Latest News

Monday 19 January 2015

Pembinaan KXP Akan Semarakkan Ekonomi Kedah - DSMM

gambar - mmfc crew 

Cadangan pembinaan projek ikonik Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim atau lebih dikenali sebagai "KXP" akan menyemarakkan ekonomi rakyat Kedah terutamanya di luar bandar, kata menteri besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Menurut beliau, cadangan pembinaan KXP di Sungai Petani merupakan satu daripada enam projek pemangkin yang dirancang bagi merancakkan lagi landskap pembangunan ekonomi negeri.

"Sepertimana seluruh kawasan Kedah Utara mengalami pertumbuhan mendadak dalam tempoh yang singkat dengan pembukaan Universiti Utara Malaysia di Sintok, begitu jugalah diharapkan akan berlaku kepada negeri kita, malah turut melimpah ke negeri-negeri jiran seluruh Utara Semenanjung ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sembah tahniah pada istiadat menyembah tahniah dan penganugerahan darjah-darjah serta bintang-bintang kebesaran sempena keputeraan Sultan Kedah ke-87 di Istana Anak Bukit hari ini.

Mukhriz berkata, rakyat berpeluang memperoleh peluang-peluang pekerjaan berpendapatan tinggi yang bukan hanya hanya ditawarkan oleh operasi KXP, tetapi oleh industri lain di luar lapangan terbang itu.

Menurut Mukhriz, industri pembuatan dan perkhidmatan penerbangan yang turut menawarkan pendapatan tinggi akan ditempatkan bersebelahan dengan lapangan terbang berkenaan.

Menteri Besar Kedah itu berkata, keseluruhan kawasan antara Taman Teknologi Tinggi Kulim hingga ke KXP akan menjadi zon pembangunan industri pembuatan dan perkhidmatan, mengambil kesempatan wujudnya akses kepada dunia luar melalui KXP.

"Ini memberi impak kepada percambahan peluang kerja dan perniagaan," kata beliau dan menambah, industri pelancongan tempatan juga menerima suntikan baru dengan pengisytiharan tahun depan sebagai Tahun Melawat Kedah.

Kempen Tahun Melawat Kedah, katanya, akan membuka ruang bagi meningkatkan hasil negeri dengan kunjungan lebih ramai pelancong tempatan dan asing ke negeri ini.

Mukhriz berkata, selepas merancang pelbagai strategi dengan penuh teliti, kerajaan negeri Kedah kini telah bersedia untuk melaksanakan program-program pembangunan bagi kepentingan rakyat negeri ini.

"Pemacuan transformasi Kedah kini bermula," menurut beliau. Mukhriz berkata, tumpuan terhadap bidang ekonomi adalah bertujuan untuk menjana dana yang boleh digunakan bagi meringankan beban masyarakat yang miskin bagi memastikan golongan yang "rebah tidak terus tertindih".

"Ampun Tunku, Kerajaan Tuanku percaya kepada pendekatan menyediakan kail untuk memancing ikan. Pertumbuhan ekonomi negeri mestilah memberi faedah kepada Rakyat secara langsung mahupun tidak langsung," menurutnya.

Kerajaan negeri Kedah, kata Mukhriz, menitikberatkan soal pendidikan kerana ia percaya kejayaan di dalam bidang terbabit akan membuka peluang seluas-luasnya bagi rakyat negeri ini untuk berjaya dalam apa bidang sekalipun.

Oleh kerana itulah, katanya, Kedah buat julung-julung kalinya memperuntukkan sejumlah wang untuk menyediakan perkhidmatan tuisyen online secara percuma yang bakal memanfaatkan hampir 400,000 pelajar sekolah rendah dan menengah.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri juga tidak mengabaikan tanggungjawab sosialnya dan satu daripada penekanan yang diberikan melibatkan pembinaan rumah kos rendah dan rumah mampu milik. Sejak memerintah, beliau berkata, 16,000 buah rumah terbabit telah dan sedang dibina dan berkeyakinan sasaran pembinaan 40,000 rumah kos rendah dan mampu milik akan dapat dicapai.


Bernama 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Pembinaan KXP Akan Semarakkan Ekonomi Kedah - DSMM Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top