Latest News

Saturday 13 October 2018

Pejabat MB kesal kenyataan fitnah pelantikan Menteri Besar baharu


ALOR SETAR 13 Okt. - Pejabat Menteri Besar hari ini melahirkan rasa kesal dengan dakwaan pelantikan Menteri Besar baharu menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang ditularkan akan berpindah ke Persekutuan sebagai Menteri Dalam Negeri.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar itu, Mohd. Fisol Jaafar memberitahu dakwaan yang tular di media sosial sejak semalam itu adalah palsu dan fitnah.

“Ia adalah palsu dan fitnah tidak lebih daripada itu. Ia kenyataan nakal daripada pihak tertentu.

“Malah ibu pejabat Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) sudah mengeluarkan kenyataan semalam bahawa ia adalah fitnah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara Peringkat Kedah di pekarangan Kompleks Belia dan Sukan di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Mukhriz.

Mukhriz yang turut meluangkan masa kira-kira 30 minit melakukan aktiviti zumba dan melepaskan peserta larian sempena majlis tersebut dilihat tenang sebelum meninggalkan majlis.

Difahamkan beliau akan menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pagi ini.

Akhbar melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul menolak dakwaan desas-desus bahawa beliau bakal mengambil alih jawatan Menteri Besar daripada penyandangnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, sukar baginya mempercayai khabar angin yang tersebar ke­rana beliau turut beberapa kali dikaitkan dengan jawatan lain antaranya Menteri Pertahanan dan Menteri Pelancongan.

Khabar angin yang tular itu juga mengatakan bahawa Mukhriz akan berpindah ke Persekutuan bagi menggantikan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas sebab-sebab kesihatan.

Mukhriz mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar kali kedua selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau melepaskan jawatan tersebut pada Februari 2016 ketika menyandangnya buat kali pertama ketika era pentadbiran Barisan Nasional selepas PRU-13 ekoran krisis Menteri Besar.- UTUSAN ONLINE
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Pejabat MB kesal kenyataan fitnah pelantikan Menteri Besar baharu Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top