Latest News

Friday, 23 October 2015

Tumpukan Kepada Pembeli Rumah Kali Pertama Dalam Bajet - Bina Darulaman




Pemaju hartanah, Bina Darulaman Bhd (BDB) berharap insentif kerajaan dalam sektor hartanah menerusi Bajet 2016 akan terus memastikan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana mampu membeli kediaman.

"Kami di BDB berikrar untuk bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menggerakkan usaha membantu pembeli rumah kali pertama dan mereka yang kesukaran mendapatkan pinjaman, memiliki rumah.

"Dalam bajet terdahulu, langkah kerajaan melanjutkan pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus terhadap surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman serta meningkatkan had pembelian daripada RM400,000 kepada RM500,000 (sehingga 30 Dis 2016) adalah kena pada masanya," kata Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Izham Yusoff dalam kenyataan.

BDB, satu-satunya syarikat berkaitan kerajaan negeri Kedah yang tersenarai awam, turut meminta bank memperkenalkan lebih banyak skim mesra pembeli rumah bagi membolehkan rakyat Malaysia membeli rumah pertama mereka, dengan tumpuan kepada kediaman berharga sehingga RM500,000.

"Kami juga menyokong gesaan melonggarkan syarat pinjaman bagi pembeli rumah kali pertama selain pelepasan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) melibatkan perumahan mampu milik dan hartanah yang dikawal," kata Izham.

Syarikat juga kekal komited untuk bekerjasama dengan sektor awam dan swasta bagi membangunkan skim perumahan mampu milik di seluruh negara, katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Tumpukan Kepada Pembeli Rumah Kali Pertama Dalam Bajet - Bina Darulaman Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top