Ucapan penuh YAB MB Kedah di Program Pelancaran Kad KIDA (Kasih Ibu Darul Aman)
1. Alhamdulillah, saya panjatkan setinggi-tinggi puji-pujian ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia-Nya jua, pagi ini kita dapat bersama-sama menyaksikan satu lagi usaha Kerajaan Negeri Kedah yang sangat bermakna untuk rakyat.
2. Pagi ini kita nak beri penghormatan paling tinggi kepada ibu-ibu di negeri Kedah. Kita nak balas pengorbanan dan jasa ibu-ibu dengan membantu mereka melalui Program Kasih Ibu Darul Aman atau singkatannya, KIDA. Program KIDA ini adalah untuk membantu meringankan perbelanjaan isi rumah berpendapatan rendah di negeri kita ini.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
3.Kerajaan Negeri sedar bahawa rakyat, terutamanya golongan yang miskin tegar, rasa tertekan dengan kos sara hidup yang membebankan. Kita pun cari jalan kot mana boleh tolong. Alhamdulillah, setelah berbincang Kerajaan Persekutuan, kita jumpa caranya iaitu dengan memperkenalkan program KIDA ini.
4.Kerajaan merasakan Program KIDA ini dapat melegakan himpitan sara hidup rakyat miskin. Tujuannya adalah untuk memastikan tiada keluarga atau masyarakat tersisih dari arus pembangunan Negeri Kedah. Kita bantu dari segi kewangan, dan pada masa yang sama, beri peluang kepada ahli-ahli keluarga terlibat, khususnya anak-anak untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran, moga-moga suatu nanti mereka dapat mencari sumber pendapatan, sekaligus mampu menyara keluarga.
5.Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan ibu sebagai tonggak pembangunan institusi keluarga dan masyarakat. Kaum ibu main peranan yang besar; bukan sahaja mendidik dan membesarkan anak tetapi juga sering pikul tanggungjawab untuk mengurus kewangan bagi keluarga.
6.Oleh kerana ibu yang dok belanja beli barang dapur dan sebagainya, maka dia lah yang paling terasa bila harga barang keperluan naik. Terus susah hati, rasa tertekan.
7.Untuk membantu ibu bagi setiap keluarga di atas pengorbanan mereka khususnya yang berpendapatan rendah, maka wajarlah Kerajaan Negeri mengiktiraf setiap ibu yang layak untuk mendapat manfaat program KIDA ini.
Hadirin yang dihormati,
8.Sukacita saya maklumkan pagi ini, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM30 juta bagi tahun 2019 untuk pelaksanaan program KIDA yang akan membantu kira-kira 4,500 orang ibu di seluruh Negeri Kedah.
9.Memanglah beberapa negeri juga ada program yang macam ni tetapi yang di Kedah ni adalah yang paling tinggi, iaitu sebanyak RM3,000 setahun atau pun RM250 setiap bulan. Sudah tentu jumlah ini dapat membantu perbelanjaan dapur bulanan kaum ibu sekeluarga.
10.Kita harap pemberian ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan perbelanjaan keluarga puan-puan.
11.Bukan itu sahaja puan-puan. Di bawah Program KIDA ini keluarga penerima juga akan mendapat bantuan kewangan untuk mendapat rawatan kesihatan di klinik swasta. Kita bagi had sehingga RM500 setahun.
12.Kerajaan la ni bukan sahaja ambil berat tentang keperluan perbelanjaan harian ibu-ibu semua, malah turut menjaga kebajikan dan kesihatan keluarga puan-puan semua.
13.Peserta KIDA boleh membeli bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan dan pakaian sekolah untuk anak-anak di lebih 100 kedai runcit di serata Kedah. Kalau sakit, boleh pi jumpa doktor di 78 klinik yang telah berdaftar dengan Kerajaan Negeri.
Hadirin yang dihormati,
14.Senarai penerima KIDA ini telah diperhalusi yakni hanya mereka yang layak sahaja terpilih. Saya perlu ingatkan puan-puan bahawa senarai penerima ini akan dinilai semula setiap tahun untuk mengkaji dan mempertimbangkan kelayakan penerima-penerima. Maka, saya berharap para penerima memanfaaatkan bantuan ini dengan sebaiknya.
15.Program KIDA ini dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara atau NCIA. Macam-macam program telah dirangka; semuanya semata-mata untuk bagi rakyat merasai kehidupan yang lebih selesa. Kita mewujudkan lebih banyak pekerjaan. Kita tingkatkan peluang keusahawanan dan menaikkan pendapatan isi rumah.
16.Untuk mencapai matlamat jangka masa panjang dan untuk membasmi kemiskinan, Kerajaan Persekutuan melalui NCIA dan Kerajaan Negeri akan mencari kaedah baharu seperti memperkenalkan program-program pembangunan modal insan dan keusahawanan iaitu EmpowerNCER@Kedah dan Entrepreneur@Kedah.
17.Melalui program ini, kita berhasrat membantu meningkatkan pendapatan isi rumah keluarga penerima KIDA yang berkelayakan dengan memberi kemahiran dan latihan keusahawanan.
18. Anak-anak mereka yang menduduki peperiksaan utama seperti UPSR, PT3 dan SPM juga akan diberi program tuisyen khas supaya keluarga mereka dapat keluar dari kemelut kemiskinan melalui pendidikan.
19.Untuk menjayakan matlamat ini, saya amatlah memerlukan sokongan dan kerjasama semua rakyat khususnya ibu-ibu dan kaum wanita Negeri Kedah.
20.Marilah kita bersama-sama berusaha memajukan keluarga agar negeri Kedah terus mencapai kemakmuran yang mampan. Hasil dari kejayaan ini akhirnya nanti melimpah sebagai nikmat untuk rakyat.
Penerima-penerima KIDA yang dihormati,
21.Puan-puan sudah boleh guna kad KIDA sekarang. Bolehlah puan-puan guna buat belanja sempena bulan Ramadhan dan juga persiapan untuk Hari Raya Aidifitri yang akan kita sambut tidak lama lagi. Tapi jangan lupa aktifkan kad tu dulu. Kalau tak tahu nak buat lagu mana, jangan risau. Nanti ada pegawai yang akan tolong hidupkan kad tu, inshaa-Allah. Bila dah hidup, boleh terus pakai kad beli barang. Nak pi klinik pun boleh dah.
Hadirin dan Hadirat yang dihormati,
22.Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah, Pejabat Daerah Sik dan Majlis Daerah Sik yang telah menyediakan dewan Al Hana.
23.Terima kasih juga kepada ICU yang telah menyediakan senarai e-Kasih dan terutamanya NCIA yang sama-sama bekerja dengan gigih dan penuh dedikasi dalam memastikan penganjuran majlis penting lagi bermakna ini berjalan dengan lancar dan berjaya. Tanpa mereka, tak dapat kita merealisasikan program KIDA.
24.Tak lupa juga semua pihak dan agensi terlibat secara lansung mahupun tidak lansung yang sentiasa memberikan bantuan, saya ucapkan ribuan terima kasih atas komitmen dan pengorbanan semua pihak yang bekerja tanpa mengira masa dan tenaga demi memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan jaya di dalam masa yang singkat. Semoga usaha murni ini mendapat keberkatan Allah Subhanu Wata’ala hendaknya.
25.Maka, dengan lafaz yang mulia, sukacitanya saya melancarkan Program Kasih Ibu Darul Aman, moga-moga ianya memberikan manfaat yang tidak terhingga kepada penerima sekeluarga.
26.Sekian. Wabillahhitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
0 comments:
Post a Comment