Latest News

Sunday 8 April 2018

'Berkibarlah keadilan membawa harapan'


KATA MP | Bendera Parti Keadilan Rakyat yang akan digunakan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada PRU ke-14 adalah atas kesepakatan bersama untuk menumbangkan Umno dan BN.

Langkah ini diambil setelah usaha mendaftarkan logo Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan HARAPAN terus dinafikan pihak tertentu.

Saya menegaskan sebagai parti yang berteraskan prinsip keadilan, dan mewakili kepedulian rakyat daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, sudah pasti keutamaan kami adalah mempertahankan institusi negara agar terus demokratik, bukannya politik elitis dan meminggir ruang demokrasi seperti yang dilakukan oleh BN.

Penggunaan satu logo melakar sejarah baru dalam gabungan pembangkang yang dijelmakan menerusi HARAPAN demi menumpaskan parti pemerintah di bawah Datuk Seri Najib Razak.

Ternyata, hanya pemimpin Umno seperti Datuk Seri Salleh Keruak yang 'keliru' apabila logo PKR ini digunakan HARAPAN.


Apa yang ditakuti pimpinan tertinggi Umno adalah kebangkitan rakyat dan orang Melayu terhadap rejim kleptokrat dalam pilihan raya yang akan tiba.

Salleh hanya bertepuk sebelah tangan. Saya percaya orang Melayu hari ini tidak pernah dikelirukan dengan propaganda murahan dan lambang semata-mata.

Matlamat orang Melayu yang bersama dengan HARAPAN amat jelas, iaitu untuk menumbangkan pemimpin Melayu Umno dan BN yang mengheret negara ke kancah kemorosotan ekonomi dan rasuah yang kian membebankan kehidupan rakyat.

Tentunya soal logo ini langkah mereka untuk mengalih perhatian rakyat dalam isu yang lebih besar seperti pemimpin yang bergelumang dengan rasuah, sehingga memungkinkan potongan subsidi, kenaikan harga barang menerusi pengenalan cukai GST dan pelbagai tekanan ekonomi lain.

Jalan keluar dari Putrajaya



Begitu takutnya Najib, sehingga sebuah parti baru dihalang menggunakan logo mereka sendiri.

Begitu gentarnya seorang pahlawan, apabila wajah seorang warga emas 93 tahun tidak dibenarkan untuk ditayang di seluruh negara.

Begitu liciknya parti pemerintah, yang dilihat campur tangan dalam urusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP untuk melemahkan HARAPAN dari luar.

Saya melihat seluruh tumpuan rakyat menjelang PRU ke-14 adalah untuk menunjuk kepada BN jalan keluar daripada Putrajaya.

Justeru, PKR dan HARAPAN bertekad untuk meleburkan rekod tanpa kalah BN dalam PRU selama ini. Suara rakyat yang perlu diangkat, bukan pimpinan kotor acah hebat yang dipenuhi detik hitam dan kontroversi sepanjang memegang tampuk pemerintahan negara.

Berkibarlah bendera PKR hasil buah fikir Seniman Negara, allahyarham Datuk Syed Ahmad Jamal demi hak rakyat Malaysia untuk memilih masa depan yang lebih baik.

NURUL IZZAH ANWAR ialah naib presiden PKR dan anggota parlimen Lembah Pantai.

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: 'Berkibarlah keadilan membawa harapan' Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top