Latest News

Thursday 25 December 2014

#Banjir : Bot Terbalik, Suami Isteri Hilang



KEMAMAN 24 Dis. - Sepasang suami isteri hilang selepas bot Jabatan Bomba dan Penyelamat yang mereka dinaiki semasa operasi pemindahan mangsa banjir, terbalik dalam kejadian di Kampung Geliga Che Akob di sini petang ini.

Mangsa ialah Nurhayati Sulong, 37, seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Geliga dan suaminya, Suhaimi Awang, 37, pekerja di sebuah syarikat di Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB) di Teluk Kalong dekat sini.

Dalam kejadian yang berlaku pukul 1.20 petang itu, bot yang dinaiki mereka dikatakan terperangkap dalam pusaran air sebelum terbalik menyebabkan kedua-dua mangsa dihanyutkan arus deras.

Ketika kejadian, bot itu turut dinaiki tiga lagi mangsa banjir yang terlibat dengan pemindahan selain seorang pegawai dan dua anggota bomba. Bagaimanapun, kesemua mereka terselamat.

Difahamkan, pasangan berkenaan mempunyai enam anak yang berusia antara empat bulan hingga 13 tahun.

Ketua Polis daerah, Supritendan Che Suza Che Hitam berkata, selepas memuatkan lima orang mangsa banjir untuk dipindahkan dari dua lokasi, bot mengundur sebelum masuk ke pusaran air dan terbalik.

‘‘Kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa yang memakai jaket keselamatan masuk dalam pembetung dan keluar semula sebelum hilang dibawa arus deras,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Zon 2 (Bomba Terengganu), Penguasa Bomba Kanan II, Azmi Abdul Rahim berkata, ekoran kejadian itu seramai 11 pegawai dan anggota bomba dari dua balai bomba dikerahkan mencari dan menyelamatkan mangsa.

Menurutnya, usaha berkenaan dilakukan di sekitar tempat kejadian sebelum beralih ke muka Kuala Kemaman berdekatan Jambatan Geliga dengan menggunakan dua buah bot penyelamat.

‘‘Arus yang kuat juga menyebabkan pasukan skuba bomba tidak dapat menyelam tetapi jika esok arus tenang, kita akan masuk balik ke lokasi kejadian,” katanya.
sumber : Utusan Malaysia 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: #Banjir : Bot Terbalik, Suami Isteri Hilang Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top