Latest News

Monday 21 October 2019

#bajetkedah2020 : MANGSA BENCANA RIBUT LEKIMA DIBERI BANTUAN



ISNIN (21.10.2019)

ALOR SETAR - Mangsa bencana ribut lekima yang melanda beberapa daerah di negeri ini Ogos lalu, telah diberikan bantuan kewangan dan baik pulih rumah.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat serta Pembasmi Kemiskinan Negeri, Halimaton Shaadiah Saad berkata, bantuan tersebut telah disalurkan melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan bantuan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

"Jumlah keseluruhan rumah yang terlibat adalah sebanyak 2,304. Manakala jumlah rumah terlibat yang menerima bantuan pembaikan daripada NADMA adalah sebanyak 1,525 rumah.

"Bantuan awal kewangan kepada setiap daerah berjumlah RM20,000 telah disalurkan kepada 12 daerah oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dengan kelulusan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim," katanya ketika menjawab soalan Hanif Ghazali (Pas- Tanjung Dawai) dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Hanif dalam soalannya bertanyakan sama ada bantuan kewangan untuk mangsa ribut tersebut telah diberikan seperti dijanjikan kerajaan negeri.

Halimaton menambah, Nadma juga telah menyalurkan bantuan awal melalui APM bagi membaik pulih rumah di bawah kos RM5,000.

"Sebanyak 1,021 rumah yang rosak di bawah kos RM5,000 telah selesai dibaik pulih oleh pihak APM dengan kos pembaikan sebanyak RM2,709,366.

"Pihak NADMA juga telah menyalurkan bantuan RM3.84 juta melalui Kerajaan Negeri Kedah bagi pembaikan melebihi RM5,000 dan pembaikan kurang daripada RM5,000 selepas 21 Ogos 2019. Sebanyak RM2,898,572 disalurkan kepada 12 buah daerah bagi bantuan baik pulih 504 buah rumah yang terlibat," ujarnya.

Selain itu katanya, Nadma turut menyalurkan bantuan wang ehsan sebanyak RM768,000 bagi diagihkan kepada ketua isi rumah yang terlibat.

"Bantuan wang ehsan disalurkan melalui kerajaan negeri yang menyalurkan bantuan tersebut kepada pejabat daerah melalui akaun pegawai daerah bagi diagihkan kepada ketua isi rumah yang terlibat.

"Daripada RM768,000 yang diperuntukkan, RM691,300 diagihkan setelah bancian dibuat mengikut kelayakan mangsa dengan mereka yang terlibat dengan kos pembaikan di bawah RM1,000 menerima bantuan RM200 sementara mangsa dengan kos pembaikan lebih daripada itu menerima bantuan sebanyak RM500," katanya.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: #bajetkedah2020 : MANGSA BENCANA RIBUT LEKIMA DIBERI BANTUAN Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top