Latest News

Wednesday 15 August 2018

Mukhriz: Henti kaitkan BERRSATU dengan pemilihan PKR



Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kecewa dengan ahli mahu pun kepemimpinan PKR yang membangkitkan perkara bukan-bukan dengan mengaitkan sekutu mereka dalam Pakatan Harapan, menjelang pemilihan parti itu tidak lama lagi.

“Kami (BERSATU) tiada kaitan langsung dengan pemilihan dalaman PKR. Jadi saya kecewalah apabila mereka bangkitkan perkara tak sepatutnya.

“Bagi kami peralihan kuasa itu telah termaktub sebagai sesuatu yang telah diterima pakai oleh semua pihak.

“Jadi kenapa perlu ungkit perkara yang tiada bukti semata-mata bagi membakar semangat untuk meraih undi kepada tokoh tertentu?” soalnya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia hari ini.

Mukhriz merujuk tindakan sesetengah pihak dan pemimpin PKR yang mempersoalkan peralihan kuasa untuk jawatan perdana menteri dari ayahnya, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipersetujui sejak dari awal pembentukan HARAPAN.

Baru-baru ini Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Idris Ahmad mendakwa Mahathir dan Tun Daim Zainuddin selaku Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan cuba memperalatkan pemimpin tertentu dalam PKR sebagai boneka.

Calon Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid pula yang dikatakan berada dalam kem sama dengan Idris bagi memenangkan Rafizi Ramli selaku timbalan presiden mendakwa, Daim menjadi dalang dalam usaha menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri menggantikan Mahathir.

Mengulas lanjut, Mukhriz menzahirkan harapan supaya kalangan ahli dan kepemimpinan BERSATU tidak mencontohi perbuatan ahli dan kepemimpinan PKR tersebut menjelang pemilihan partinya yang juga akan diadakan tahun ini.

“Saya nak nasihat pun, ini parti orang dan bukannya parti sendiri. Ini soal rumah tangga mereka sendiri, bukan soal kami.

“Tetapi adakah mereka bermaksud jika tokoh selain yang mereka sokong itu menang, maka peralihan kuasa seperti yang dipersetujui sebelum ini akan dibatalkan? Saya tak fikir begitu kerana perkara ini tiada kaitan dengan pemilihan parti,” katanya yang dipetik portal itu.




Sementara itu, portal Berita Harian Online pula memetik Ketua Badan Pimpinan BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris sebagai berkata dakwaan ahli dan pemimpin PKR itu boleh memecahbelahkan kesepakatan yang dipupuk dalam parti komponen HARAPAN.

“Saya anggap dakwaan ini sangat melampau dan biadab. Tidak wajar mengaitkan nama Dr Mahathir dalam pemilihan kepemimpinan parti PKR hanya semata-mata ingin memenangkan calon kumpulan mereka.

“Pucuk pimpinan PKR khususnya Datuk Seri Anwar perlu membendung segera kenyataan tidak berasas seperti ini,” katanya yang dipetik portal itu.

Mengulas lanjut, Razali berkata, andai tidak dibendung segera, hasutan seperti dilakukan itu boleh memberi kesan buruk terhadap keharmonian dalam HARAPAN.

Laporan Malaysia kini 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Mukhriz: Henti kaitkan BERRSATU dengan pemilihan PKR Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top