Latest News

Friday 25 December 2015

Do'a Pedang Umat Islam, Kata Tokoh Ibu Mithali Kedah


ALOR SETAR, 24 Dis (Bernama) -- Penerima Anugerah Tokoh Ibu Mithali sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Kedah, Fauziah Ahmad, 70, sentiasa berpegang kepada prinsip do'a sebagai pedang umat Islam bagi mendapatkan keberkatan dan kejayaan dalam hidup.

Ibu kepada 12 orang anak berumur antara 50 hingga 25 tahun itu berkata dia bersyukur dan sama sekali tidak menyangka akan mendapat anugerah tersebut walaupun baginya tugas mendidik anak-anak bukanlah mudah.

"Mahu membesar dan mendidik anak-anak ini cabarannya besar, ditambah pula dengan keadaan kemiskinan pada masa dahulu namun ia tidak mematahkan semangat saya dan suami, Husain Ahmad, 75, untuk cuba sedaya upaya memberi didikan yang terbaik buat anak-anak.

"Perkara paling penting ialah sentiasa berdo'a kepada Allah kerana do'a itu merupakan pedang kepada umat Islam. Jangan putus-putus berdo'a kerana sekiranya kita mahukan sesuatu kejayaan dalam hidup selain usaha, berkat do'a itu penting," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah Khamis.

Beliau membawa pulang wang tunai RM3,000; sijil penghargaan dan hadiah sampingan berbentuk plak daripada Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Fauziah Ahmad yang dilahirkan di Baling melanjutkan pelajaran peringkat tertinggi dalam Latihan Normal Kelas Latihan Perguruan anjuran Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dan atas komitmen tinggi dalam bidang keagamaan, beliau dilantik sebagai guru Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) pada 1998 hingga 2004.

Sementara itu, Syeikh Kadri Abdul Hamid Al-Hafiz, 51, yang berasal dari Kota Sarang Semut, Alor Setar menerima Anugerah Tokoh Pendakwah manakala Abdul Razak Saad, 69, dari Pokok Sena menerima Anugerah Tokoh Imam yang mana masing-masing turut membawa pulang wang tunai RM3,000; sijil penghargaan dan hadiah sampingan berbentuk plak.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Do'a Pedang Umat Islam, Kata Tokoh Ibu Mithali Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top