip itu kita boleh terima. Kalau nak parti Melayu, Bersatu je ada. Kalau bersatu tak baik bagi baiklah..masuk jadi baik,” katanya.

Beliau berkata pada PRU yang lepas, Bersatu tidak memunjukkan prestasi yang baik dan hanya menang 13 kerusi parlimen kerana parti itu telah dibatalkan pendaftaran oleh kerajaan terdahulu.

"Kita bertanding menggunakan simbol, bendera parti Keadilan. Jadi kita kalah banyak kerusi. Di Kedah, misalnya kita sepatutnya memenangi banyak kerusi tetapi tidak. Selain kawasan yang saya bertanding iaitu di Langkawi dan anak saya Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz) bertanding. Kawasan yang lain tidak pasti siapa yang bertanding.

"Tetapi kita sekarang adalah parti yang berdaftar. Kita boleh menunjukkan bendera kita, kita bleh menunjukkan simbol kita tetapi apabila bertanding kita akan bertanding di bawah PH dan PH sekarang mempunyai simbolnya sendiri. Tidak lagi seperti PH dalam PRU4 apabila kita terpaksa menggunakan simbol dan bendera Keadilan kerana PH tidak dapat didaftarkan, " katanya.

Mengenai prestasi oleh anggota kabinet dari Bersatu, Dr Mahathir berkata walaupun parti itu memenangi hanya 13 kerusi tetapi dalam kabinet, mereka mempunyai bilangan anggota yang sama dengan parti-parti yang lain.

"Kita mempunyai enam anggota dalam kabinet seperti parti-parti lain. Mereka masih baharu, ramai daripada mereka datang berjumpa dengan saya untuk meminta nasihat. Kadang-kadang mereka sangat teruja, mereka membuat kenyataan yang tidak baik untuk mereka atau parti. Tetapi anda tidak boleh mengharap bahawa orang yang masih baharu menjadi pakar pada hari pertama mereka mengambil alih jawatan. Sesetengah daripada mereka membuat kesilapan tetapi kita boleh membetulkan kesilapan, " kata beliau.

Mengenai golongan muda dalam parti itu, Dr Mahathir berkata parti itu memberi tempat kepada orang muda kerana percaya golongan muda juga berkaliber untuk bersama-sama memimpin negara.

“ Tak pernah dalam sejarah Malaysia orang umur 25 tahun jadi menteri. Itu penghargaan kita. Wanita pun macam itu, ada empat menteri wanita (dalam kerajaan sekarang). Tak pernah jadi dalam sejarah Malaysia. Orang muda ada tempat dalam parti kita lebih daripada (parti) dahulu. Kita percaya parti ini akan dipengaruhi oleh minda muda dan mereka ambil alih daripada pimpinan sekarang,” katanya.

Mengenai perhimpunan agung tahunan (PAT) kedua parti itu yang bermula semalam hingga Ahad, Dr Mahathir berkata pentadbiran parti itu masih belum tersusun sepenuhnya kerana pemimpin-pemimpin parti Bersatu sekarang dan yang akan hadir sewaktu PAT adalah yang dilantik sewaktu penubuhan parti (penaja).

“ Kita akan tukar perlembagaan supaya kita boleh tubuh cawangan dan bahagian supaya pemimpin cawangan dan bahagian dipilih ahli. Ada juga cadangan setiap ahli pilih pemimpin secara terbuka (one member one vote), tetapi kita dapati sistem itu terbuka kepada macam-macam masalah. Kerana itu kita terbuka kepada perlembagaan yang lebih sesuai dengan parti. Saya berpendapat bahawa ‘one member one vote’ susah sikit,” katanya.

Perhimpunan agung tahunan itu bermula malam tadi dengan majlis perasmian persidangan sayap Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan hari ini kedua-dua sayap bersidang. Malam ini, perasmian Perhimpunan Agung Bersatu akan disempurnakan oleh Dr Mahathir dengan persidangannya esok.

Kira-kira 3,000 perwakilan dijangka menghadiri perhimpunan agung tiga hari itu melibatkan 135 bahagian di seluruh negara, termasuk wakil daripada 98 sayap Srikandi dan 115 Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

- Bernama
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Bersatu akan lindungi kepentingan Melayu - Dr Mahathir Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top