Latest News

Monday 5 October 2015

Isu Perkahwinan Kanak-kanak: Kajian Dari Aspek Agama, Kesihatan dan Psikologi




Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 - 22 Oktober 2014 telah membincangkan Isu Perkahwinan Kanak-kanak: Kajian Dari Aspek Agama, Kesihatan dan Psikologi. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

1. Setelah mendengar pembentangan dan meneliti laporan penyelidikan yang telah disediakan oleh Kumpulan Penyelidik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan hasil penyelidikan yang telah dikemukakan.

2. Berdasarkan hasil penyelidikan tersebut, Muzakarah mendapati bahawa:

i. Isu berkaitan perkahwinan kanak-kanak bukan satu isu baru di Malaysia dan ia tidak lagi dilihat sebagai satu amalan yang ‘sihat’ pada masa ini. Perkahwinan Baginda Rasulullah s.a.w. dengan Saidatina `Aisyah r.a tidak wajar dijadikan alasan untuk memudahkan perkahwinan kanak-kanak. Syeikh Abdullah al-Manie, seorang daripada anggota Majlis Ulama Kanan Saudi juga berpandangan bahawa perkahwinan antara Rasulullah s.a.w. dengan Sayidatina Aisyah r.a tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mewajarkan perkahwinan gadis bawah umur.

ii. Walaupun terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan perkahwinan kanak-kanak di negara ini, tetapi ia tidak bermakna perkahwinan ini boleh dilakukan dengan mudah tanpa melihat kepada kemaslahatan kanak-kanak yang ingin dikahwinkan.

iii. Kajian mendapati statistik permohonan dan perkahwinan kanak-kanak di negara ini semakin meningkat dan kesan akibat daripada perkahwinan ini lebih banyak mendatangkan keburukandaripada kebaikan terutama dari aspek kesihatan dan psikologi kanak-kanak terbabit.

iv. Kebanyakan perkahwinan kanak-kanak ini berlaku akibat didorong oleh rasa cinta kepada pasangan yang tidak mampu dikawal sehingga mendorong berlakunya penzinaan serta kehamilan luar nikah.

v. Dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor perkahwinan kanak-kanak di Malaysia berlaku bukan kerana maslahah tetapi disebabkan keterlanjuran dan keinginan menutup aib atau maruahkeluarga yang tercemar.

vi. Keterangan pakar-pakar kesihatan dan psikologi menegaskan wujudnya masalah kesihatan fizikal dan mental yang dialami pada pasangan perempuan akibat perkahwinan kanak-kanak.


3. Berdasarkan dapatan kajian tersebut, Muzakarah menegaskan bahawa para ulama bersetuju bahawa secara syar’i, perkahwinan kanak-kanak bukan merupakan perkara yang wajib atau sunat. Tiada hadis yang menyatakan bahawa perkahwinan kanak-kanak itu dianjurkan. Perkahwinan pada zaman Rasulullah s.a.w. yang dilakukan oleh para sahabat lebih kepada menjaga kemaslahatan kanak-kanak. Ia termasuk dalam perkara harus tetapi hukumnya tertakluk kepada ketentuan Maqasid Syariah dan Qaedah Fiqhiyyah iaitu “Menjauhi Kerosakan” (Dar’ al-Mafasid) serta “Mengambil Maslahat” (Jalb al-Masalih).

4. Sehubungan itu, berasaskan nas-nas Syarak dan Qaedah-Qaedah Fiqhiyyah serta keterangan pakar-pakar kesihatan dan psikologi, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perkahwinan kanak-kanak hanya boleh dibenarkan dengan syarat ia dilakukan semata-mata untuk memenuhi kemaslahatan kanak-kanak tersebut secara syar’ie.

5. Muzakarah juga bersetuju memutuskan supaya pihak-pihak berkuasa berkaitan memperketatkan syarat-syarat perkahwinan kanak-kanak dan memastikan pelaksanaannya dijalankan mengikut prosedur.



Keterangan/Hujah:

1. Isu perkahwinan kanak-kanak atau perkahwinan bawah umur mula mendapat tempat di media massa ekoran beberapa kes penderaan serta rogol yang melibatkan pasangan yang berkahwin di bawah umur. Ia turut dikaitkan dengan peningkatan kes ketelanjuran akibat zina dalam kalangan remaja hingga mengheret ramai ibu bapa mengambil keputusan mengahwinkan anak-anak mereka di usia belasan tahun. Walaupun ibu bapa mempunyai alasan tersendiri ketika memberi keizinan untuk anak mereka dinikahkan, akan tetapi ia tetap mengundang pelbagai persepsi daripada masyarakat sama ada menyokong mahupun sebaliknya.

