Latest News

Tuesday 13 November 2018

Pegawai Khas Exco Agama nafi gertak



ALOR SETAR - Pegawai khas kepada Exco Agama Kedah menafikan tuduhan beliau menggertak lebih 100 imam dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid di Kuala Muda dalam satu majlis taklimat pada 24 Oktober lalu.

Pegawai khas, Firdaus Jaafar berkata, beliau bertemu imam dan AJK masjid berkenaan untuk memberi penerangan seperti biasa dan tiada gertakan ataupun amaran diberikan kepada peserta yang menghadiri taklimat itu.

“Malah, pertemuan berlangsung di Masjid Tunku Habsah, Sungai Petani itu berjalan secara harmoni, malah kami sempat bersalaman antara satu sama lain dan merakamkan gambar.

“Jadi, sebenarnya tiada isu yang timbul kerana pertemuan berjalan dengan baik dengan saya menerangkan beberapa perkara seperti mimbar masjid tidak boleh digunakan untuk menyampaikan khutbah politik,” katanya.

Menurutnya yang juga Penyelaras Dun Tokai, masjid tidak boleh dijadikan pentas politik malah khatib sepatutnya membacakan teks khutbah disediakan.

“Jadi, apabila timbul isu gertakan ini, saya hubungi penyelaras masjid Kuala Muda, saya tanya adakah saya gertak imam. Dia kata tak ada, perjumpaan biasa, nama pun ramah mesra.

“Yang kedua pertemuan dibuat selepas menerima aduan jemaah masjid yang sering kali mengadu hal bahawa khatib jemputan agak keras mengkritik dan menabur fitnah,” katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Imam, AJK masjid diberi amaran jangan kritik kerajaan ]

Firdaus berkata, untuk meneutralkan keadaan, imam dan AJK masjid dipanggil untuk diberi penjelasan supaya mereka faham.

“Selepas taklimat diberi nampak neutral dan reda sikit, setiap minggu dapat respons dan maklum kepada saya. Yang sebenarnya, khatib jemputan jadi isu, imam sebenarnya tak masalah. Imam baca ikut teks khutbah memang elok dan puas hati semua pihak.

“Jadi saya harap dua Adun yang membangkitkan isu dalam sidang Dun mendapatkan penjelasan perkara itu dari pegawai agama daerah sendiri dan bukannya daripada imam-imam,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, individu yang menularkan perkara tersebut sudah meminta maaf daripadanya.

Sementara itu, Exco Agama, Datuk Dr Ismail Salleh turut menafikan tuduhan terhadap pegawai khasnya berikutan tiada tengkingan atau jerkah, sebaliknya ia hanya pertemuan biasa diaturkan Pejabat Agama Daerah Kuala Muda.

Beliau berpendapat tuduhan pegawai khasnya menggertak imam dan ahli jawatankuasa AJK masjid yang timbul disebabkan perbezaan politik sahaja.

- Sumber Sinar Harian 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Pegawai Khas Exco Agama nafi gertak Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top