Latest News

Sunday 20 October 2019

#bajetkedah2020 : PENGAIRAN DAN SALIRAN, PEMBANGUNAN PERTANIAN TANAMAN MENGIKUT KLUSTER DIBERI PERHATIAN




AHAD (20.10.2019)

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah memperuntukkan sebanyak RM10.98 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membangunkan kemudahan pengairan dan saliran di negeri ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir berkata, peruntukan tersebut antaranya akan digunakan bagi menaik taraf serta mencuci tali air dan saliran sedia ada, menaik taraf rangkaian jalan ladang serta menyenggara rumah pam di 10 skim pengairan dan 33 di luar skim pengairan.

"Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan pengeluaran padi luar jelapang.

"Selain itu, sejumlah RM3.85 juta diperuntukan bagi program pengairan dan saliran luar kawasan Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA) yang meliputi lebih 34,594.75 ekar dan melibatkan 10,000 petani. Langkah ini bertujuan membantu pesawah mendapat bekalan air mencukupi sekali gus meningkatkan hasil pengeluaran padi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Kedah 2020 bertemakan 'Bajet Berhemah, Bina Kemakmuran Bersama' di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, pagi tadi.

Sementara itu katanya, sebanyak RM5.88 juta akan diperuntukkan kepada Jabatan Pertanian bagi memberi fokus pembangunan pertanian kepada tanaman mengikut kluster ditetapkan.



"Sebagai contoh, di Langkawi tumpuan akan diberikan kepada kelapa pandan dan padi pulut. Di Kubang Pasu fokus diberi kepada tanaman mangga harumanis, nanas dan jagung sementara di Padang Terap pula cendawan serta padi wangi.

"Dalam masa sama, kerajaan akan memajukan lagi pusat-pusat pertanian sedia ada menjadi pusat rujukan utama. Sebagai contoh Pusat Latihan Mangga di Sala Kanan dan Pusat Latihan Durian di Batu Seketul, Sik akan dimajukan sebagai pusat sehenti tanaman berkaitan bagi kemudahan petani serta pelancong," katanya.

Dalam pada itu Mukhriz berkata, selain MADA yang membantu pesawah padi, kerajaan negeri turut mendapatkan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk memajukan sektor pertanian mengikut kaedah pertanian moden.

"Terdapat empat projek utama hasil kerjasama dijalinkan itu iaitu 'superfruits' di Kampung Bukit Kura, Padang Terap; tiram di Sungai Merbok, Kuala Muda, padi organik di Kampung Lintang, Sik serta 'hemp' di Bukit Tangga, Kubang Pasu. Semua projek ini akan dilaksanakan tahun depan.

"Dalam masa sama, kerajaan negeri bersetuju menubuhkan pusat latihan padi organik pertama di negara ini iaitu Insititut Pengerusan Pertanian Organik Bersepadu Kedah (Isnpek) menerusi kerjasama antara Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah), NCIA, Universiti Utara Malaysia (UUM), Syarikat Sri Lovely dan Koperasi Agro Belantik.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: #bajetkedah2020 : PENGAIRAN DAN SALIRAN, PEMBANGUNAN PERTANIAN TANAMAN MENGIKUT KLUSTER DIBERI PERHATIAN Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top