2. Bagi pihak yang menyokong pernikahan kanak-kanak yang dilaksanakan mengikut lunas-lunas undang-undang, langkah ini dianggap sebagai satu kaedah bagi menyelesaikan masalah sosial, seksual dan perzinaan yang berleluasa.

3. Pihak yang menolak pula berpandangan pernikahan kanak-kanak dianggap melanggar dan merampas hak asasi kanak-kanak remaja yang sepatutnya diberi ruang dan peluang untuk menuntut ilmu serta meningkatkan kemahiran diri.

4. Isu berkaitan perkahwinan kanak-kanak bukan satu isu baru di Malaysia. Walaupun fenomena ini biasa dilihat dan diamalkan dalam era tahun 50an dan 60an, tetapi ia tidak lagi dilihat sebagai satu amalan yang ‘sihat’ pada masa ini.

5. Perakhwinan Baginda Rasulullah SAW dengan Sayidatina Aisyah r.a. tidak wajar dijadikan alasan untuk memudahkan perkahwinan kanak-kanak. Syeikh Abdullah al-Manie, seorang daripada anggota Majlis Ulama Kanan Saudi juga berpandangan bahawa perkahwinan antara Rasulullah SAW dengan Sayidatina Aisyah r.a. tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mewajarkan perkahwinan gadis bawah umur. Pandangan beliau ini timbul sebagai reaksi kepada perkahwinan seorang gadis berumur 12 tahun dengan seorang lelaki berumur 80 tahun di Buraidah, Arab Saudi.

6. Perkahwinan kanak-kanak membabitkan remaja perempuan bawah 16 tahun menjurus kepada pertembungan antara undang-undang syariah dengan pandangan bersandarkan kepentingan semua pihak terutamanya remaja berkenaan. Beberapa kes yang melibatkan perkahwinan kanak-kanak telah diketengahkan oleh media dan mendapat pandangan serta bantahan daripada banyak pihak termasuk kementerian, agensi kerajaan dan swasta serta Badan Bukan Kerajaan (NGOs). Antaranya kes Siti Nur Zubaidah Hussin (11 tahun) yang dipaksa berkahwin dengan lelaki berusia 41 tahun di Kelantan pada Februari 2010.

7. Walaupun terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan perkahwinan kanak-kanak tetapi ia tidak bermakna perkahwinan ini boleh dilakukan dengan mudah tanpa melihat kepada kemaslahatan kanak-kanak yang ingin dikahwinkan. Adalah tidak dinafikan bahawa hukum syarak dan undang-undang syariah membenarkan perkahwinan kanak-kanak bawah umur 16 tahun tetapi kebenaran ini perlu dinilai agar ia sesuai dengan perkembangan serta perubahan kehidupan hari ini.

8. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Worlds Health Organisations (WHO) dan United Nations Population Fund (UNPF) melaporkan bahawa perkahwinan kanak-kanak banyak berlaku di Asia, diikuti Afrika dan Timur Tengah. Penetapan umur bagi perkahwinan kanak-kanak pula bergantung kepada ketetapan mengikut Negara. Faktor yang menyumbang kepada perkahwinan kanak-kanak berbeza antara Negara kerana ia bergantung kepada amalan, budaya, kepercayaan mahupun adat sesuatu bangsa.

10. Sehingga 2012, terdapat lebih 16,000 kanak-kanak perempuan di bawah umur 16 tahun dan lelaki bawah 18 tahun di Malaysia mendirikan rumah tangga (Malaysiakini). Pernikahan itu banyak memberikan impak negatif terhadap kanak-kanak atau remaja terbabit. Kajian yang dibuat oleh WHO mendapati, perkahwinan kanak-kanak banyak memberi kesan negatif kepada kesihatan fizikal dan mental, serta psikologi kanak-kanak tersebut.

11. Para ulama bersetuju bahawa secara syarie, perkahwinan kanak-kanak bukan perkara yang wajib dan tidak juga sunat. Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Sayidatina Aisyah r.a. adalah amalan yang tidak diwajibkan dan tidak juga digalakkan untuk diikuti.

