Latest News

Sunday 30 December 2018

Mukhriz: Tiada parti dominan kekuatan PH


Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mukhriz Mahathir berkata tiada keperluan bagi Pakatan Harapan (PH) untuk mempunyai satu parti yang dominan kerana kesamarataan yang ada dalam pakatan itu ternyata berkesan untuk setiap parti menyuarakan pendapat masing-masing.

Malah kata beliau ketiadaan satu parti yang terlalu mendominasi dalam pakatan merupakan kelebihan buat PH untuk melaksanakan tugas sebagai kerajaan.

“Amalan konsensus (dalam PH) berjalan dengan begitu baik sekali. Saya dapat lihat tak perlu ada satu parti terlalu dominasi seperti Umno dalam Barisan Nasional (BN) dulu untuk membangkitkan perkara-perkara yang dianggap penting,” katanya dalam temu bual dengan Bernama dui luar Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Katanya perkara itu memang merupakan perbezaan yang paling ketara di antara PH dan BN iaitu dalam PH semua parti mempunyai hak dan suara yang sama tanpa mengira jumlah kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimiliki oleh parti komponen.

Katanya BN didominasi oleh Umno dengan presiden dan timbalan presiden Umno adalah perdana menteri dan timbalan perdana menteri selain kebanyakan menteri adalah daripada parti itu, tetapi PH mementingkan kesamarataan.

“Dalam PH kita mempunyai Tun (Dr Mahathir Mohamad) daripada parti kedua terkecil dalam PH sebagai pengerusi PH dan perdana menteri. Pengaruh yang ada dalam Majlis Presiden PH walaupun berbeza jumlah kerusi tetapi kita sama rata,” katanya.

Tambahnya, suara Bersatu dan Amanah yang mempunyai bilangan kerusi Parlimen paling sedikit tetap didengari, sama seperti DAP dan PKR yang mempunyai anggota Parlimen teramai dalam PH.

“Sebagai contoh, (adakah) hanya kerana Bersatu ada 16 kerusi Parlimen sahaja, maka isu-isu kepentingan orang Melayu kita segan nak bawa dalam mesyuarat Majlis Presiden PH. Perkara itu tidak timbul pun. Walaupun kita sikit tetapi kerana suara kita sama dalam Majlis Presiden kita juga berhak untuk bangkitkan perkara ini,” katanya.

Katanya hubungan antara parti dalam PH sangat kuat walaupun ada pihak-pihak tertentu cuba menimbulkan rasa resah kepada rakyat kononnya PH adalah pakatan yang rapuh dan tidak kuat

“Semua isu dibincangkan (dalam Majlis Presiden). Apa sahaja dirasakan penting akan dibangkitkan dalam (mesyuarat) kepimpinan tertinggi parti. Ia dibuat dalam suasana serba kekeluargaan. Walaupun ada beza pendapat dan pandangan tetapi semangat ukhuwah dalam kalangan parti komponen PH sangat tinggi dan kuat,” katanya.

“Bayangkan kami daripada BN, Umno kini duduk semeja dengan DAP, PKR dan Amanah. Bila dah mula kenal antara satu sama lain baru kami tahu macam mana mereka berfikir.

"Rupa-rupanya tidak sama macam persepsi yang kita ada dulu. Kalau tanya dulu macam tak masuk akal. Silaturahim keempat-empat parti serta (parti sekutu) Warisan (Parti Warisan Sabah) pada tahap yang sangat baik,” katanya.

Ditanya mengenai perbalahan yang berlaku di antara pemimpin-pemimpin PH menerusi media sosial, Mukhriz berkata perkara itu bukan suatu yang membimbangkan apabila diambil kira negara dalam suasana politik baharu dan penggunaan media sosial yang meluas sekarang.

“Saya tak nampak itu sebagai perkara yang terlalu serius, berbanding dulu yang terlampau terkongkong. Dulu tak boleh cakap isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad), isu RM2.6 bilion pun tak boleh cakap. Tapi akhirnya isu-isu ini meletup juga. Perkara terkongkong itu menjadi isu besar bagi seluruh rakyat

“Sekarang kita lebih terbuka, walaupun ada perbezaan ia dibuat secara terhormat​​​​. Saya tidak nampak ini sebagai sesuatu yang boleh melemahkan kerajaan PH. Sebaliknya ini menunjukkan kita lebih telus dan kita meraikan perbezaan pendapat dengan harapan akhirnya wujud titik pertemuan yang mengambil kira pandangan-pandangan yang berbeza dalam kerajaan yang sama,” katanya.

- Bernama
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Mukhriz: Tiada parti dominan kekuatan PH Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top