Latest News

Monday 5 August 2019

Sultan Kedah zahir syukur prestasi kerajaan negeri peroleh RM7.75 bilion pelaburan



ALOR SETAR 5 Ogos - Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan rasa syukur terhadap prestasi kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang telah berjaya menarik pelaburan asing bernilai RM7.75 bilion pada suku pertama tahun ini.

Baginda bertitah, pencapaian tertinggi peringkat negeri setakat ini itu, sekali gus membolehkan sasaran sebanyak RM10 bilion nilai pelaburan baharu bagi tahun ini dapat dicapai.

"Kerancakan merealisasikan projek mega seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, Zon Ekonomi Sempadan Khas di Bukit Kayu Hitam, Litar Lumba Antarabangsa di Sungai Petani dan Bandar Raya Getah di Padang Terap, meletakkan Kedah dalam radar pelabur pelbagai negara," titah baginda.

Baginda bertitah semasa merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Berangkat sama Sultanah Kedah Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff.

Keberangkatan tiba kedua-dua baginda disambut Mukhriz dan barisan Exco kerajaan negeri.

Sultan Sallehuddin seterusnya bertitah, dimaklumkan bahawa Qatar Airways akan melancarkan penerbangan terus dari Doha ke Langkawi pada Oktober ini, yang sekaligus diyakini dapat menarik lebih ramai pelancong dari Asia Barat dan Eropah.

Dalam hal sama, baginda menarik perhatian supaya usaha-usaha perlu terus dilakukan untuk membangunkan tempat-tempat pelancongan seperti Gunung Keriang, Kota Kuala Kedah, Tapak Warisan Tamadun Kedah Tua di Sungai Batu serta muzium-muzium di negeri ini.

"Kita haruslah memulihara warisan kegemilangan Kedah ini yang agak terbiar pada masa ini. Beta berharap produk pelancongan baharu dan sedia ada lebih giat diperkenalkan di peringkat antarabangsa," titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut memuji usaha kerajaan negeri mewujudkan Program Kad Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) untuk membantu golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Menerusi KIDA yang dilancarkan Mei lalu, seramai 4,511 golongan ibu yang berpendapatan rendah di negeri ini menerima bantuan kewangan khusus untuk pembelian barangan keperluan asas dan manfaat penjagaan kesihatan. - UTUSAN ONLINE
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Sultan Kedah zahir syukur prestasi kerajaan negeri peroleh RM7.75 bilion pelaburan Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top