12. Tiada hadis yang menyatakan perkahwinan kanak-kanak itu dianjurkan. Perkahwinan pada zaman Rasulullah SAW yang dilakukan oleh para sahabat lebih kepada menjaga kemaslahatan kanak-kanak dan bukan merupakan mandub tetapi mubah. Ia termasuk dalam perkara harus (mubah) yang hukumnya tertakluk kepada ketentuan maqasid syariah dan kaedah menjauhi kerosakan (dar al-mafasid) dan mengambil maslahat (jalb al-masalih) yang meletakkan maslahat sebagai asas pertimbangan.

13. Kaedah syarak dan hadis Rasulullah SAW, لا ضرر ولا ضرر (tidak boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri dan tidak boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain) dan kaedah al-darar yuzalu(perkara yang berbahaya wajib dihilangkan) bersesuaian dengan hasil atau pendapat pakar-pakar kesihatan dan psikologi yang mendukung adanya masalah kesihatan fizikal dan mental yang dialami oleh pasangan perempuan akibat perkahwinan kanak-kanak.

14. Pakar perubatan mengesahkan perkahwinan kanak-kanak mengundang risiko yang tinggi kepada kanak-kanak tersebut iaitu berisiko kurang darah ketika melahirkan, darah tinggi, sukar melahirkan, kelahiran secara pembedahan, kecederaan rahim, bayi kurang berat badan, IQ rendah dan masalah jantung. Ia juga boleh mengakibatkan kemurungan, sakit jiwa dan hysteria.

15. Para ulama khususnya ulama bermazhab al-Syafie telah meletakkan beberapa syarat yang perlu diikuti sebelum perkahwinan kanak-kanak dapat dibenarkan. Imam al-Syafie menjelaskan, “Bapa dibenarkan untuk menikahkan anak perempuannya yang masih dara jika pernikahan itu mendatangkan manfaat kepada anak perempuan itu atau pernikahan itu tidak menjejaskan kehidupannya. Tetapi bapa tidak dibenarkan menikahkannya jika pernikahan itu menjejaskan kehidupannya atau mendatangkan kemudaratan kepadanya. Begitu juga hukumnya jika bapa mahu menikahkan anak lelakinya yang masih belum baligh”. Ini jelas menunjukkan terdapat amalan menghadkan perkara yang harus (taqyiid al-mubah) oleh ulama-ulama terdahulu sebagai usaha pencegahan terhadap perkara-perkara negatif daripada perkahwinan kanak-kanak. Dapatan kajian ini menunjukkan, berdasarkan data yang dikemukakan oleh pakar perubatan, kanak-kanak perempuan yang berkahwin, kemudian mengandung, terdapat banyak kemudaratan daripada aspek kesihatan kepada mereka.

16. Terdapat beberapa pendapat ulama semasa yang melarang perkahwinan kanak-kanak dan menetapkan umur tertentu seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi yang membolehkan nikah setelah berumur 16 tahun untuk kanak-kanak perempuan dan 18 tahun untuk lelaki. Begitu juga ulama Saudi; Ibn Uthaimin yang berpendapat tidak setuju dengan perkahwinan kanak-kanak sekarang ini dan baginya tindakan melarangnya adalah lebih baik. Dalam keadaan sekarang, kedua-dua ulama ini berpendapat hadis Aisyah r.a. tidak sesuai dijadikan hujah hukum bagi membenarkan perkahwinan kanak-kanak.

17. Berdasarkan keadaan dan konteks masyarakat Malaysia dewasa ini yang ternyata masih ramai yang kurang berpengetahuan berkaitan hukum hakam agama khususnya dalam bab nikah kanak-kanak, perkahwinan tersebut tidak boleh dibenarkan kecuali dengan syarat-syarat tambahan yang lebih relevan terutama daripada segi kesihatan, mental dan kejiwaan.

18. Maslahah yang wajib diperhalusi sebelum perkahwinan kanak-kanak diluluskan oleh pihak Mahkamah ialah:

Wali yang memohon untuk kanak-kanak; lelaki atau perempuan, adalah wali yang memenuhi syarat‘adalah. Tidak memadai hakim sekadar menilai sifat ‘adalah wali dengan meminta wali beristighfar sahaja;
Perkahwinan itu tidak menjejaskan kepentingan hidup dan masa depan kanak-kanak tersebut seperti pendidikan, psikologi, kesihatan dan kewangan;
Pasangan kanak-kanak yang dikahwinkan itu mestilah sekufu.


Wallahu A’lam.

  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Isu Perkahwinan Kanak-kanak: Kajian Dari Aspek Agama, Kesihatan dan Psikologi Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top