Latest News

Sunday 8 April 2018

Harapan tetap guna logo PKR: Tun M


BAKRI - Pakatan Harapan (Harapan) akan terus dengan keputusan mereka untuk menggunakan logo PKR sebagai simbol parti bagi menghadapi PRU14 meskipun mendapat pertikaian daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan SPR yang menuntut syarat kebenaran bagi isu itu dilihat seperti tidak munasabah ekoran tiada arahan sama pernah dikeluarkan sebelum ini.

“Semalam, kita semua sepakat untuk bertanding menggunakan logo PKR tapi pagi ni kita dengar SPR kata kalau nak guna satu simbol kena minta kebenaran.


“Dia siapa? Mana datang undang-undang ni? Baru bentuk undang-undang pagi tadi? Baru masuk peraturan pagi ni?” Soalnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Makan Amal Muo di Dewan Bankuet SKT, Sungai Abong, di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Terdahulu, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mengeluarkan kenyataan menegaskan bahawa Harapan perlu mendapat kebenaran mereka jika mahu menggunakan satu logo parti saja pada PRU14.

Mahathir berkata, Pakatan Harapan tidak sama sekali mengendahkan tuntutan kebenaran itu selain terus bertegas dengan keputusan tersebut termasuk menggunakan logo Bersatu yang telah dibubarkan baru-baru ini.

“Adakah semua negara mesti terima keputusan yang dibuat oleh orang ini? Kita tidak akan terima. Kita akan guna simbol kita dan kita akan guna simbol parti-parti kita tanpa takut, tanpa segan.

“Kita akan pakai baju merah, baju putih kerana ini adalah hak dan aan kita. Kita tak peduli apa yang dia nak buat,” katanya.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Harapan tetap guna logo PKR: Tun M Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top