Latest News

Tuesday 13 January 2015

Kedah Akan Tarik Pelabur Dari China, Eropah Dan Amerika Syarikat




ALOR SETAR - Kerajaan Negeri akan menarik lebih ramai pelabur dari China, Eropah dan Amerika Syarikat dalam usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi Negeri Kedah sebagai sebuah negeri yang maju.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, usaha untuk menarik pelabur asing ke negeri ini turut mendapat saingan daripada negeri-negeri lain.

“Kita akan cuba sedaya upaya untuk membawa masuk lebih ramai pelabur ke negeri ini. Apa yang penting, kita ingin membangunkan Negeri Kedah sebagai sebuah negeri yang mempunyai kadar pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan di Perkarangan Wisma Darul Aman.

Menurutnya, dengan kemasukan pelabur asing ke Negeri Kedah, ia secara tidak langsung mewujudkan kawasan industri yang baru di samping membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini.

Mengenai cabaran yang terpaksa dihadapi sepanjang tahun 2014 seperti berlakunya tragedi kehilangan MH370, pesawat MH17 yang ditembak dan tragedi QZ8501, beliau berharap ianya dapat direnungi bersama.

“Di samping itu, negara juga turut dikejutkan dengan musibah banjir yang melanda Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang termasuk Johor dan Perak. Banjir juga turut melanda Negeri Sabah,” ujarnya.

Tambahnya, musibah banjir yang melanda negeri-negeri berkenaan menuntut semua pihak untuk bersama-sama membantu mangsa-mangsa banjir dalam usaha meringankan beban yang terpaksa dihadapi oleh mereka.

“Semua yang berlaku ini mempunyai hikmahnya. Hikmah ini adalah perpaduan yang begitu terserlah dalam usaha kita hidup bersatu padu kerana perpaduan perlu dipupuk dan disemai di kalangan rakyat di negara ini,” jelasnya.

Pada majlis itu, Menteri Besar Kedah turut menyampaikan wang tunai dan sijil penghargaan kepada 14 pelajar cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), lapan pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan tiga pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Kredit UMTK 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kedah Akan Tarik Pelabur Dari China, Eropah Dan Amerika Syarikat Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top