Latest News

Sunday 8 April 2018

Anwar: Umno bukan pembela institusi Raja-Raja Melayu


Pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan Umno mempertahankan kepentingan orang Melayu hanyalah propaganda untuk meraih sokongan.

Anwar berkata demikian sebagai mengulas keengganan kerajaan mengembalikan keperluan perkenan Yang Di-Pertuan Agong sebelum sesebuah Rang Undang-Undang menjadi akta.

"Saya amat terkejut dengan pendirian Umno dalam isu ini.

"Ia membuktikan bahawa dakwaan Umno mempertahan institusi Raja-Raja Melayu dan kepentingan orang Melayu hanyalah dakyah propaganda semata-mata untuk meraih sokongan orang Melayu terhadap Umno-BN," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam jawapan bertulis parlimen bulan lalu, Anggota Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan belum bercadang mengembalikan keperluan perkenan Yang Di-Pertuan Agong dalam penggubalan sesuatu akta selain menjelaskan bahawa ia memerlukan kajian yang terperinci dan mendalam.

Azalina berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan yang dibangkitkan Anggota Parlimen PKR N Surendran berhubung sama ada kerajaan bercadang meminda Klausa 4(a) Artikel 66 Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu Anwar menambah, Perlembagaan sedia ada yang tidak memerlukan perkenan diraja mengakibatkan salah guna kuasa oleh kerajaan BN terutama dalam pewartaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Walaupun Majlis Raja-Raja berpendapat beberapa peruntukan dalam Rang Undang-undang tersebut perlu diperhalusi. MKN telah diwartakan tanpa menerima perkenan Yang Di-Pertuan Agong," jelasnya.

MKN telah menjadi akta secara automatik selepas 30 hari tanpa memerlukan perkenan diraja seperti yang diwajibkan dalam Artikel 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan.

Awal tahun ini, Anwar memfailkan tindakan mahkamah terhadap kerajaan di Mahkamah Persekutuan untuk memulangkan keperluan mandatori bagi perkenan diraja.

"Saya berasa jijik mendengar kemunafikan pihak yang berkata kononnya mereka lah yang mempertahan Institusi Raja-Raja, tetapi kerajaan Umno-BN melalui peguam-peguamnya lah yang melawan habis-habisan tindakan mahkamah yang saya mulakan ini.

"Perkenan diraja amatlah penting dalam menjamin keseimbangan di antara pihak eksekutif, legislatif dan Raja-Raja dalam meluluskan undang-undang," katanya.


Laparan Malaysia Kini 




  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Anwar: Umno bukan pembela institusi Raja-Raja Melayu Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top