Latest News

Friday 12 December 2014

Sekolah Integriti Lahir Ramai Individu Cemerlang Kalangan Pesalah Juvana



SUNGAI PETANI - Sekolah Integriti kendalian Jabatan Penjara yang menempatkan pesalah juvana atau banduan muda mampu melahirkan individu cemerlang dalam kalangan golongan berkenaan walaupun sebelum ini mereka pernah terjebak dengan jenayah.

Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar berkata terbaharu ialah Sekolah Integriti Puncak Alam, Selangor, yang akan beroperasi awal tahun depan dan dari segi pengajiannya, sekolah itu akan mengadakan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan seperti Universiti Terbuka Malaysia

Beliau berkata 40 pelajar Sekolah Integriti Kajang, Selangor, menjadi kumpulan pertama pelajar yang akan memulakan sesi pembelajaran di Sekolah Integriti Puncak Alam bermula 1 Jan 2015.

"Pelajar dari Sekolah Integriti lain akan masuk secara berperingkat. Antara mata pelajaran yang menjadi tumpuan ialah Pengurusan Kewangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney, Jabatan Penjara Malaysia, di Penjara Sungai Petani, di sini, Isnin.

Zulkifli berkata pada masa ini, terdapat sembilan buah Sekolah Integriti dan tiga Sekolah Henry Gurney dengan jumlah keseluruhan 2,540 pelajar.

Zulkifli berkata sebanyak 186 calon daripada kedua-dua jenis sekolah itu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dan jumlah itu meningkat berbanding 160 calon pada 2013.

"Keputusan terbaik tahun lepas ialah 8A dan tahun ini saya berharap akan ada yang dapat keputusan lebih baik. Selain SPM, kami ada juga pelajar yang menyambung pengajian di IPT iaitu empat di peringkat ijazah sarjana, 19 peringkat ijazah sarjana muda dan 17 peringkat diploma.

"Saya berharap setiap tahun ada peningkatan pelajar dalam bidang akademik. Kita mahu banduan keluar sebagai graduan, jangan anggap berada di sebalik tirai besi gelap masa depan, ini lebih baik daripada mereka yang buat salah, tidak kena tangkap dan tidak berubah, mereka tidak ada ruang seperti ini," katanya.

Zulkifli berharap lebih banyak syarikat korporat tampil menghulurkan sumbangan sama ada dalam bentuk dermasiswa atau biasiswa untuk membantu banduan daripada keluarga kurang berkemampuan, melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Ini penting kepada mereka (banduan) kerana mereka memerlukan peluang untuk berubah dan mengubah masa depan mereka ke arah yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, 60 pelajar cemerlang diraikan pada majlis berkenaan dan sebanyak 13 kategori anugerah diberi kepada pelajar termasuk Anugerah Pelajar Cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM 2013, Pelajar Terbaik Mata Pelajaran PMR dan SPM 2013, Sijil Kemahiran Malaysia, Pelajar Cemerlang Ko-kurikulum dan Anugerah Khas Ketua Pengarah Penjara Malaysia.

Sekolah Integriti Kuching, Sarawak, meraih Anugerah Sekolah Cemerlang PMR 2013 manakala Sekolah Henry Gurney (W) Kota Kinabalu, Sabah menerima anugerah Sekolah Cemerlang SPM 2013 dan Anugerah Lonjakan Saujana SPM 2013.

Anugerah Sekolah Cemerlang Ko-kurikulum keseluruhan pula menjadi milik Sekolah Integriti Kajang. - BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Sekolah Integriti Lahir Ramai Individu Cemerlang Kalangan Pesalah Juvana Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top