Latest News

Wednesday 28 October 2015

HMG Labur RM80 Juta Bina Taman Tema, Tawar Penerbangan Sewa Khas Di Langkawi


Halim Mazmin Group (HMG) melabur sebanyak RM80 juta untuk memulakan dua projek baharu di Langkawi -- perkhidmatan penerbangan sewa khas dan taman tema air.

Pengerusinya Tan Sri Halim Mohammad berkata daripada jumlah itu, RM60 juta diperuntukkan bagi pembangunan fasa pertama Langkawi Water Kingdom, yang dijangka selesai dalam tempoh 18 bulan.

"Kami membuat pelaburan awal sebanyak RM20 juta bagi pembelian pesawat Cessna Grand Caravan EX208B untuk memulakan perkhidmatan penerbangan sewa khas," katanya pada majlis pelancaran dua projek itu oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, di sini.

Halim berkata anak syarikat HMG, Langkawi International Sdn Bhd akan membangunkan taman tema itu manakala Prima Air Sdn Bhd akan mengoperasikan perkhidmatan penerbangan sewa khas tersebut.

Fasa pertama taman tema air itu yang akan dibina di kawasan seluas kira-kira empat hektar akan menawarkan pelbagai permainan yang menarik dan menyeronokkan.

Beliau berkata pembabitan HMG dalam perkhidmatan penerbangan sewa khas itu adalah untuk melengkapkan syarikat penerbangan lebih besar yang beroperasi di Langkawi dengan membawakan penumpang ke destinasi yang tidak dapat menampung pesawat lebih besar.

Menurutnya, pesawat baharu Cessna Grand Caravan EX208B bagi perkhidmatan itu yang diterima pada September boleh dikendalikan oleh dua kru dan dapat memuatkan 11 penumpang.

"Ia juga memiliki katil pengusung bagi menyediakan ambulans udara untuk pemindahan perubatan kecemasan dari Langkawi ke hospital lain di Alor Setar atau Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, Mukhriz dalam ucapan beliau memuji usaha berterusan HMG membangunkan Langkawi, sambil menyatakan lebih banyak syarikat harus melabur di pulau ini.

Beliau berkata dua projek itu akan membawa impak besar kepada ekonomi negeri secara keseluruhan di samping mempelbagaikan portfolio pelancongan pulau peranginan tersebut.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: HMG Labur RM80 Juta Bina Taman Tema, Tawar Penerbangan Sewa Khas Di Langkawi Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top