Latest News

Tuesday 13 November 2018

Graduan UUM harus guna ilmu dan pengalaman untuk bantu rakyat - KDYMM Sultan Kedah



SINTOK – Graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) perlu bijak menganalisi persekitaran dan mencari dimensi baru sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran masa hadapan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah menasihati graduan supaya tidak terlalu selesa, sebaliknya persiapkan diri dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi cabaran tersebut.

Baginda yang juga Canselor UUM bertitah agar para graduan menggunakan ilmu yang diperoleh dan pengalaman yang ditimba untuk membantu rakyat.

“Sesungguhnya pendidikan di universiti bukan semata-mata sekadar mendapatkan kelulusan untuk mencari pekerjaan tetapi ianya merupakan satu tapak persediaan untuk meneruskan kehidupan yang sempurna di masa hadapan,” titah baginda.

Baginda bertitah pada istiadat pemasyhuran Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin sebagai Pro-Canselor UUM yang baharu dan pembukaan Majlis Konvokesyen Ke-31 UUM di sini hari ini.

Istiadat pemasyhuran itu disempurnakan Sultan Sallehuddin.

Turut berangkat ke majlis itu adalah Kebawah Duli yang Maha Mulia Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff, Sultanah Kedah, Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff dan Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Sultan Sallehuddin turut bertitah agar para graduan perlu menjadi lebih kreatif dan produktif sehingga berupaya mencipta peluang kerja mereka sendiri dan bukannya sekadar menjadi pencari kerja.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita amat bertuah kerana dilahirkan di sebuah negara yang aman dan makmur, yang menyediakan begitu banyak peluang untuk dimanfaatkan. Namun, kita juga harus akui bahawa kita tidak boleh lari daripada persaingan, sama ada sesama kita, mahupun di peringkat global,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Sallehuddin bertitah agar para graduan menjadi penggerak dan contoh kepada konsep masyarakat penyayang bagi mendepangi gejalan negatif yang semakin menular di kalangan masyarakat.

Pada majlis itu, Sultan Sallehuddin turut mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Logistik) kepada Pengarah Urusan dan Ketua Pengarah Eksekutif PKT Logistics Group Sdn Bhd Datuk Michael Tio.

Seramai 6,156 graduan menerima ijazah masing-masing yang terdiri daripada 4,726 graduan Sarjana Muda dan graduan Pasca Siswazah seramai 1,430 orang pada Majlis Konvokesyen Ke-31 UUM kali ini.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Graduan UUM harus guna ilmu dan pengalaman untuk bantu rakyat - KDYMM Sultan Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top