Latest News

Monday 15 December 2014

Kisah Menarik Tentang @MukhrizMahathir Yang Perlu Kita Tahu..


Menelusuri kehidupan zaman remaja Datuk Mukhriz Mahathir, sangat teruja. Anak ketiga kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad ini begitu ceria sewaktu membicarakan zaman remajanya kepada penulis. “Zaman remaja saya penuh dengan keriangan, saya seperti kanak-kanak lain, hidup dalam budaya Melayu yang sangat menekankan soal adat dan agama Islam.” Ujar Mukhriz ketika memulakan perbualan. “Saya dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan pendidikan dan agama, ayah saya Tun Mahathir sangat tegas dalam pendidikan kami. Walaupun beliau sibuk sebagai ahli politik, namun demikian pendidikan anak-anaknya sangat diambil berat.” Sambung Mukhriz lagi.

Menurut beliau, zaman remajanya sangat menarik untuk dikongsi bersama. Walaupun keluarga Mukhriz sangat dihormati oleh masyarakat pada ketika itu, kerana Tun Mahathir merupakan seorang doktor perubatan, namun hubungan Mukhriz dengan kanak-kanak sekampungnya tiada jurang dan perbezaan. “Zaman remaja saya seperti orang lain juga. Saya tiada beza dengan kanak-kanak yang sebaya dengan saya pada ketika itu. Walaupun ayah saya dihormati kerana seorang doktor, tetapi hubungan saya dengan rakan-rakan sekampung tiada beza, kami bersama-sama bermain di dalam sawah, pergi berenang di sungai Kedah, memancing ikan dan bermain meriam buluh, semua ini membuatkan hubungan kami sangat rapat dan mesra, tanpa mengira status dan kedudukan.”

Mukhriz berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1974, ketika berada dalam darjah empat, kerana Tun Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran . Mukhriz dibesarkan di Kuala Lumpur, tetapi pendidikan menengahnya di Kelantan. Menurut Mukhriz, walaupun Tun Mahathir merupakan Menteri Pelajaran pada ketika itu, dan mempunyai peluang untuk menghantar anak-anaknya belajar ke luar negara, namun demikian, beliau tidak melakukannya. Tun Mahathir lebih selesa menghantar Mokhzani dan Mukhriz ke sekolah berasrama penuh. “Saya dan abang saya, Mokhzani dihantar bersekolah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Bharu (Sekarang MRSM Pengkalan Chepa) selama lima tahun dari tingkatan satu sehingga tingkatan lima. Di sana, saya mendapat banyak pengalaman yang berbeza, kerana saya dibesarkan dalam budaya dan bahasa percakapan masyarakat Kedah dan bukan Kelantan. Pada awalnya, agak sukar untuk memahami pertuturan orang Kelantan, tetapi lama kelamaan ia semakin mudah difahami.” Jelas Mukhriz lagi.

Zaman remaja Mukhriz di Kelantan sangat indah dan menarik, kerana budaya dan cara hidup Islam yang diamalkan di sana. Menurut beliau, “Saya dibesarkan dalam suasana masyarakat Kelantan yang teguh kepada ajaran Islam serta budaya Melayu. Saya hidup selama lima tahun di negeri tersebut, sehingga sekarang saya masih fasih bercakap dalam dialek Kelantan, kerana saya mempunyai kawan yang ramai di sana. Hal ini menyebabkan saya berasa bertuah dan tidak meninggalkan cara hidup Islam dan orang Melayu.” Sepanjang lima tahun belajar di Kelantan, Mukhriz banyak belajar erti berdikari dan kehidupan susah masyarakat Kelantan. Hal ini mematangkan beliau.

Berkenaan Mokhzani, Mukhriz berkata, walaupun abangnya itu berada di tingkatan tiga dan beliau berada di tingkatan satu, namun Mokhzani lebih gemar Mukhriz berdikari dan tidak bergantung harap kepadanya selalu. Malah menurut Mukhriz, pernah sekali beliau dibuli oleh pelajar-pelajar senior, tetapi Mokhzani tidak datang membantu, sebaliknya mahu beliau mempelajari erti tidak bergantung harap kepada orang lain. Ketika Mukhriz di sekolah, beliau begitu aktif dalam persatuan, tetapi bukanlah sebagai ketua atau pemimpin, sebaliknya lebih kepada pelaksana dan penggerak kepada tugas yang diamanahkan.

Kehidupan beliau semakin mencabar setelah Tun Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1981, iaitu ketika beliau berada di tingkatan lima. Mukhriz terpaksa bekerja keras untuk membuktikan bahawa sebagai seorang anak Perdana Menteri, beliau mampu mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Dan yang lebih penting tidak memalukan ayahnya sebagai Perdana Menteri. Akhirnya, Mukhriz berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dan menyambung pelajarannya di Universiti Sophia, Tokyo, Jepun dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan. Seterusnya menyambung pelajaran ke Amerika Syarikat dalam bidang Pemasaran.

Menurut beliau, perkara yang tidak dapat dilupakan ketika zaman remajanya ialah, setiap kali keluarga Tun Mahathir bercuti ke luar negara, sudah pasti Tun Mahathir akan membawa mereka melawat ke kilang-kilang kereta. Bagi Mukhriz, beliau rasa bertuah, kerana sejak zaman remaja lagi, beliau sudah didedahkan dengan syarikat-syarikat besar pengeluar kereta terkenal dunia, seperti Toyota dan Mistubishi. Tiada sesiapa pun yang dapat menafikan bahawa hobi Tun Mahathir adalah melawat kilang kereta dan pembuatan. Lantaran itu, tidak menghairankan apabila Tun Mahathir membangunkan projek kereta nasional dengan kerjasama daripada syarikat-syarikat besar Jepun.

Melalui hobi Tun Mahathir ini, Mukhriz secara tidak langsung jatuh hati dalam industri pembuatan. Setelah menamatkan pelajaran di Jepun dan Amerika Syarikat, beliau berazam membina perniagaannya sendiri melalui Opcom Holdings dan merasai jatuh bangun dalam pelbagai bidang perniagaan. Setelah membuktikan bahawa beliau mampu berjaya dalam dunia perniagaan, Mukhriz menceburi secara langsung dalam dunia politik dan kerja-kerja amal. Kini, beliau banyak terlibat dengan kerja amal melalui pertubuhan bukan kerajaan seperti AMAN Malaysia. Serta terlibat secara aktif dalam politik setelah memenangi jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada tahun 2004. Malah, karismanya semakin menyerlah setelah memenangi kerusi Parlimen Jerlun dalam pilihan raya umum 2008.

Kini beliau sekali lagi berani mempertaruhkan diri dengan menandingi kerusi Dun Ayer Hitam, kerusi Dun pembangkang sekaligus beliau menang di Dun berkenaan dan menjadi Menteri Besar Kedah.

sumber asal dari Azli Shukri
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kisah Menarik Tentang @MukhrizMahathir Yang Perlu Kita Tahu.. Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top