Latest News

Sunday 20 October 2019

#BajetKedah2020 : KEDAH BENTANG BAJET MESRA PELABUR, BERI PENEKANAN KEPADA PETUNJUK KEBERHASILAN UTAMA



AHAD (20.10.2019)

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah hari ini membentangkan Bajet bersifat mesra pelabur berteraskan enam fokus utama yang diyakini mampu memacu perkembangan ekonomi dan kesejahteraan negeri.

Menteri Besar, Dato' Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir berkata, dengan tema 'Bajet Berhemah, Bina Kemakmuran Bersama,', Bajet dibentangkan itu lebih memberi penekanan terhadap petunjuk keberhasilan utama (KRI) berbanding petunjuk prestasi utama (KPI).

"Tujuan bajet ini juga adalah untuk menggalakkan pelaburan di mana pendekatan diambil kerajaan negeri ketika ini, memberi kesan dan impak positif kepada keyakinan pelabur tempatan dan asing.

"Kalau prestasi dijadikan petunjuk utama, kita mungkin akan merasa gembira berbelanja 100 peratus walaupun apa yang dibelanjakan itu tidak memenuhi kehendak rakyat. Tetapi kini, keberhasilan setiap ringgit dibelanja perlu dipastikan menepati matlamat dengan tumpuan diberi kepada aspek pelaksanaan hasil," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membentangkan bajet tersebut di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Bajet tersebut berteraskan kepada enam fokus utama iaitu merancakkan ekonomi, pendidikan dan pembangunan insan sepadan keperluan pasaran, membina kemakmuran rakyat, melestarikan alam sekitar, mengimbangi pembangunan sosial serta tadbir urus yang berintegriti.

Mengulas lanjut Mukhriz berkata, pada tahun 2020, kerajaan negeri dianggarkan akan menerima hasil yang disatukan sebanyak RM701.94 juta dengan anggaran perbelanjaan mengurus mencecah RM759.49 juta.

"Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan kerajaan, bajet 2020 menganggarkan defisit berjumlah RM57.54 juta atau 8.2 peratus. Walaupun kita bajetkan defisit, namun seperti biasa apabila perbelanjaan dilakukan berhemah, biasanya defisit tidak akan berlaku dan dapat dikawal," katanya.

Tambahnya secara keseluruhan anggaran hasil bagi tahun 2020 adalah lebih rendah berbanding 2019 disebabkan dua faktor dengan yang pertamanya kerana anggaran sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dikurangkan daripada RM15 juta kepada RM1.5 juta berdasarkan prestasi anak syarikat.

"Langkah ini bagi memberi ruang kepada mereka untuk memulihkan perniagaan. Kita juga akui GLC memberi sumbangan secara langsung kepada masyarakat melalui tanggungjawab sosial korporat ditetapkan kerajaan.



"Selain itu, dijangka akan berlaku pengurangan hasil hutan di mana kerajaan negeri mengambil keputusan untuk mengutamakan pengekalan kawasan tadahan air," katanya.

Mukhriz berkata, bagi menampung kekurangan itu, kerajaan negeri akan memfokuskan kepada tiga teras peningkatan hasil iaitu kutipan maksimum ke atas hasil patut kutip, menambah baik operasi prosedur standard (SOP) serta penerokaan hasil baharu.

Menurutnya, antara perancangan kerajaan negeri bagi memastikan kutipan hasil 2020 dicapai adalah, pengambil alihan jeti Pengkalan Gubir dan Kuala Labua di Hutan Simpan Ulu Muda, Pusat Pelancongan Sungai Sedim di Kulim serta Gunung Jerai di Yan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah yang akan mengenakan permit masuk hutan serta permit penggunaan kawasan.

Keduanya kata beliau, kerajaan negeri telah meluluskan semak semula kadar dikenakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri meliputi caj bayaran rawatan dan fi perkhidmatan termasuk penetapan harga jualan, hasil ternakan, produk ternakan, sewaan jentera serta peralatan.

"Bagi pentadbiran tanah, kutipan luar akan diperbanyakkan termasuk mengadakan kerjasama dengan PBT. Untuk menyelesaikan isu tunggakan cukai tanah yang berjumlah RM89.1 juta, kerajaan negeri bersetuju melaksanakan penguatkuasaan melalui pengeluaran notis tuntutan: tunggakan sewa (Borang 6A) kepada tuan punya tanah yang masih enggan menjelaskan tunggakan.

"Dalam masa sama, kerajaan akan melaksanakan penguatkuasaan terhadap papan iklan dan menara telekomunikasi yang dibina di atas simpanan jalan serta tanah-tanah kerajaan tanpa lesen. Kemudahan turut diberi kepada golongan pembayar cukai dengan mereka boleh melakukan pembayaran secara atas talian menggunakan 'Kedah payment Gateway' mulai Januari 2020," katanya.

Beliau dalam pada itu turut menzahirkan harapan agar semua Ahli Dewan menyokong tindakan tegas dalam penguatkusaan kutipan hasil negeri.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: #BajetKedah2020 : KEDAH BENTANG BAJET MESRA PELABUR, BERI PENEKANAN KEPADA PETUNJUK KEBERHASILAN UTAMA Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top