Lebih 4500 Wanita Di Kedah Menerima Manfaat Dari Program KIDA
Seramai 4,511 wanita di Kedah terdiri dari wanita berkeluarga, ibu tunggal dan suri rumah tanpa pendapatan tetap menerima bantuan kewangan bagi pembelian barangan keperluan asas serta keperluan kesihatan secara bulanan melalui program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) yang dilancarkan hari ini.
Dalam sidang media selepas majlis Pelancaran Program KIDA, YAB Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata penerima yang terpilih akan diberikan bantuan RM250 sebulan untuk membeli barang keperluan asas dan RM500 setahun untuk perbelanjaan rawatan kesihatan sekeluarga di klinik swasta.
“Objektif utama KIDA adalah untuk menampung kos hidup melalui bantuan kewangan untuk pembelian keperluan asas dan manfaat penjagaan kesihatan kepada golongan ibu yang miskin dan miskin tegar di negeri ini.
“Kerajaan persekutuan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah menyediakan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk melaksanakan program KIDA bagi tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu di sini, hari ini.
Setakat ini, penerima Kad KIDA merupakan individu dari senarai e-kasih dan dijangka akan meningkat kerana Kerajaan Negeri masih menerima pemohonan yang baru.
“Sistem kad pintar tanpa tunai akan digunakan dan pembelian hanya boleh dibuat di kedai-kedai runcit serta klinik swasta yang dilantik oleh kerajaan negeri. Kita jangkakan jumlah penerima akan meningkat selepas ini tetapi kita akan pilih yang betul-betul layak sahaja.
“Selain itu, senarai penerima KIDA ini juga akan dinilai semula setiap tahun untuk mengkaji dan mempertimbangkan kelayakan penerima,” katanya.
Bagi memastikan pembasmian kemiskinan dapat diatasi secara holistik dan inklusif, NCIA juga akan mencari kaedah baharu dengan memperkenalkan program-program pembangunan modal insan dan keusahawanan termasuk ‘EmpowerNCER@Kedah’ dan ‘Entreprenuer@Kedah’ kepada keluarga penerima KIDA
“Program ini diharapkan dapat membantu meningkatkan pendapatan isi rumah keluarga penerima KIDA dengan menyediakan peluang kemahiran dan latihan keusahawanan terutamanya kepada anak-anak mereka dalam usaha untuk mereka keluar daripada kemelut kemiskinan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment