Latest News

Tuesday 16 December 2014

Keluarga Allahyarham Mustapha Maarof Nafi Khabar Angin



Keluarga Allahyarham Datuk Mustapha Maarof menyangkal khabar angin yang mendakwa mereka sepakat menghentikan sokongan alat bantuan pernafasan ketika keadaan Allahyarham berada di tahap kritikal.

Khabar angin yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp itu dinafikan oleh anaknya, Mohd Rezainudden, 38.

“Kami adik-beradik terkejut apabila ramai bertanyakan mengenai perkara berkenaan. Malah ada yang marah dengan kami, padahal perkara itu tidak benar.

"Saya mewakili ahli keluarga yang lain menafikan sekeras-kerasnya khabar angin tersebut.

"Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir dengan mudah pada jam 8:38 pagi tadi,” jelas Rezainudden yang merupakan anak bongsu Allahyarham Mustapha.

Rezainudden memohon agar segala persoalan boleh diajukan terus kepadanya dan bukan mempercayai bulat-bulat khabar yang tidak tepat.

Menceritakan mengenai tahap kesihatan Allahyarham, Rezainudden berkata, bapanya mula mengalami komplikasi paru-paru sebulan yang lalu.

“Pada mulanya, ayah berada dalam keadaan sihat, sehinggalah sebulan yang lalu dia mengadu sakit dada.

“Bila kami lihat batuknya tak berhenti, kita terus bawa arwah untuk menerima rawatan sehinggalah arwah terpaksa dimasukkan ke Unit Kecemasan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju.

“Di sana, keadaan arwah ayah semakin kritikal sehingga dadanya terpaksa ditebuk.

“Pada hari ke 12 di unit kecemasan iaitu hari ini, arwah menghembuskan nafas terakhirnya,” cerita Rezainudden.

Rezainudden turut berkongsi amanat dan pesanan terakhir Allahyarham kepada dia dan adik-beradik yang lain

“Pinta ayah agar kami jaga rumah peninggalannya di Subang Jaya, dan ketika dia mula sakit ada dia berpesan beberapa kali agar disemadikan bersebelahan kubur mak.

“Alhamdulillah, permintaan arwah yang terakhir itu kami dapat tunaikan dan kami adik-beradik akan menjaga rumah itu sebaik-baiknya,” kata Rezainudden.

Allahyarham Mustapha dimasukkan ke Pusat Perubatan Respiratori, Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 25 November lalu susulan mengalami kesukaran bernafas sebelum dipindahkan ke Wangsa Maju
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Keluarga Allahyarham Mustapha Maarof Nafi Khabar Angin Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top