Latest News

Thursday 22 January 2015

Kedah Jalin Kerjasama Dengan Persatuan Jemaah Pondok Bendung Aktiviti Militan




Kerajaan negeri Kedah menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Jemaah Pondok-Pondok Kedah dalam usaha menangani penyebaran jihad dalam kalangan pelajar madrasah dan pondok yang dilihat boleh terjerumus dalam aktiviti berbentuk militan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan Negeri Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata kerjasama itu dilaksanakan berikutan terdapat laporan mengenai sebuah madrasah di Kuala Ketil yang mengajar pelajarnya untuk menyertai pergerakan jihad di Syria.

"Saya sudah arahkan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) untuk berjumpa dengan Persatuan Jemaah Pondok-Pondok Kedah bagi berbincang mengenai isu jihad, kerana buat masa sekarang semua pihak perlu bersatu padu untuk memerangi fahaman ekstremisme yang dilihat sudah mula menular dalam sistem pembelajaran.

"Memang sukar untuk menyekat aktiviti militan kerana terdapat pelbagai cara yang digunakan bagi menarik minat pelajar seperti penggunaan media sosial ditambah pula dengan kurangnya didikan agama dan ilmu pengetahuan yang boleh membuatkan mereka cepat terpengaruh," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat di sini pada Khamis.

Pada 14 Jan lepas, akhbar the New York Times menerbitkan video bertajuk 'The Jihadist in Our Family' (Mujahid dalam Keluarga) yang memaparkan temu bual mereka dengan keluarga Allahyarham Mohd Lotfi Ariffin yang terlibat dengan kumpulan militan IS.

Video itu menceritakan pengalaman Mohd Lotfi yang dikatakan seorang mujahid dan temu bual dengan seorang saudaranya iaitu tenaga pengajar di Madrasah Nurul Hidayah, Kuala Ketil yang menyarankan agar para pelajar mengambil contoh daripada perjuangan Allahyarham.

Mohd Rawi berkata kebanyakan individu yang terlibat dalam aktiviti militan tertarik dengan janji yang ditawarkan khususnya mengenai konsep jihad, penghapusan dosa dan jalan mudah ke syurga sekali gus telah menarik minat segelintir pelajar dan masyarakat untuk menyertai aktiviti militan.

"Banyak hadis yang diguna pakai bagi memberi kesan yang lebih mendalam untuk menarik minat menyertai aktiviti militan. Jadi saya minta supaya pihak pentadbiran sekolah, pondok dan sekolah rendah rakyat supaya berhati-hati dan tidak menyebarkan ilmu yang tidak benar kepada anak-anak kecil.

"Jangan sesekali biarkan fahaman ekstremisme berleluasa di madrasah, pondok dan sekolah. Sebaliknya jaga dan didiklah anak-anak dengan ilmu-ilmu yang baik dan sempurna supaya kelak dapat melahirkan ulama yang boleh membimbing umat Islam ke jalan yang diredai Allah," kata Mohd Rawi.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kedah Jalin Kerjasama Dengan Persatuan Jemaah Pondok Bendung Aktiviti Militan Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top