Latest News

Friday 28 December 2018

Bersatu akan rangka agenda Bumiputera baru - Presiden


AGM BERSATU | Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berikrar parti itu akan merangka satu dasar agenda Bumiputera baru yang benar-benar akan menambah baik kedudukan golongan itu di negara ini.

Dalam ucapan sempena pelancaran Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda dan Srikandi Bersatu di Putrajaya hari ini, beliau berkata cabaran besar parti itu adalah membuktikan kepada orang Melayu kedudukan mereka lebih terjamin bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Mengakui sudah banyak yang dilakukan untuk tujuan itu sebelum ini, beliau berkata institusi untuk meningkatkan pencapaian orang Melayu seperti Felda, Tabung Haji dan Mara hampir runtuh disebabkan salah guna kuasa kerajaan dulu.

Muhyiddin berkata agenda baru itu akan berasaskan konsep perkongsian kemakmuran bersama yang saksama dengan tidak mengabaikan mana-mana golongan.

"Tumpuan dasar baru ini untuk mewujudkan kesaksamaan hasil dan bukan kesaksamaan peluang semata-mata. Kesaksamaan peluang yang tidak membuahkan kesaksamaan hasil bukanlah dasar yang adil.

"Jika tumpuan hanya diberi kepada menyediakan kesaksamaan peluang (saja)...Jurang kekayaan akan terus melebar.

"Ini bermakna orang Melayu yang masih ketinggalan dari segi pencapaian ekonomi mesti dibantu...untuk membolehkan mereka menikmati kemakmuran negara secara saksama," katanya.



Beliau menggariskan beberapa petunjuk keberhasilan dasar itu, antaranya;
Peningkatan kuasa beli rakyat secara menyeluruh dengan kadar inflasi dan kos sara hidup terkawal.
Pengurangan jurang pendapatan antara kaum, kelas dan wilayah.
Peningkatan jumlah pekerja Bumiputera dalam bidang berpendapatan tinggi dan teknologi baru serta pengurangan jumlah pekerja asing.

Oktober lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata agenda pemerkasaan Bumiputera akan terus diberi penekanan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

Kerajaan juga meneliti 63 resolusi yang dihasilkan menerusi Kongres Mada Depan Bumiputera dan Negara yang diadakan 1 September lalu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata perkara penting dalam menjayakan agenda Bumiputera yang perlu dilaksanakan adalah pembaharuan dan pemerkasaan institusi seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) serta agensi pelaksana seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

"Kerajaan mesti mengenal pasti usahawan tulen untuk dibantu. Maka satu data-raya perniagaan Bumiputera boleh dibangunkan untuk mengenal pasti mereka yang benar-benar layak," katanya lagi.

Beza dengan dulu

Beliau berkata perbezaan utama agenda Bumiputera bawah kerajaan PH daripada ketika pentadbiran BN ialah pelaksanaannya.

"Kita akan pastikan pelaksanaannya dilakukan dengan bersungguh-sungguh, telus dan bebas daripada amalan rasuah dan ketirisan.

"Pemantauan secara berterusan juga akan dilaksanakan oleh sebuah badan yang mempunyai kuasa eksekutif untuk memastikan matlamat dasar ini dapat dicapai sepenuhnya," katanya.

Bagaimanapun beliau menggesa orang Melayu untuk meningkatkan lagi usaha dan daya saing dalam dunia yang semakin kompetitif hari ini.

"Bantuan kerajaan semata-mata tidak memadai untuk menjamin kejayaan.

"Orang Melayu juga perlu mengubah sikap untuk berjaya. Ini memerlukan mereka untuk lebih rajin berusaha, berdisiplin dan berani mengambil risiko," katanya lagi.


  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Bersatu akan rangka agenda Bumiputera baru - Presiden Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top